Showing posts with label Alam Semesta Sejagat.. Show all posts
Showing posts with label Alam Semesta Sejagat.. Show all posts

Tuesday, April 20, 2010

Sekawan Gajah


Salam hormat dan rahayu.


Sekawan gajah merentasi hutan melalui denai pasti tidak ada yang berani menghalangnya. Tok Batin dan anak buahnya cukup takut dan menghormati haiwan tersebut. Jika mereka kurang teliti terhadap tabiat sekawan gajah pasti membawa kecelakaan. Gajah adalah haiwan yang dilindungi oleh kerajaan, baik di Afrika, India, mahupun di Thailand.


Suatu ketika dulu gajah diburu, dibunuh untuk mendapatkan gading, lalu dijual dipasaran gelap dengan harga yang sungguh lumayan. Semakin hari semakin pupus haiwan tersebut. Justeru dunia perlu membuat sesuatu untuk memelihara, memulihara dan memberi perlindungan kepada haiwan itu.


Di Thailand, Surin merupakan kawasan yang terkenal dengan gajah. Saban tahun ramai pelancong datang untuk melihat temasya atau perayaan gajah. Kebanyakan sekumpulan gajah dipelihara dan dilatih untuk tujuan pertunjukan yang boleh menghasilkan pendapatan. Selain untuk pertunjukan, gajah juga digunakan untuk pengangkutan dan membantu mendapatkan hasil perhutanan.


Gajah adalah haiwan yang sensitif dan peka pada alam persekitarannya. Justeru berwaspada terhadap sekumpulan haiwan tersebut. Pernah aku bersama sekumpulan pelajar Politeknik mendaki Gunung Tapis yang terletak di Pahang, bertembung dengan sekawan gajah jam dua pagi. Mengenepi kami, dan duduk berdiam diri memberi laluan kepada sekawan gajah. Tok Batin yang mengiring kami diam seribu bahasa.

Monday, January 25, 2010

Beginikah Aku?


Salam hormat dan rahayu,

Mencari Sesuap Nasi.


Untuk sesuap nasi, manusia rela melakukan apa saja untuk terus hidup, cuma bentuk tindakan bagi memperoleh sesuatu akan berbeza antara satu sama lain. Ada yang sanggup merompak, berniaga apa saja, minta sedekah dijalanan atau dikaki lima, hingga ke tahap membunuh.


Masih terdapat peminta sedekah berada dijalanan dan dikaki lima di kebanyakan negara, tidak kira di negara maju, negara perindustrian, dan negara yang sedang membangun. Kebanyakan mereka tidak mempunyai pekerjaan, tempat tinggal, dan ada yang cacat anggota akibat kemalangan.




Amalan meminta sedekah ini sudah menjadi sinonim di kawasan yang ramai penduduk, di bandar-bandar, dan ada kemungkinan mereka ini hidup berkelompok yang hanya meminta belas ehsan daripada orang ramai. Jika terlalu ramai peminta sedekah dan tidak dikawal oleh pemerintah, ada kebarangkalian ia menjadi isu dan masalah kepada negara.


Ada yang kurang upaya, sebagai contoh hilang penglihatan iaitu buta, tapi mendapat latihan kemahiran memainkan alat muzik, mereka terus menggunakan kemahiran tersebut untuk mencari rezeki dan dijadikan sebagai satu pekerjaan harian. Tidak pula dinafikan bahawa ada terdapat peminta sedekah dari warga asing yang didalangi oleh sindiket tertentu untuk mendapatkan wang dengan jalan mudah.




Ada kalanya, anak-anak kecil dipaksa menjadi peminta sedekah, oleh itu, semua pihak perlu prihatin tentang perkara ini. Pemimpin setempat tidak boleh berdiam diri, mesti buat sesuatu sebagai pemimpin yang diterima rakyat, jika tidak akan timbul isu atau aduan rakyat yang memerlukan keadilan.

Saturday, December 5, 2009

Akur Dengan Waktu.



Salam hormat dan rahayu,

Setiap ruang dipenuhi oleh jisim dan jirim. Ada yang kelihatan, dan ada yang tidak dapat dilihat dengan penglihatan mata kasar. Bila ada ruang, pasti ada waktu. Justeru ruang dan waktu saling berkaitan dan terikat pula dengan peristiwa. Waktu atau masa mempengaruhi hidup keseluruhan alam sejagat.


Rugi hidup ini, jika tidak menguasai dan menepati waktu atau masa dengan tepat. Kita mestilah bijak mengurus waktu. Waktu yang diberi hanyalah dua puluh empat jam sehari, tiada lebih tiada kurang. Pandai-pandailah menggunakan waktu supaya setiap tindakan, program dapat berjalan dengan lancar.


Waktu itu berjalan terus, tidak lagi menoleh belakang. Waktu usia muda tidak akan kembali lagi setelah kita berusia tua, hanya tinggal kenangan dan peristiwa yang boleh dijadikan pedoman untuk generasi baru. Setiap sesuatu yang hidup pasti akan mengalami proses usia dan kematian.


Manfaatkanlah waktu itu sebaik-baiknya supaya tidak dalam kerugian. Hendaklah kita sentiasa menepati waktu apabila berurusan dengan orang lain atau berurusan dengan kerja harian. Disiplinkan diri dengan menepati waktu dalam apa jua keadaan. Usah ambil mudah terhadap pentingnya waktu, kerana jika ia berlalu, pasti tidak akan kembali.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran'. (surah Al Ashr ).

"Barang sesiapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka sesungguhnya Allah akan berikan kepadanya kehidupan yang baik". (Surah An- Nahl : 54)