Salam hormat dan rahayu,
Kebanyakan anak remaja, tidak semua, masih terumbang ambing tidak punya hala tuju untuk terus hidup dalam masyarakat yang penuh dengan pancaroba. Mereka semua ini bakal memerintah negara, sekiranya mereka tidak dibimbing, tidak diberi pendidikan yang sempurna, pasti kita mengalami ketandusan bakal pemimpin yang akan meneraju negara ini dengan baik.
Kerajaan telah cuba sebaik mungkin untuk membimbing anak remaja supaya mereka akan menjadi warga yang berguna dan berfungsi kepada negara dengan melalui pelbagai program. Apakah ada keberhasilannya? pasti ada, tetapi jika dilihat disudut yang lain, terdapat banyak masalah gejala sosial timbul terutama dalam kalangan anak remaja dan ia perlu diambil perhatian serta tindakan secara serius.
Anak remaja yang tidak ada latar belakang agama yang kuat, akan lebih mudah terjerumus dalam kancah gejala sosial yang tidak sihat, apatah lagi jika mereka tidak ada kepercayaan dan jauh pula dari pandangan atau kawalan ibu bapa. Itu belum lagi cerita mengenai anak yang keciciran pelajaran, anak jalanan, dan anak remaja yang lari dari rumah sendiri untuk hidup bebas.
Ada terdapat dalam kalangan anak remaja yang terlalu bersosial hingga melampaui batas dan melanggar adab susila diri lalu hilang keluhuran budinya. Antaranya, ada keterlanjuran sesama sendiri, mabuk hingga hilang akal, bersifat terlalu agresif, salah guna bahan seperti terlibat dengan dadah, ahli mat rempit, dan menjadi ahli kongsi gelap.
Kita dan semua peringkat rakyat perlu mengambil tindakan segera untuk menangani masalah ini. Ada pepatah yang perlu dan boleh kita ambil iktibarnya iaitu 'anak mendengar kata, adik beradik kasih sepanjang masa, dan suami isteri seia sekata.'
No comments:
Post a Comment