Monday, November 30, 2009

Dah Parah !



Salam hormat dan rahayu,

Kebanyakan anak remaja, tidak semua, masih terumbang ambing tidak punya hala tuju untuk terus hidup dalam masyarakat yang penuh dengan pancaroba. Mereka semua ini bakal memerintah negara, sekiranya mereka tidak dibimbing, tidak diberi pendidikan yang sempurna, pasti kita mengalami ketandusan bakal pemimpin yang akan meneraju negara ini dengan baik.

Kerajaan telah cuba sebaik mungkin untuk membimbing anak remaja supaya mereka akan menjadi warga yang berguna dan berfungsi kepada negara dengan melalui pelbagai program. Apakah ada keberhasilannya? pasti ada, tetapi jika dilihat disudut yang lain, terdapat banyak masalah gejala sosial timbul terutama dalam kalangan anak remaja dan ia perlu diambil perhatian serta tindakan secara serius.

Anak remaja yang tidak ada latar belakang agama yang kuat, akan lebih mudah terjerumus dalam kancah gejala sosial yang tidak sihat, apatah lagi jika mereka tidak ada kepercayaan dan jauh pula dari pandangan atau kawalan ibu bapa. Itu belum lagi cerita mengenai anak yang keciciran pelajaran, anak jalanan, dan anak remaja yang lari dari rumah sendiri untuk hidup bebas.




Ada terdapat dalam kalangan anak remaja yang terlalu bersosial hingga melampaui batas dan melanggar adab susila diri lalu hilang keluhuran budinya. Antaranya, ada keterlanjuran sesama sendiri, mabuk hingga hilang akal, bersifat terlalu agresif, salah guna bahan seperti terlibat dengan dadah, ahli mat rempit, dan menjadi ahli kongsi gelap.

Kita dan semua peringkat rakyat perlu mengambil tindakan segera untuk menangani masalah ini. Ada pepatah yang perlu dan boleh kita ambil iktibarnya iaitu 'anak mendengar kata, adik beradik kasih sepanjang masa, dan suami isteri seia sekata.'

Thursday, November 26, 2009

Aku Rela Begitu.


Salam Aidil Adha,
salam hormat dan rahayu,

Aku seorang anak kecil, akur dengan arahan ibu bapaku yang sangat aku kasihi. Aku tahu akan status keluargaku yang begitu miskin sekali. Tapi aku tetap bangga dengan keluargaku. Tiada mereka tiadalah aku. Aku juga kasih pada adik beradik aku yang lain, aku anak sulung dan sebagai anak sulung, aku berasa bertanggungjawab ke atas adikku yang lain.

Bapaku peniaga kecil-kecilan dipinggir jalanan, hasilnya hanya sesuap nasi pagi dan petang. Ibuku suri tumahtangga sepenuhnya, menjaga adik-adiku yang masih kecil. Aku bantu ayahku menjual kelapa muda, jika habis jualan pada hari itu, aku begitu gembira dan bangga sekali. Soal pelajaran? aku hanya ke tahap tahun empat, aku menangis dalam hati kerana tidak dapat meneruskan pelajaran. Aku rela begitu, asalkan adik-adikku yang lain dapat belajar.

Hati kecilku menangis hingga tiada henti, melihat nasib keluargaku, bapaku orang yang sabar dan tidak berpelajaran, tapi beliau seorang yang tekun beribadah dan bertanggungjawab. Apakah ini merupakan cubaan dan dugaan daripada Allah swt.? Aku berazam dan bertekad akan berusaha mengubah nasib keseluruhan keluargaku.

'Ya, Tuhanku permudahkanlah segala urusanku dan sempurnakanlah segala hajatku, hanya Engkau tempat aku memohon tiada yang lain, amin.' Begitulah aku memohon dan berdoa setiap hari pada Tuhanku. Aku yakin segala permintaanku akan dikabul oleh Allah, kerana Dia Maha Pemakbul Segala Doa.

Sunday, November 22, 2009

Aku Nak Tahu.


Salam hormat dan rahayu.

