Thursday, September 15, 2011

16 September 1963







Salam hormat dan rahayu.



Genap sudah 54 tahun negara kita merdeka dan diraikan bersempena Hari Kemerdekaan 16 September 1963. Apa jua ideologi, agama dan aliran kepercayaan, sebagai rakyat Malaysia perlu kita bersama berganding bahu mengekalkan keamanan dan menolak keganasan. Sejarah telah menunjukkan bahawa perpecahan kaum, dan sebarang konflik ideologi politik menghasilkan kesengsaraan kepada rakyat.


Sebagai contoh peristiwa 13 Mei 1969, peristiwa pemerintahan Bintang Tiga (penguasaan PKM selama 14 hari), dan peristiwa Bukit Kepong, menggambarkan situasi ketidakstabilan politik di negara ini. Saya ingin menulis serba sedikit berkenaan peristiwa sebelum merdekanya Tanah Melayu, antaranya:







" Selepas kekalahan Jepun 1945, Tanah Melayu dikuasai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) selama 14 hari. Dalam tempoh itu PKM telah banyak melakukan keganasan dan terjadilah huru-hara. PKM telah mengambil kesempatan menguasai Tanah Melayu melalui cawangan tenteranya yang dikenali sebagai MPAJA. Tentera MPAJA dikenali sebagai tentera Bintang Tiga. Tindakan PKM telah menyebabkan ketegangan kaum kerana kebanyakan anggota PKM terdiri daripada kaum cina. Di Batu Pahat dan Muar, gerakan yang menentang PKM dipimpin oleh Kiyai Salleh bin Karim. Dato' Onn Jaafar, pegawai daerah Batu Pahat berjaya menghalang daripada berlakunya pertumpahan yang dahsyat. Ketegangan kaum dapat diatasi oleh pentadbiran tentera British.




Kiyai Salleh Bin Karim

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 oleh PKM di Ipoh, Perak. Presiden pertama ialah Mokhtaruddin bin Laso, ketua rejimen 10 Melayu, Parti komunis Malaya. PKMM dan sekutunya Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya (BATAS) telah menyokong Malaya Union."




PKM terdiri daripada dua kumpulan iaitu MPAJA (Bintang Tiga) yang kebanyakannya dianggotai oleh orang cina. PKMM (antaranya API, AWAS, dan BATAS) kebanyakannya dianggotai oleh orang melayu yang radikal dan beragama Islam. Ideologi MPAJA dan PKMM tidak sama, akan tetapi kedua-dua kumpulan ini berjuang menentang British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.




Apakah PKMM dianggap atau dilabel sebagai pejuang atau sebaliknya. Justeru kita perlu lihat semula fakta sejarah sama ada ianya benar-benar tepat atau betul tetapi tidak benar.

Tuesday, September 13, 2011

Adakah Tahyul Bunuh Minda








Salam hormat dan rahayu.




Apakah cerita atau filem seram yang dipaparkan di sebarang media boleh membina atau meruntuhkan minda seseorang? Apakah sering terdapat cerita seram atau tahyul membunuh minat anak atau anak remaja untuk terus berfikir secara rasional? kesemuanya ini membayangkan betapa besar pengaruhnya cerita seram itu dalam pemikiran mereka.





Adakalanya cerita seram sama ada dari dalam negeri maupun luar negara seperti Indonesia, Thailand, Korea, dan Jepun boleh menggugat akidah mereka. Apatah lagi cerita seram tersebut boleh menguasai jiwa mereka untuk terus taksub tanpa memikirkan realitinya.





Anak-anak termasuk orang dewasa disogok dengan cerita seram sehingga terpengaruh dengan kehidupan sehariannya, mereka sudah mula mengabaikan realiti dan tidak dapat membezakan yang mana satu mendatangkan kebaikan dan yang mana boleh menjejaskan pelajaran. Cerita-cerita berunsur ganas juga turut mempengaruhi minda mereka.

Monday, September 12, 2011

Bila Diri Menidakkan Diri








Salam hormat dan rahayu




Apakah akan terjadi bila naluri semulajadi manusia tidak dikawal dan tidak dirasionalkan? Apakah sesuatu tindakan yang diambil itu sama ada untuk kebaikan maupun sebaliknya memberi manfaat pada mereka? Manusia sering membuat apa jua untuk kepentingan diri sendiri, malah sanggup bertindak diluar perikemanusiaan tanpa belas kasihan. Antaranya, memukul, menipu, menindas, dan membunuh.







Prejudis dalam kalangan mereka atau sesuatu komuniti sering terjadi sehingga membawa kepincangan hidup kearah tidak lagi aman dan sejahtera. Di negara yang mengalami kekacauan ekonomi dan politik, sering berlakunya konflik yang membawa dan mewujudkan keganasan, kebuluran, kemiskinan, dan yang lebih buruk lagi apabila berlakunya rusuhan atau revolusi yang membolehkan sesebuah negara itu menjadi hancur dan lebur.






Jiwa manusia tidak akan tenang selagi hilang kepercayaan kepada Tuhan, keamanan, dan saling kasih sayang. Jiwa iblis dan syaitan akan muncul dimana saja untuk bermaharaja dimata dan bersultan dihati, tanpa memikirkan kesejahteraan manusia sejagat. Orang berpolitik akan buat apa saja untuk mendapatkan kekuasaan, kemewahan, mengekalkan kedudukannya, dan memijak kepala orang lain untuk terus berkuasa...apakah perjuangan mereka? untuk ini tanyalah diri sendiri. Adakah sifat semulajadi manusia yang sentiasa memerlukan kasih sayang, dan keamanan dibatasi oleh sifat keegoaan masing-masing? Tepuk dada tanya bicara akaliah diri sendiri.

