Thursday, December 31, 2009

Silap Perkiraan.



SELAMAT TAHUN BARU 2010.
Salam hormat dan rahayu,

Seiring tapi tidak bertemu, yang ini pasti tidak bertemu, kerana dua garisan yang lurus tidak mungkin bertemu dipenghujungnya. Begitu juga dalam mengatur hidup sendiri, sudah tentu ada pancarobanya yang perlu diatasi dengan penuh kesabaran, jika silap perkiraan akan menimbul masalah yang besar.

Bayangkan sebuah kapal laut yang belayar disamudera lautan luas mempunyai dua nakhoda, tidak sehaluan pula, pasti destinasi tidak tercapai. Ada kalanya kita perlu bijaksana dalam membuat pilihan, supaya tidak tersasar dalam menuju haluan hidup.

Sekiranya pemimpin negara tidak sehaluan, ini lagi membimbangkan hati rakyat. Rakyat memerlukan kepemimpinan pemimpin yang telus, dan pemimpin yang mempunyai dan mengamal sifat Rasulullah iaitu amanah, bersifat benar, menyampaikan yang hak, dan bersifat bijaksana.

Mana mungkin pemimpin disanjung rakyat, jika pemimpin itu tidak jujur, tidak amanah, tidak bijaksana dalam mentadbir, menyeleweng kuasa, rasuah sana sini, dan berbohong sepanjang masa. Pemimpin sebegini lambat laun akan terkubur akhirnya.






Pemimpin yang silap perkiraan dalam pemerintahannya, antaranya tidak menunaikan hak rakyat, bermain silap mata dengan rakyat, lupa diri dan angkuh, perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas rakyat, jika tidak negara akan kucar kacir dan lebur sama sekali. Justeru rakyat akan protes memberontak, rusuhan sana sini terhadap pemerintah. Ini akan merugikan semua pihak, semua aspek, termasuk ekonomi, pendidikan, keselamatan, dan pentadbiran negara akan menjadi tidak stabil.

Wednesday, December 30, 2009

Anak ini berisiko tinggi.


Salam hormat dan rahayu,

Anak adalah zuriat sebuah keluarga. Setiap famili mahukan anak, bakal zuriat penyambung generasi akan datang. Anak yang soleh adalah harapan ibu bapa, bakal pengganti waris yang boleh membentuk keluarga yang besar dan bahagia. Tidak ada famili yang tidak mahukan anak, tidak ada famili yang tidak mahukan kegirangan dan kebahagiaan berkeluarga.


Anak adalah pengikat dan cahaya mata bagi sebuah keluarga. Anak juga merupakan madu dan racun untuk setiap keluarga. Tanpa anak, hidup rasa kesepian, tanpa anak juga, keluarga rasa kesunyian. Justeru, dapat anak hendaklah dipelihara dan diberi pendidikan secukupnya. Anak itu adalah anugerah Allah, oleh itu usah dipersia-siakan anugerahNya.




Membesar dan memberi pendidikan kepada anak bukanlah satu perkara mudah, ibu bapa atau penjaga perlu mendidik, membimbing dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran. Anak memerlukan penjagaan yang rapi dan kasih sayang secukupnya, supaya perkembangan minda dan jasmaninya mantap dan seimbang. Kurang kasih sayang, kurang diberi pendidikan, dan tidak sempurna penjagaannya, akan memungkinkan anak itu menjadi liar, tidak berdisiplin, dan mudah terpengaruh dengan aktiviti yang negatif.




Sering terdapat berita hangat mengenai kecuaian ibu bapa atau penjaga terhadap keselamatan anaknya sehingga ditimpa kemalangan dan membawa maut, antaranya, anak-anak bermain di tepi lombong atau kolam tanpa diawasi oleh orang dewasa, bermain mercun, memancing di saliran air atau sungai, dan membiar anak mereka bermain di kawasan yang berisiko tinggi.


Anak mengharapkan ibu bapa atau penjaga bertanggungjawab tentang keselamatan mereka. Justeru perhati dan awasilah aktiviti anak-anak. Pupuk dan beri didikan sempurna pada anak agar mereka dapat berdikari dan akan menjadi warga yang baik.

Tuesday, December 29, 2009

Maut Lagi.


Salam hormat dan rahayu.

Jika direnung alam ini, setiap saat ada berlakunya kelahiran dan kematian. Lahir dan hidup ini adalah lumrah alam, setiap yang hidup akan merasai kematian. Kematian yang bagaimana ianya berlaku, adakah melalui kemalangan yang mengakibatkan cedera parah, atau disebabkan penyakit kronik, ataupun kelalaian dalam tidak mengutamakan keselamatan diri dan orang lain.

Manusia selalu lalai, sering lupa diri sehingga abaikan keselematan yang boleh menyebabkan kematian. Yang paling sedih, apabila berlakunya kecuaian yang boleh mengakibatkan ramai jiwa yang tidak berdosa turut terkorban. Antaranya, kemalangan di lebuh raya, kebakaran, dan berlakunya bot karam di laut yang sarat dengan penumpang bersama barang keperluan harian.