Adakah anak-anak kita sama ada diperingkat pra-sekolah, awal kanak-kanak, mahupun awal remaja sesuai diberi pendedahan pendidikan seksualiti? ATAU dengan kata lain pendidikan reproduktif?.

Harus ingat bahawa pendidikan seks berbeza sekali dengan pendidikan seksualti disegi pengertian, pendidikan seks lebih menjurus kepada lakuan atau teknik bersenggama, manakala pendidikan seksualiti atau reproduktif lebih kepada kekeluargaan, kesihatan diri, kaedah bersuci, dan hidup berkeluarga selepas melalui perkhawinan yang sah.

Orang awam terutama ibu bapa khuatir atau rasa bimbang jika anak mereka diberi pendedahan pelajaran tersebut. Mereka beranggapan pendidikan tersebut lebih menjurus kepada lakuan seks dan akan merosak jiwa anak mereka.

Ibu bapa keliru atau tidak jelas hala tuju pembelajaran tersebut. Justeru langkah atau tindakan yang tepat perlu dibuat oleh mana-mana pihak terutama kerajaan untuk memberi kefahaman kepada mereka. Apakah implikasi kepada anak-anak kita apabila pendidikan seksualiti atau reproduktif ini dilaksanakan di negara ini?

'Belajar satu huruf, mengamalkan seribu kali.' sabda nabi.

Friday, November 20, 2009

Boleh Minum? no problem.




Salam hormat dan rahayu.

Minum apa saja asalkan ia memberi kebaikan kesihatan fizikal dan minda. Minuman yang boleh mendatangkan kemudaratan diri perlu dipinggirkan. Minuman yang mengandungi gula yang berlebihan boleh meningkatkan paras kadar gula dalam darah juga perlu dipinggirkan, kerana ia boleh mengundang diabetes. Manakala minuman yang ada alkohol secara berlebihan pasti menjejaskan kesihatan dan minda.


Di sesetengah tempat dan negara, minuman beralkohol dijadikan sebagai satu minuman rutin, malah dibangga-banggakan dalam majlis formal dan hari-hari kebesaran. Apa jua perkara, jika ia terlalu melampau batas, pasti mengundang masalah yang besar. Minuman yang memabukkan dan memudaratkan, serta ditegah oleh agama hendaklah dijauhi. Minuman itu akan merosak jiwa.




Mabuk disebabkan oleh pengambilan minuman alkohol yang berlebihan dan boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Antaranya fikiran tidak waras, pembunuhan, bersikar kasar, merogol, kemalangan jalan raya, dan boleh mencederakan orang lain.



Berhati-hatilah mengambil apa jua jenis minuman, supaya tidak merosak jiwa dan badan. Dewasa ini, banyak jenis minuman ringan dijual di merata tempat untuk pengguna. Justeru jangan silap pilih.

"Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan mensucikan diri". (Al Baqarah : 222).

Wednesday, November 18, 2009

Jalan Berhantu


Salam hormat dan rahayu.

Hari perayaan besar seperti Hari Kemerdekaan, Hari Raya Korban, Hari Natal, Hari Tahun Baru Cina, dan Deepavali, adalah hari yang diwartakan sebagai hari cuti umum. Rakyat akan bercuti di kampung masing-masing, untuk meraikan hari perayaan tersebut bersama keluarga dan sanak saudara.

Apa yang sering menjadi kekecohan ketika itu adalah berlakunya kesesakan lalulintas. Banyak kenderaan bergerak di jalan raya atau di lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing. Para pemandu yang tidak berhemah dan berhati-hati di jalan raya, pasti akan mengalami perkara yang tidak diingini berlaku.




Di negara kita, saban tahun peratus kemalangan jalan raya semakin meningkat. Usaha-usaha telah pun dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Realitinya, angka kematian semakin bertambah.

Apakah faktor utama yang menyebabkan kadar kematian semakin meningkat di jalan raya? mungkin lalai, atau keadaan jalan raya itu sendiri, pemandu mengantuk atau mabuk, atau keadaan kenderaan yang dipandu, ataupun sikap pengguna jalan raya yang tidak mengikut peraturan. Justeru hendaklah kita pasrah dan bertaqwa kepada Allah swt.

"Dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimah taqwa." (Al-Fath : 26)

Monday, November 16, 2009

Kasih Ibu Sepanjang Hayat.



Salam hormat dan rahayu.


Mana ibu tidak kasihkan anak. Kasih ibu terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat. Anak adalah pewaris dan zuriat kepada keturunan keluarga. Anak adalah permata hati dikasih, dibesar dan diberi pendidikan oleh ibu bapa supaya menjadi orang yang berguna, dan dapat berbakti kepada keluarga dan negara.


anak perlukan penjagaan yang rapi


Tidak mungkin anak diabaikan oleh ibu bapa, jika keadaan ini berlaku, zalim namannya. Zalim itu bermaksud meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Ada ibu yang tidak ada peri kemanusiaan, anaknya dibuang begitu saja tanpa belas kasihan, sedangkan haiwan pun kasih dan memelihara anaknya. Anak memerlukan kasih sayang dan hak penjagaan ibu bapa.




Keselamatan anak-anak perlu diutamakan dalam apa jua keadaan. Ibu bapa atau penjaganya yang akan menanggung risiko. Peliharalah anak-anak dengan baik dan penuh kasih sayang.

"Orang yang tidak mempunyai rasa kasih sayang bererti hatinya tidak hidup". (sabda nabi).

Sunday, November 15, 2009

Hidup Melarat




Salam hormat dan rahayu.

Masih adakah manusia hidup melarat tanpa tempat perlindungan di dunia ini? pasti ada, cuma perkadaran penduduk adalah berbeda bagi sesetengah tempat. Di negara yang sering dilanda bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebuluran, dan tsunami masih terdapat ramai rakyat yang hidup melarat, dan memerlukan bantuan dari semua pihak termasuk kerajaan tempatan.




tiada tempat tinggal

Dunia kini mengalami konflik ekonomi, dan negara kita terasa bahananya. Justeru rakyat disarankan berbelanja secara berhemah. Sumbangan semua pihak sama ada buah fikiran, dan penglibatan secara langsung dalam pembangunan ekonomi amatlah perlu untuk mengekalkan keseimbangan kesejahteraan negara.


Tidak dapat dinafikan memang ada rakyat yang hidup miskin dan melarat. Apakah kita perlu mendiamkan diri seribu bahasa, sedangkan negara kita sudah bebas dan merdeka sekian lamanya. Kerajaan tidak akan berdiam diri, kerana ini tanggungjawab bersama terutama dalam kalangan pemimpin rakyat. Masing-masing menjalankan tugas dan jika ada konflik peranan dan kesamaran tugas dalam mana-mana pemimpin dan organisasi, pasti rakyat akan menderita.

"Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri." ( Yunus : 44).

Saturday, November 14, 2009

Aku Mahu Kebebasan.



Salam hormat dan rahayu.

Anak remaja mahu bebas dari cengkaman ibu bapa. Mereka mahu berdikari. Jika anak remaja diberi kebebasan tanpa kawalan, ini akan mengundang masalah kepada keluarga. Begitu juga rakyat, mereka tidak mahu minda mereka dijajah setelah negara sudah bebas dan merdeka sekian lamanya. Apakah kebebasan boleh diperoleh dengan sewenang-wenangnya tanpa perjuangan.


Walaupun negara bebas sepenuhnya, jika minda rakyat masih dibelenggu, tidak bebas bersuara dan mengeluarkan pendapat untuk kebaikan negara, sudah tentu negara akan kucar kacir dan tunggang langgang. Sejarah Indonesia, jelas menunjukan bahawa rakyatnya berjuang menentang Belanda hingga ke titisan darah yang terakhir hanya menggunakan buluh bambu runcing, manakala India bertungkus lumus membebaskan diri dari cengkaman British.


Negara kita pernah mengalami situasi pelbagai bentuk yang tidak menyenangkan rakyat antaranya, konflik dalam kalangan pemimpin sehingga menimbulkan rusuhan dan demonstrasi dijalanan.