Tuesday, September 6, 2011

zaman edan






Salam hormat dan rahayu



Untuk kalian yang saya hormati, saya ucapkan salam aidilfitri semoga berhasil keberkatan dan restu hidup daripada Allah s.w.t. Tahniah untuk kalian kerana berjaya tarbiyahkan ramadhan, semoga terus istiqomah.
                                                  
        
Berjuang untuk kebenaran



Saya ingin menterjemah beberapa bait hasil nukilan Raden Ngabehi Ronggowarsito dengan karya yang dianggap sebagai Ramalan Jayabaya (sekadar renungan dan santapan minda). Antara bait tersebut;

"amenangi zaman edan, ewuh aya ing pambudi, milu edan nora tahan, yen tan milu anglakoni, boya kaduman melik, kaliren wekasanipun, ndilalah karsa Allah, begja begjane kang lali, luwih begja kang eling lan waspada"

membawa maksud : "hidup di zaman gila, memang susah, mencoba ikut tidak sampai hati, kalau tak mengikuti, tak memperoleh apapun, akhirnya menderita kelaparan, namun sudah menjadi kehendak Yang Maha Kuasa, meskipun yang lupa hidup makmur, masih lebih bahagia yang senantiasa ingat dan waspada" (dipetik dari Serat Kalatida bait nombor 7, karya Ronggowarsito)

Tuesday, April 5, 2011

Kerana 7 Ringgit?



Salam hormat dan rahayu






Sering aku terdengar kata orang tua "didiklah anakku, rotan dan pukullah anakku sebagai pengajaran untuk memperoleh imu, tapi usah keterlaluan hingga menjadi buta, pekak, maupun patah, didiklah anak ini dengan penuh kasih sayang.







Teks yang terucap ini ada relevan dengan peristiwa yang amat menyayat hati, seorang murid berumur tujuh tahun dipukul dan didera selama hampir dua jam, lalu mengakibatkan kematian. Murid tersebut adalah Saiful Syazni bin Saiful Sopfida berumur tujuh tahun bersekolah di Sekolah Agama Rakyat di Jejawi. Saiful Syazani meninggal dunia jam 8.50 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah.




Suspek yang memukul murid itu adalah seorang guru sekolah dan bertugas sebagai penyelia asrama ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kes ini. Guru ini bersikap kejam dan tidak bertimbang rasa hingga menyebabkan kematian muridnya sendiri. Guru yang bertanggungjawab dan berkewibawaan serta ikhlas tidak akan melakukan perbuatan ini.






Mana mungkin seorang yang berjiwa pendidik sanggup melakukan perbuatan yang melampau batas, apatah lagi terhadap anak didiknya sendiri. Guru itu memukul murid hingga menyebabkan kematian atas alasan murid tersebut telah mengambil wang orang lain berjumlah hanya tujuh ringgit sahaja. Apakah ini setimpal dengan perbuatan guru yang zalim itu?

Saturday, March 12, 2011

Siapakah Penipu?





Salam hormat dan rahayu




Orang lama atau orang-orang tua ada berkata bahawa si bodoh makanan si cerdik, si lemah makanan si gagah, dan si lurus makanan si bengkok. Justeru berwaspada dalam mengharungi lautan hidup yang penuh dengan berbagai dan pelbagai tipu daya. Dunia ini pentas sandiwara yang perlu kita berhati-hati dalam membuat apa jua tindakan.

Situasi begini berkemungkinan berlaku dalam hidup seseorang, tidak kira ia berpangkat, sebagai pemimpin negara, ahli perniagaan mahupun ahli agama. Yang penting disini, seseorang itu perlu bijaksana dan berjiwa luhur dalam menentukan hidup masing-masing. Lihat saja apa yang telah berlaku pada individu yang tercebur dengan kancah penyelewengan kuasa, cantas mencatas dalam politik mahupun mendapat kedudukan dalam sesuatu organisasi.






Manusia hanyut dengan dunia sendiri kerana terlalu tamak, ego, suka menipu, mahu berkuasa, selalu menang sendiri dalam mengaut keuntungan dan sanggup berbunuhan tanpa belas kasihan, akhirnya akan kecundang sendirian dalam kehidupannya.

Friday, February 11, 2011

Apakah Kesudahannya?




Salam hormat dan rahayu.



Apa kesudahannya pabila manusia sering saling tidak mengalah, sentiasa saling mahu menang sendiri. Apakah keberuntungan yang diperolehi, material atau kedudukan, ataupun kekuasaan politik? ini semuanya ada jawapannya dalam diri seseorang, sama ada secara positif mahupun negatif. Apakah sebarang perjuangan belum selesai memerlukan manusia bertindak menagih kebenaran, keadilan mahupun keharmonian?





Lihat saja peristiwa terkini dan masih berlaku di seluruh dunia melalui media, perjuangan menuntut keadilan, perjuangan menuntut hak asasi manusia, hak politik dan hak rakyat sering bergolak tanpa henti. Sebagai contoh, di Mesir kini, perjuangan menuntut peletakan jawatan Hosni Mubarak masih berterusan, rakyat masih protes dan berdemontrasi setiap hari. Rakyat Mesir mahukan pembaharuan dan pembelaan nasib mereka. PASTI Hosni Mubarak Letak Jawatan dalam masa terdekat.








Pemerintah yang angkuh tidak mahu mendengar desakan rakyat pasti akan mengalami kehancuran. Mana mungkin dia boleh memerintah dan bermaharajalela tanpa mendengar rintihan rakyatnya, sejarah telah menggambarkan ramai pemerintah yang zalim dan lupa diri akhirnya kecundang dibinasa oleh rakyatnya sendiri.