Di negara kita ini, sering dan malah setiap hari ada berlakunya kemalangan jalan raya yang menyebabkan mangsa cedera parah dan terus maut ditempat kejadian. Baru-baru ini, disebabkan kecuaian pemandu bas, bas yang dipandunya telah melanggar besi penghalang jalan, lalu terbalik dan menyebabkan sepuluh penumpang terkorban. Pemandu tersebut selamat, tapi didakwa dimahkamah atas kecuaiannya.

Peristiwa ini telah menjadi isu utama negara, dan Perdana Menteri sendiri telah memberi ulasan dan komen tentang isu tersebut melalui Berita TV 3. Apa yang menjadi persoalan disini ialah apakah punca utama yang menyebabkan berlakunya peristiwa ini, jumlah kemalangan pada tahun ini pula adalah meningkat, apakah ianya berpunca dari sikap pemandu, atau kondisi kenderaan itu sendiri, ataupun keadaan jalan raya tersebut.

Sekiranya ianya berpunca dari sikap pemandu, pihak berwajib perlu membuat sesuatu atau tindakan reaksi untuk membetulkan keadaan supaya peristiwa seperti ini tidak berulang lagi. Seharusnya semua pihak perlu memainkan peranan untuk mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negara kita ini.

Monday, December 28, 2009

Untuk Terus Hidup.



Salam hormat dan rahayu,

Rezeki, jodoh, dan mati, semuannya dalam ketentuan Tuhan. Selagi manusia hidup, selagi itulah mereka akan mencari rezeki untuk menyara diri dan keluarga. Apakah hidup untuk makan atau makan untuk hidup, tepuk dada tanya minda, usah tanya selera. Ada usaha, ada kejayaan, justeru perlu sabar dalam apa jua keadaan dan masa.


Buatlah apa saja untuk mendapatkan rezeki atau sesuap nasi, asalkan tidak melanggar undang-undang, peraturan dan peri kemanusiaan. Antaranya, berniaga, mencari upah bekerja, bertani, menangkap ikan, pemandu, pemuzik, dan pemangkas rambut (memilik kedai gunting rambut), serta menjadi penjawat awam.



Pernah saya melihat dengan mata sendiri seorang ibu muda sambil mendukung anak kecilnya sedang mencari sisa makanan dalam tong sampah untuk manahan lapar di Bogor, Indonesia. Begitu juga di kota Jakarta dan Jogjakarta, masih terdapat rakyat terutama warga emas tidak punya tempat berteduh, disebelah malam pula mereka tidur bergelimpangan di kaki lima. Di negara kita, apa kurangnya, masih juga terdapat dalam kalangan rakyat kita yang hidup miskin tegar.



Orang yang dalam kelaparan akan buat apa saja untuk terus hidup. Bagi negara-negara yang terlalu miskin, makanan adalah perkara utama perlu dicari untuk mengekalkan jangka hayat. Apa yang boleh dimakan, mereka akan makan untuk terus hidup.

Saturday, December 26, 2009

Begini Akhirnya.



Salam hormat dan rahayu,

Kematian berlaku dimana-mana, begitu juga kemalangan, ianya mengundang bukan saja kecederaan, malah berakhir dengan kematian. Sengsara pula hanya dinikmati oleh individu yang merana kerana kecelakaan. Kecelakaan disini bermaksud, kecederaan, kemalangan, bencana, dan boleh membawa kekecewaan sepanjang hidup.

Sekiranya berlaku kematian akibat kecelakaan seperti banjir, kemalangan jalan raya, tanah runtuh, dan kebakaran, akan memberi masalah kepada rakyat. Rakyat hanya mahukan perlindungan dan bantuan dari kerajaan. Jika ada kebakaran atau bencana alam pasti ada yang mengalami kematian. Mayat bergelimpangan di sana sini, lihat saja peristiwa tsunami yang berlaku beberapa tahun yang lalu, kebanyakan mayat di tanam begitu saja, malah ada yang tertimbus tanpa dikesan.



Mangsa pembunuhan, mangsa kebakaran yang tidak dapat diselamatkan nyawanya, akan dibawa ke hospital untuk dibedah siasat. Kalau ada kes di mahkamah, laporan bedah siasat perlu dijelaskan dengan tepat. Justeru dapat membantu menyelesaikan masalah yang rumit. Ada kalanya mayat yang telah dikebumikan sekian lama terpaksa dibongkar semula untuk dibedah siasat sekali lagi untuk mendapatkan bukti lalu dapat menyelesaikan kes.




Manusia dibedah siasat umpama lembu atau kambing dilapah bukan tujuan untuk sesuka hati, malah ada objektif tertentu, jika manusia itu dibunuh, pembunuhnya perlu dikesan dan diberi tindakan yang sewajarnya. Bedah siasat akhirnya dapat membantu menyelesaikan masalah yang rumit, terutama bagi membantu menyelesaikan keraguan kes dan fakta.

Friday, December 25, 2009

Kepak.



Salam hormat dan rahayu,

Burung akan terbang tinggi melangit apabila dirinya berkepak, terus meneroka alam seolah olah dunia ini dalam genggamannya. Semua boleh dilihat, semua boleh diceritakan akan setiap penerokaannya kepada anak cucu cicit. Yang penting, setiap pengalaman dapat dikongsi bersama oleh anak generasi yang mendatang. Anak generasi yang mendatang ini perlu diberi pengetahuan dan kemahiran untuk survival kendiri supaya dapat terus hidup.