Kini Thailand, situasi politik di negara itu masih kucar kacir akibat pemberontakan rakyat yang telah celik akal untuk menyingkirkan pemimpin yang korupsi. Harus ingat, rakyat mahukan keadilan dan kebenaran, anak-anak pula mahukan hak kebebasan dan hak pendidikan. Adakah kebebasan mutlak terbentuk dalam hidup ini?





Sebenarnya tidak ada kebebasan mutlak, selagi kita terikat dengan ruang dan waktu selagi itu kita tidak bebas mutlak. Kita masih tertakluk dengan peraturan dan undang-undang. Justeru kita hendaklah bijaksana mengatur hidup ini.

Thursday, November 12, 2009

Hempedu Ular.


Salam hormat dan rahayu.

Rezeki boleh dicari dan diperoleh dimana-mana saja. Ini tergantung kepada kebijaksanaan individu. Jika kita berusaha dan dapat restu Tuhan pasti kita peroleh kejayaan. Apa jua bentuk pekerjaan, sama ada sebagai peniaga, petani, peladang, penjual secara kecil-kecilan, mahupun pentadbir, hendaklah bersikap ikhlas dan jujur.




Ada juga terdapat peniaga-peniaga kecil mencari rezeki dijalanan untuk menyara hidup keluarga mereka. Mereka sanggup menjual apa saja untuk terus hidup asalkan ianya dilakukan secara halal. Di Kota Jakarta Pusat, sering kelihatan anak muda berniaga obat tradisional di jalanan. Mereka menjual sekelompok ular senduk (cobra) untuk dijadikan obat dan penawar segala penyakit.

Ular itu dibunuh, hempedunya ditelan mentah, manakala dagingnya dipotong dibakar dijadikan sate. Harga bagi seekor ular senduk ialah 50,000 hingga 100,000 rupiah. Mereka mempunyai pelanggan tetap dan pendapatannya agak lumayan. Di negara Hong kong, Jepun, dan Thailand juga terdapat gerai-gerai yang menjual ular untuk tujuan perubatan. Setiap penyakit ada penawarnya. Justeru carilah penawar yang bersesuaian dengan penyakit anda. Yang pasti jumpa doktor pakar untuk dapatkan rawatan bagi sebarang penyakit.

Wednesday, November 11, 2009

Berkomunikasi Dengan Si Mati


Salam hormat dan rahayu.

Apakah kita boleh berkomunikasi dengan benda yang ghaib? contohnya berbicara dengan si roh mati, memasuki alam jin, dan sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Lain bangsa , lain pula kepercayaan dan pegangan mereka.

Ada dalam kalangan manusia yang mengaku boleh berhubung dengan roh simati, dan ada juga dalam kalangan mereka boleh berkomunikasi dengan jin atau makhluk halus. Apakah semuanya ini boleh berlaku? perkara begini amatlah subjektif, abstrak, paranormal, dan berbentuk metafizik.

Anak -anak kecil termasuk remaja perlu diberi penjelasan yang betul dan tepat mengenai akidah, kepercayaan, dan tahayul. Mereka mesti dapat membezakan perkara yang haq dan yang batil. Sebut pasal roh, ia adalah perkara yang ghaib. Sukar dibuktikan dengan ilmu kalam biasa.

Tuesday, November 10, 2009

Waktu Ajal Telah Tiba ( 2 )



Salam hormat dan rahayu.

Ingatlah bahawa setiap yang hidup dan bernafas akan menghadapi mati dan ianya tetap hadir apabila sampai masa yang telah dijanjikan dan ia tidak boleh ditangguh-tangguh walaupun sesaat jua.


"Setiap yang berjiwa (nyawa) itu akan merasa kematian. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembali." Al Ankabut : 57.

Maksud mati di sini adalah kembalinya diri rahasia kita kepada Allah swt. Kematian tidak pernah mengenal usia, miskin atau kaya, alim atau jahil, bodoh atau cerdik, raja atau rakyat bila sampai tempohnya maka manusia itu akan menghadapi maut.

