Tuesday, November 3, 2009

Bila Usia Mulai Kabur.



Salam hormat dan rahayu.

Usia terikat dengan ruang dan waktu. Pasti usia itu mempunyai rentetan peristiwa. Setiap insan mengalami usia di peringkat alam rahim, kanak-kanak, remaja, dewasa, seterusnya ke peringkat usia tua. Sekiranya tidak dimanfaatkan waktu dengan bijaksana pasti seseorang itu akan mengalami kerugian dan penuh kekecewaan.

Silap langkah kaki ketika berjalan, ianya dapat diperbetulkan, tetapi silap langkah dalam kehidupan merana padahnya. Hidup ini penuh dengan rintangan dan pancarobanya, jika ada cobaan hidup perlulah kita menanganinya dengan penuh bijaksana.

Tidak ada sesuatu pun yang kekal, semuanya binasa kecuali Allah Tuhan Pencipta Alam. Lihat saja alam semesta ini, sering kali mengalami perubahan fizikal seperti berlakunya gempa bumi, taufan, tsunami, dan letupan gunung berapi. Manusia begitu juga, apabila mengalami perubahan fizikal, ia turut juga mempengaruhi minda dan jiwa.





Apabila usia diperingkat remaja, semuanya kelihatan cantik, tampan dan sempurna. Namun, setelah dimamah usia, semuanya kelihatan kabur dan pudar, tidak lagi kelihatan cantik, tampan dan gagah. Apa yang tinggal, hanya kenangan dan peristiwa. Justeru carilah ketenangan jiwa, carilah keabadian luhur budi, dan carilah kesucian hati. Tumpukan hatimu kepada Allah kerana Dia Maha Berkuasa dan tidak musnah.

"Semua orang yang di bumi akan musnah. Dan zat Tuhanmu yang Besar lagi Mulia akan tetap tinggal kekal." (Al-Rahman : 26-27).

No comments:

Post a Comment