Apakah manusia juga berkepak? atau bersifat terlalu berkepak? bolehkah manusia menerjah langit atau menjunam ke dasar laut ataupun bumi, jawapannya boleh, jika punya akal. Manusia akan hilang akal jika keterlaluan dalam menguasai alam. Hitler, pemimpin Jerman hancur musnah kerana melampau batas untuk meluaskan kepaknya menguasai dunia. Begitu juga Firaun, raja Mesir yang mengaku dirinya tuhan, terlalu gah, terlalu mengepak diri, musnah dengan gah dan keegoannya.


Ada dalam kalangan pemimpin mengepak bila berkuasa, bila punya wang yang banyak, malah angkuh kerana bertindak sewenang-wenangnya ke atas rakyatnya. INGAT, jika seseorang pemimpin lupa diri, tidak mempunyai sifat-sifat amanah, benar, menyampaikan yang hak, dan tidak bersifat bijakjsana, pasti akan kecundang dan musnah.

"Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta." (surah Thaha : 124).

Tuesday, December 15, 2009

Mat Rempit atau Mat Lanun.




Salam hormat dan rahayu,

Anak muda sekarang makin berani dan semakin ikut perasaan bila menunggang motosikal dijalan-jalan raya. Tidak takut sesiapa, seolah-olah dunia ini aku punya. Isu mat rempit, mat samun atau mat lanun sudah menjadi sinonim pada masyarakat. Masyarakat masa kini sudah menjadi gusar dan risau akan kegiatan mat rempit atau mat lanun yang boleh menjejaskan keselamatan orang ramai.




Mat rempit dengan motosikal ganasnya, bergerombolan merajai jalan raya, lebuh raya, jalan kampung, berlumba sesama sendiri untuk mengejar wang, kejuaraan, nama, dan habuan masing-masing. Mat lanun pula, bukan setakat berlumba motor, malah sanggup menyamun, meragut, membunuh dan merompak sesuka hati tanpa belas kasihan.




Setiap hari ada saja berita mengenai kegiatan dan aktiviti mat rempit atau mat lanun yang sentiasa menimbulkan masalah masyarakat dan sukar pula dibendung. Sering terjadi kemalangan, kecederaan, dan kematian ke atas mat rempit dan mat lanun akibat tindakan melulu mereka. Apakah pihak berkuasa berdiam diri membisu seribu bahasa tanpa tindakan?

Lihat sana sini, jika ada kemalangan jalan raya berlaku yang melibatkan mat rempit, pasti jika terbunuh, mayatnya tidak sempurna (tidak semua). Anak remaja yang menjadi mat rempit tidak serik-serik, malah berbangga dengan perbuatan mereka sehinggakan mengalami kecederaan fizikal dan menganggap sebagai satu kebiasaan. Mereka begitu seronok dan ingin mencipta nama, apatah lagi jika anak gadis yang menjadi taruhan dalam perlumbaan haram.

Thursday, December 10, 2009

Hantu atau Tuhan


Salam hormat dan rahayu,


Setiap penganut apa saja agama, mempunyai kepercayaannya tersendiri. Kepercayaan itu memerlukan keyakinan yang kukuh, dan dapat mempengaruhi fikiran serta perjalanan hidup seseorang. Ada kepercayaan agama memerlukan pengorbanan dari penganutnya, malah perlu patuh tanpa ia dipersoalkan.

Di dunia ini ada berbagai dan pelbagai agama dan kepercayaan. Lain agama, lain pula amalan dan kepercayaannya. Ada yang memuja roh, ada yang memuja barang kena jadi (maujud) sebagai contoh, menyembah batu, pokok, kubur, memuja semangat, jin, dan api, yang kesemuanya ini dipercayai boleh membantu menyelesaikan masalah harian mereka.


Mereka percaya keampuhan penunggu kubur, penunggu laut, mereka juga yakin pada benda-benda ghaib, sama ada teori mahupun praktikalnya. Kebanyakan penunggu itu merupakan jin, iblis, semangat roh nenek moyang, pelbagai jenis hantu (antaranya, pelesit, toyol, pontianak, langsuir), dan bermacam lagi, dipercayai boleh mengubah nasib hidup dalam kalangan mereka.

Justeru dengan lain perkataan, mereka telah bertuhankan hantu. Sekiranya fikiran mudah dirasuk, mudah dipengaruhi, apatah lagi mereka tidak bertauhid kepada Ilahi, sudah tentu iman mereka kabur dan lebur. Terdapat banyak filem, drama, cerpen, cereka yang berbentuk seram, bercorak cerita hantu, dan tahyul yang boleh mempengaruhi minda anak-anak kecil dan anak remaja. Sekiranya perkara ini tidak dikawal dan dipantau oleh semua pihak, anak-anak kita akan mengalami masalah akidah dan kepercayaan.

