Salam hormat dan rahayu,
Burung akan terbang tinggi melangit apabila dirinya berkepak, terus meneroka alam seolah olah dunia ini dalam genggamannya. Semua boleh dilihat, semua boleh diceritakan akan setiap penerokaannya kepada anak cucu cicit. Yang penting, setiap pengalaman dapat dikongsi bersama oleh anak generasi yang mendatang. Anak generasi yang mendatang ini perlu diberi pengetahuan dan kemahiran untuk survival kendiri supaya dapat terus hidup.
Apakah manusia juga berkepak? atau bersifat terlalu berkepak? bolehkah manusia menerjah langit atau menjunam ke dasar laut ataupun bumi, jawapannya boleh, jika punya akal. Manusia akan hilang akal jika keterlaluan dalam menguasai alam. Hitler, pemimpin Jerman hancur musnah kerana melampau batas untuk meluaskan kepaknya menguasai dunia. Begitu juga Firaun, raja Mesir yang mengaku dirinya tuhan, terlalu gah, terlalu mengepak diri, musnah dengan gah dan keegoannya.
Ada dalam kalangan pemimpin mengepak bila berkuasa, bila punya wang yang banyak, malah angkuh kerana bertindak sewenang-wenangnya ke atas rakyatnya. INGAT, jika seseorang pemimpin lupa diri, tidak mempunyai sifat-sifat amanah, benar, menyampaikan yang hak, dan tidak bersifat bijakjsana, pasti akan kecundang dan musnah.
"Dan barangsiapa berpaling dari peringatanKu, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada Hari Kiamat dalam keadaan buta." (surah Thaha : 124).
No comments:
Post a Comment