Hantu ATAU Tuhan, yang mana boleh memberi manfaat dan dapat memberi pertolongan serta menyelesaikan sebarang masalah? Ini melibatkan akidah dan kepercayaaan. Apakah ada dalam kalangan mereka mempunyai kepercayaan berhantukan Tuhan atau bertuhankan Hantu.

Monday, December 7, 2009

Cinta Monyet.



Salam hormat dan rahayu,

Mana ada cinta suci, mana ada cinta jujur, mana ada cinta ikhlas..... mana semuanya itu, begitulah anak-anak muda meluahkan perasaan, terutama sekali bagi mereka yang asyik dalam percintaan, mahupun mereka yang putus atau kecewa dalam percintaan. Cinta monyet pada kebanyakan anak remaja memang banyak, tapi haru biru tidak ketentuan.


Kebanyakan anak remaja yang dilamun percintaan hidup dengan dunianya sendiri. Ada yang dapat restu dari orang tuanya, ada yang dilarang keras sama sekali oleh kedua ibu bapa mereka, dan ada dalam kalangan mereka melakukan semuanya itu diluar pengetahuan keluarganya. Justeru akan mengundang risiko yang tinggi.


Orang yang sedang asyik dan dilamun cinta sanggup menanggung apa jua risiko, termasuk disisih keluarga, lari dari rumah sendiri, cemuhan masyarakat, dan sampai ke peringkat bunuh diri. Apatah lagi bagi anak remaja yang baru mengenal dunia, yang belum bersedia ke arah dunia percintaan, sudah tentu hidup dan fikiran mereka gentayangan dan terumbang ambing.


Anak-anak remaja ini perlu dipantau oleh kedua ibu bapa mereka, usah dibiar begitu saja, jangan sama sekali membenarkan mereka membuat keputusan sendiri tanpa pengetahuan kedua orang tuanya, seelok-eloknya dibawa berbincang bersama, mungkin ini langkah yang baik. Kawal emosi, urus emosi anak sebaik-baiknya supaya 'nasi tidak menjadi bubur'.


Di samping itu, pupuk jiwa anak supaya cinta pada Ilahi, cinta akan agama, cinta kepada orang tua, cinta akan budaya bangsa, cinta akan ilmu, dan cinta akan negara. Apa jua cinta dan perjuangan, ia berterusan dan memerlukan pengorbanan. Justeru hendaklah bijaksana menangani apa jua masalah.

Sunday, December 6, 2009

Ni, Maut Namanya.


Salam hormat dan rahayu,

Setiap individu bebas menentukan hala tuju hidupnya. Bebas disini tidak bermaksud boleh melakukan apa saja sehingga menjejaskan keselamatan orang lain. Seseorang itu tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.


Walaupun dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat, mengenai 'Perkara 3', ada menyebut bahawa 'setiap orang adalah berhak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri', ini tidak beerti seseorang itu boleh bebas mutlak ke atas dirinya hingga tidak menghirau kesejahteraan orang lain.


Sebagai contoh, raja hendaklah bertanggungjawab ke atas kesejahteraan rakyatnya, begitu juga dengan tugas seseorang pemimpin, amanah yang diberi oleh rakyat perlu dilaksanakan dengan jujur, manakala seorang ketua keluarga, tanggungjawab ke atas kebajikan ahli keluarganya jangan terabai. Setiap ahli keluarga perlu saling nasihat menasihati mengenai hal-hal kekeluargaan agar keharmonian rumah tangga sentiasa kekal.


Sekiranya pemimpin sesebuah negara tidak bijak dalam mengurus hal-hal pentadbiran dan ekonomi, pasti negara itu akan mengalami kemelesetan dan akhirnya kehidupan rakyat menjadi kucar-kacir. Begitu juga keadaan rumah tangga, jika ketua keluarga itu tidak bijaksana mentadbir keluarganya, rumah tangga akan mengalami kehancuran.


Sekiranya salah seorang ahli keluarga, apatah lagi jika ketua keluarga itu sendiri tidak dapat kawal perbelajaan rumah tangganya kerana boros dan membazir tidak tentu hala, seperti mengunjung ke tempat pusat hiburan, ke kelab malam, menjadi seorang pemabuk, dan pemadat, sudah tentu keadaan rumah tangga mereka purak puranda. Anak akan keciciran dalam pelajaran, malah ketiadaan wang untuk berbelanja di sekolah, keperluan dapur tidak mencukupi, keharmonian dan kesejahteraan keluarga tergadai. Justeru hendaklah seseorang itu bertindak secara bijaksana.


"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik". surah An Nahl : 125.

Saturday, December 5, 2009

Akur Dengan Waktu.



Salam hormat dan rahayu,

Setiap ruang dipenuhi oleh jisim dan jirim. Ada yang kelihatan, dan ada yang tidak dapat dilihat dengan penglihatan mata kasar. Bila ada ruang, pasti ada waktu. Justeru ruang dan waktu saling berkaitan dan terikat pula dengan peristiwa. Waktu atau masa mempengaruhi hidup keseluruhan alam sejagat.


Rugi hidup ini, jika tidak menguasai dan menepati waktu atau masa dengan tepat. Kita mestilah bijak mengurus waktu. Waktu yang diberi hanyalah dua puluh empat jam sehari, tiada lebih tiada kurang. Pandai-pandailah menggunakan waktu supaya setiap tindakan, program dapat berjalan dengan lancar.


Waktu itu berjalan terus, tidak lagi menoleh belakang. Waktu usia muda tidak akan kembali lagi setelah kita berusia tua, hanya tinggal kenangan dan peristiwa yang boleh dijadikan pedoman untuk generasi baru. Setiap sesuatu yang hidup pasti akan mengalami proses usia dan kematian.


Manfaatkanlah waktu itu sebaik-baiknya supaya tidak dalam kerugian. Hendaklah kita sentiasa menepati waktu apabila berurusan dengan orang lain atau berurusan dengan kerja harian. Disiplinkan diri dengan menepati waktu dalam apa jua keadaan. Usah ambil mudah terhadap pentingnya waktu, kerana jika ia berlalu, pasti tidak akan kembali.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran'. (surah Al Ashr ).

"Barang sesiapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Allah akan berikan kepadanya kehidupan yang baik". (Surah An- Nahl : 54)

Friday, December 4, 2009

Aku Tidak Dipeduli.



Salam hormat dan rahayu,

Masih adakah rakyat miskin tegar di negara kita ini? kalau tidak dicari, mungkin tidak ketemu, jika ia sebaliknya, pasti rakyat berkenaan hidup dalam keadaan miskin berterusan. Siapakah akan membela nasib mereka? masyarakat, sanak keluarga, orang kampung atau kerajaan.


Tidak perlu saling menuding, yang pasti cari penyelesaiannya. Peranan semua pihak sangat diperlukan untuk kenalpasti rakyat yang menderita. Pihak yang berkuasa juga perlu memainkan peranan, antaranya Ketua Kampung, Penghulu Mukim, Pegawai Daerah, ADUN, dan Ahli Parlimen. Slogan 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' sangat-sangat dialukan, dan perlu terus diimplementasikan keseluruhannya untuk kebaikan bersama.


Bagaimana dengan keadaan penduduk di kawasan pedalaman, apakah nasib orang asli dan kaum penan terbela sepenuhnya? terutama dalam isu pendidikan dan hak milik tanah. Sekiranya pemimpin disetiap kawasan masing-masing membuat pemantauan berkala keatas status penduduknya, pasti nasib mereka terbela.


Rakyat yang terlalu daif, apatah lagi warga emas yang tidak ada tempat berlindung, kesihatan diri pula terjejas, perlu dibantu segera. Mereka yang tidak mempunyai anak atau saudara yang lain sudah tentu sentiasa berharap kepada sesiapa saja. Mereka hanya mampu berdoa.

Wednesday, December 2, 2009

Jangan Cari Pasal.



Salam hormat dan rahayu,

Sudah menjadi lumrah alam dan bersifat universal bahawa manusia ataupun haiwan akan bertindak ke atas apa jua yang mengancam keharmonian dan kesejahteraan hidupnya.

Ancaman itu mungkin berbagai dan pelbagai bentuk, tergantung kepada institusi atau kelompok menterjemahkannya. Jika sosio budaya menimbulkan masalah, maka sosio budayalah yang menjadi isu kepada mereka, begitu juga dengan politik, ekonomi, dan pendidikan.




Jika berlaku konflik dalam kalangan masyarakat atau sebarang organisasi, perlulah ada tindakan bersama untuk menyelesaikan apa jua masalah. Dewasa kini kadar jenayah, kadar kemalangan, semakin meningkat dan membimbangkan hati rakyat dan ini menjejaskan keselamatan kepada negara kita. Isu pendatang tanpa izin, isu penyalahgunaan bahan, dan gejala sosial juga salah satu daripada isu semasa yang perlu ditangani dengan segera.

Dalam politik sentiasa ada jatuh menjatuh, cantas mencantas untuk mempertahankan kedudukan yang sedia ada atau merebut peluang dalam kalangan mereka. Justeru berlakunya konflik politik, berlakunya konflik psikologi, dan konflik peranan dalam meneraju negara. Negara akan hancur jika rakyat tidak bersatu, negara akan musnah sekiranya penyelewengan kuasa dan korupsi tidak dapat dibendung atau dihapus sama sekali, negara akan lebur jika pemimpin sedia ada dan mendatang tidak bersifat Rasulullah.





Apa jua masalah yang dianggap kecil dan membolehkan keperluan rakyat terabai dalam negara ini, jika tidak dipantau dan diambil tindakan yang serius, maka masalah tersebut akan menjadi isu besar kepada negara. Ada terdapat isu yang sensitif yang perlu diberi perhatian dan diambil tindakan, antaranya menjual sepatu atau dompet duit yang diperbuat dari kulit babi, kertas atau tisu tandas yang ada tertulis dengan ayat-ayat al Quran, malah terdapat tudung mangkuk tempat membuang najis ditulis dengan kalimah Tuhan (di negara luar). Kesemuanya ini merupakan sebagai satu penghinaan kepada penganut dan agam Islam.

Apakah kita semua hanya berdiam seribu bahasa? ataupun berjuang menegakkan keadilan? Bertindaklah ke atas mereka, sebagaimana mereka bertindak ke atas kamu, setimpal dengan perbuatan mereka. Ingat, jangan melampaui batas, Tuhan tidak suka kepada mereka yang terlalu melampaui batas.

Monday, November 30, 2009

Dah Parah !



Salam hormat dan rahayu,

Kebanyakan anak remaja, tidak semua, masih terumbang ambing tidak punya hala tuju untuk terus hidup dalam masyarakat yang penuh dengan pancaroba. Mereka semua ini bakal memerintah negara, sekiranya mereka tidak dibimbing, tidak diberi pendidikan yang sempurna, pasti kita mengalami ketandusan bakal pemimpin yang akan meneraju negara ini dengan baik.

Kerajaan telah cuba sebaik mungkin untuk membimbing anak remaja supaya mereka akan menjadi warga yang berguna dan berfungsi kepada negara dengan melalui pelbagai program. Apakah ada keberhasilannya? pasti ada, tetapi jika dilihat disudut yang lain, terdapat banyak masalah gejala sosial timbul terutama dalam kalangan anak remaja dan ia perlu diambil perhatian serta tindakan secara serius.

Anak remaja yang tidak ada latar belakang agama yang kuat, akan lebih mudah terjerumus dalam kancah gejala sosial yang tidak sihat, apatah lagi jika mereka tidak ada kepercayaan dan jauh pula dari pandangan atau kawalan ibu bapa. Itu belum lagi cerita mengenai anak yang keciciran pelajaran, anak jalanan, dan anak remaja yang lari dari rumah sendiri untuk hidup bebas.




Ada terdapat dalam kalangan anak remaja yang terlalu bersosial hingga melampaui batas dan melanggar adab susila diri lalu hilang keluhuran budinya. Antaranya, ada keterlanjuran sesama sendiri, mabuk hingga hilang akal, bersifat terlalu agresif, salah guna bahan seperti terlibat dengan dadah, ahli mat rempit, dan menjadi ahli kongsi gelap.

Kita dan semua peringkat rakyat perlu mengambil tindakan segera untuk menangani masalah ini. Ada pepatah yang perlu dan boleh kita ambil iktibarnya iaitu 'anak mendengar kata, adik beradik kasih sepanjang masa, dan suami isteri seia sekata.'

Thursday, November 26, 2009

Aku Rela Begitu.


Salam Aidil Adha,
salam hormat dan rahayu,

Aku seorang anak kecil, akur dengan arahan ibu bapaku yang sangat aku kasihi. Aku tahu akan status keluargaku yang begitu miskin sekali. Tapi aku tetap bangga dengan keluargaku. Tiada mereka tiadalah aku. Aku juga kasih pada adik beradik aku yang lain, aku anak sulung dan sebagai anak sulung, aku berasa bertanggungjawab ke atas adikku yang lain.

Bapaku peniaga kecil-kecilan dipinggir jalanan, hasilnya hanya sesuap nasi pagi dan petang. Ibuku suri tumahtangga sepenuhnya, menjaga adik-adiku yang masih kecil. Aku bantu ayahku menjual kelapa muda, jika habis jualan pada hari itu, aku begitu gembira dan bangga sekali. Soal pelajaran? aku hanya ke tahap tahun empat, aku menangis dalam hati kerana tidak dapat meneruskan pelajaran. Aku rela begitu, asalkan adik-adikku yang lain dapat belajar.

Hati kecilku menangis hingga tiada henti, melihat nasib keluargaku, bapaku orang yang sabar dan tidak berpelajaran, tapi beliau seorang yang tekun beribadah dan bertanggungjawab. Apakah ini merupakan cubaan dan dugaan daripada Allah swt.? Aku berazam dan bertekad akan berusaha mengubah nasib keseluruhan keluargaku.

'Ya, Tuhanku permudahkanlah segala urusanku dan sempurnakanlah segala hajatku, hanya Engkau tempat aku memohon tiada yang lain, amin.' Begitulah aku memohon dan berdoa setiap hari pada Tuhanku. Aku yakin segala permintaanku akan dikabul oleh Allah, kerana Dia Maha Pemakbul Segala Doa.

Sunday, November 22, 2009

Aku Nak Tahu.


Salam hormat dan rahayu.

Adakah anak-anak kita sama ada diperingkat pra-sekolah, awal kanak-kanak, mahupun awal remaja sesuai diberi pendedahan pendidikan seksualiti? ATAU dengan kata lain pendidikan reproduktif?.

Harus ingat bahawa pendidikan seks berbeza sekali dengan pendidikan seksualti disegi pengertian, pendidikan seks lebih menjurus kepada lakuan atau teknik bersenggama, manakala pendidikan seksualiti atau reproduktif lebih kepada kekeluargaan, kesihatan diri, kaedah bersuci, dan hidup berkeluarga selepas melalui perkhawinan yang sah.

Orang awam terutama ibu bapa khuatir atau rasa bimbang jika anak mereka diberi pendedahan pelajaran tersebut. Mereka beranggapan pendidikan tersebut lebih menjurus kepada lakuan seks dan akan merosak jiwa anak mereka.

Ibu bapa keliru atau tidak jelas hala tuju pembelajaran tersebut. Justeru langkah atau tindakan yang tepat perlu dibuat oleh mana-mana pihak terutama kerajaan untuk memberi kefahaman kepada mereka. Apakah implikasi kepada anak-anak kita apabila pendidikan seksualiti atau reproduktif ini dilaksanakan di negara ini?

'Belajar satu huruf, mengamalkan seribu kali.' sabda nabi.

Friday, November 20, 2009

Boleh Minum? no problem.




Salam hormat dan rahayu.

Minum apa saja asalkan ia memberi kebaikan kesihatan fizikal dan minda. Minuman yang boleh mendatangkan kemudaratan diri perlu dipinggirkan. Minuman yang mengandungi gula yang berlebihan boleh meningkatkan paras kadar gula dalam darah juga perlu dipinggirkan, kerana ia boleh mengundang diabetes. Manakala minuman yang ada alkohol secara berlebihan pasti menjejaskan kesihatan dan minda.


Di sesetengah tempat dan negara, minuman beralkohol dijadikan sebagai satu minuman rutin, malah dibangga-banggakan dalam majlis formal dan hari-hari kebesaran. Apa jua perkara, jika ia terlalu melampau batas, pasti mengundang masalah yang besar. Minuman yang memabukkan dan memudaratkan, serta ditegah oleh agama hendaklah dijauhi. Minuman itu akan merosak jiwa.




Mabuk disebabkan oleh pengambilan minuman alkohol yang berlebihan dan boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Antaranya fikiran tidak waras, pembunuhan, bersikar kasar, merogol, kemalangan jalan raya, dan boleh mencederakan orang lain.



Berhati-hatilah mengambil apa jua jenis minuman, supaya tidak merosak jiwa dan badan. Dewasa ini, banyak jenis minuman ringan dijual di merata tempat untuk pengguna. Justeru jangan silap pilih.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan mensucikan diri". (Al Baqarah : 222).

Wednesday, November 18, 2009

Jalan Berhantu


Salam hormat dan rahayu.

Hari perayaan besar seperti Hari Kemerdekaan, Hari Raya Korban, Hari Natal, Hari Tahun Baru Cina, dan Deepavali, adalah hari yang diwartakan sebagai hari cuti umum. Rakyat akan bercuti di kampung masing-masing, untuk meraikan hari perayaan tersebut bersama keluarga dan sanak saudara.

Apa yang sering menjadi kekecohan ketika itu adalah berlakunya kesesakan lalulintas. Banyak kenderaan bergerak di jalan raya atau di lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing. Para pemandu yang tidak berhemah dan berhati-hati di jalan raya, pasti akan mengalami perkara yang tidak diingini berlaku.




Di negara kita, saban tahun peratus kemalangan jalan raya semakin meningkat. Usaha-usaha telah pun dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Realitinya, angka kematian semakin bertambah.

Apakah faktor utama yang menyebabkan kadar kematian semakin meningkat di jalan raya? mungkin lalai, atau keadaan jalan raya itu sendiri, pemandu mengantuk atau mabuk, atau keadaan kenderaan yang dipandu, ataupun sikap pengguna jalan raya yang tidak mengikut peraturan. Justeru hendaklah kita pasrah dan bertaqwa kepada Allah swt.

"Dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimah taqwa." (Al-Fath : 26)

Monday, November 16, 2009

Kasih Ibu Sepanjang Hayat.



Salam hormat dan rahayu.


Mana ibu tidak kasihkan anak. Kasih ibu terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat. Anak adalah pewaris dan zuriat kepada keturunan keluarga. Anak adalah permata hati dikasih, dibesar dan diberi pendidikan oleh ibu bapa supaya menjadi orang yang berguna, dan dapat berbakti kepada keluarga dan negara.


anak perlukan penjagaan yang rapi


Tidak mungkin anak diabaikan oleh ibu bapa, jika keadaan ini berlaku, zalim namannya. Zalim itu bermaksud meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Ada ibu yang tidak ada peri kemanusiaan, anaknya dibuang begitu saja tanpa belas kasihan, sedangkan haiwan pun kasih dan memelihara anaknya. Anak memerlukan kasih sayang dan hak penjagaan ibu bapa.




Keselamatan anak-anak perlu diutamakan dalam apa jua keadaan. Ibu bapa atau penjaganya yang akan menanggung risiko. Peliharalah anak-anak dengan baik dan penuh kasih sayang.

"Orang yang tidak mempunyai rasa kasih sayang bererti hatinya tidak hidup". (sabda nabi).

Sunday, November 15, 2009

Hidup Melarat




Salam hormat dan rahayu.

Masih adakah manusia hidup melarat tanpa tempat perlindungan di dunia ini? pasti ada, cuma perkadaran penduduk adalah berbeda bagi sesetengah tempat. Di negara yang sering dilanda bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebuluran, dan tsunami masih terdapat ramai rakyat yang hidup melarat, dan memerlukan bantuan dari semua pihak termasuk kerajaan tempatan.




tiada tempat tinggal

Dunia kini mengalami konflik ekonomi, dan negara kita terasa bahananya. Justeru rakyat disarankan berbelanja secara berhemah. Sumbangan semua pihak sama ada buah fikiran, dan penglibatan secara langsung dalam pembangunan ekonomi amatlah perlu untuk mengekalkan keseimbangan kesejahteraan negara.


Tidak dapat dinafikan memang ada rakyat yang hidup miskin dan melarat. Apakah kita perlu mendiamkan diri seribu bahasa, sedangkan negara kita sudah bebas dan merdeka sekian lamanya. Kerajaan tidak akan berdiam diri, kerana ini tanggungjawab bersama terutama dalam kalangan pemimpin rakyat. Masing-masing menjalankan tugas dan jika ada konflik peranan dan kesamaran tugas dalam mana-mana pemimpin dan organisasi, pasti rakyat akan menderita.

"Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri." ( Yunus : 44).

Saturday, November 14, 2009

Aku Mahu Kebebasan.



Salam hormat dan rahayu.

Anak remaja mahu bebas dari cengkaman ibu bapa. Mereka mahu berdikari. Jika anak remaja diberi kebebasan tanpa kawalan, ini akan mengundang masalah kepada keluarga. Begitu juga rakyat, mereka tidak mahu minda mereka dijajah setelah negara sudah bebas dan merdeka sekian lamanya. Apakah kebebasan boleh diperoleh dengan sewenang-wenangnya tanpa perjuangan.


Walaupun negara bebas sepenuhnya, jika minda rakyat masih dibelenggu, tidak bebas bersuara dan mengeluarkan pendapat untuk kebaikan negara, sudah tentu negara akan kucar kacir dan tunggang langgang. Sejarah Indonesia, jelas menunjukan bahawa rakyatnya berjuang menentang Belanda hingga ke titisan darah yang terakhir hanya menggunakan buluh bambu runcing, manakala India bertungkus lumus membebaskan diri dari cengkaman British.


Negara kita pernah mengalami situasi pelbagai bentuk yang tidak menyenangkan rakyat antaranya, konflik dalam kalangan pemimpin sehingga menimbulkan rusuhan dan demonstrasi dijalanan.




Kini Thailand, situasi politik di negara itu masih kucar kacir akibat pemberontakan rakyat yang telah celik akal untuk menyingkirkan pemimpin yang korupsi. Harus ingat, rakyat mahukan keadilan dan kebenaran, anak-anak pula mahukan hak kebebasan dan hak pendidikan. Adakah kebebasan mutlak terbentuk dalam hidup ini?





Sebenarnya tidak ada kebebasan mutlak, selagi kita terikat dengan ruang dan waktu selagi itu kita tidak bebas mutlak. Kita masih tertakluk dengan peraturan dan undang-undang. Justeru kita hendaklah bijaksana mengatur hidup ini.

Thursday, November 12, 2009

Hempedu Ular.


Salam hormat dan rahayu.

Rezeki boleh dicari dan diperoleh dimana-mana saja. Ini tergantung kepada kebijaksanaan individu. Jika kita berusaha dan dapat restu Tuhan pasti kita peroleh kejayaan. Apa jua bentuk pekerjaan, sama ada sebagai peniaga, petani, peladang, penjual secara kecil-kecilan, mahupun pentadbir, hendaklah bersikap ikhlas dan jujur.




Ada juga terdapat peniaga-peniaga kecil mencari rezeki dijalanan untuk menyara hidup keluarga mereka. Mereka sanggup menjual apa saja untuk terus hidup asalkan ianya dilakukan secara halal. Di Kota Jakarta Pusat, sering kelihatan anak muda berniaga obat tradisional di jalanan. Mereka menjual sekelompok ular senduk (cobra) untuk dijadikan obat dan penawar segala penyakit.

Ular itu dibunuh, hempedunya ditelan mentah, manakala dagingnya dipotong dibakar dijadikan sate. Harga bagi seekor ular senduk ialah 50,000 hingga 100,000 rupiah. Mereka mempunyai pelanggan tetap dan pendapatannya agak lumayan. Di negara Hong kong, Jepun, dan Thailand juga terdapat gerai-gerai yang menjual ular untuk tujuan perubatan. Setiap penyakit ada penawarnya. Justeru carilah penawar yang bersesuaian dengan penyakit anda. Yang pasti jumpa doktor pakar untuk dapatkan rawatan bagi sebarang penyakit.

Wednesday, November 11, 2009

Berkomunikasi Dengan Si Mati


Salam hormat dan rahayu.

Apakah kita boleh berkomunikasi dengan benda yang ghaib? contohnya berbicara dengan si roh mati, memasuki alam jin, dan sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Lain bangsa , lain pula kepercayaan dan pegangan mereka.

Ada dalam kalangan manusia yang mengaku boleh berhubung dengan roh simati, dan ada juga dalam kalangan mereka boleh berkomunikasi dengan jin atau makhluk halus. Apakah semuanya ini boleh berlaku? perkara begini amatlah subjektif, abstrak, paranormal, dan berbentuk metafizik.

Anak -anak kecil termasuk remaja perlu diberi penjelasan yang betul dan tepat mengenai akidah, kepercayaan, dan tahayul. Mereka mesti dapat membezakan perkara yang haq dan yang batil. Sebut pasal roh, ia adalah perkara yang ghaib. Sukar dibuktikan dengan ilmu kalam biasa.