Maut kerana sakit, kemalangan, mangsa pembunuhan dan peperangan, mahupun ditimpa apa saja seperti bencana alam, bagi mereka yang ada kepercayaan dan pegangan agama pasti kesemuanya itu adalah ketentuan dan ketetapan Tuhan Pencipta Alam Semesta.

Bagi insan hakiki dan mencapai makrifat dengan Tuhan, seperti insan arifinbillah dan para wali Allah, mereka diberitahu di alam ilmu ghaib melalui laduni, mengenai berita kematian mereka atau dikenali oleh para-para Tasauf sebagai perintah kembali.

Biasanya perintah kembali kepadaNya ini akan diperoleh oleh mereka setahun sebelum saat kematiannya. Pada kelazimannya mereka menerima notis kematian itu melalui laduni sebanyak lima kali di dalam masa hidupnya iaitu:

  • Setahun sebelum mati
  • 6 bulan sebelum mati
  • 100 hari sebelum mati
  • 40 hari sebelum mati
  • 7 hari sebelum mati dan seterusnya bergantung kepada martabat seseorang.

Bagi diri sendiri, apakah kita mempunyai indikator saat sampainya kematian? Kita perlu membuat persediaan untuk kembali kepadaNya. Sekiranya ada laporan rawatan doktor bagi mereka yang sakit, sudah pasti itu sebagai panduan awal untuk mereka memahaminya.


"Apabila telah datang ajal, maka mereka tidak dapat ditangguh walaupun sesaat dan tidak pula mendahuluikannya." Surah Yunus : 49.

Luahan Bicara.



Salam hormat dan rahayu.


Tajam mata pedang, tajam lagi olah bicara. Apakah benar semuanya ini? Bak kata pepatah, lajak perahu boleh diundur, lajak kata buruk padahnya. Sebab santan pulut binasa, sebab mulut badan merana. Justeru berfikirlah sebelum bertindak, banyak perkara yang boleh dilihat dewasa ini di mana kekejaman, penyelewengan, penindasan, konflik politik, dan apa jua bentuk pencabulan berlaku tanpa sempadan.

Anak akan kecewa bila ayah tidak tunaikan janji, begitu juga rakyat akan mendesak pemimpin untuk melunaskan janji-janji politiknya. Jika ini tidak berlaku pasti kucar-kacir kepemimpinan seorang pemimnpin bagi sesebuah negara.





Protes boleh berlaku dimana saja sekiranya kebanyakan pemimpin membuat keputusan yang tidak adil, dan mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan kemarahan mereka. Malahan anak kecil sering bertindak sebegitu rupa jika kemahuannya diabaikan.

Kawal emosi kamu supaya tidak terlanjur kata. Bisa mata pedang, bisa lagi luahan kata. Pemimpin yang mempunyai karisma, boleh menguasai rakyatnya. Hanya dengan pidatonya, dapat menawan hati ribuan pengikut. Lihat saja sejarah terdahulu, antara tokoh yang mempunyai karisma, antaranya peranan Bung Karno dengan rakyat Indonesia, pengaruh Adolf Hitler, Mahatma Ghandi, Winston Churchill, dan Pejuang Palestine iaitu Yasser Arafat.

Friday, November 6, 2009

Kerusi Isyarat.



Salam hormat dan rahayu.


Sesiapa saja duduk di atas kerusi pasti rasa selesa dan santai atau sebaliknya, tapi jangan lupa kerusi itu memberi isyarat supaya kita melihat apa saja yang ada dipersekitaran. Untuk apa? lihat apa yang berlaku di atas, di kiri, di kanan, di bawah, dan setiap sudut supaya dapat mengambil tindakan yang adil terhadap apa jua isu.


Apakah kita perlu berdiam diri setelah lihat banyak peristiwa yang menggugat ketenteraman keharmonian masyarakat kita berlaku dengan sewenang-wenangnya? Kekejaman ke atas rakyat, pembunuhan di sana sini yang melibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa, rompakan, rasuah, dan jenayah yang dilakukan oleh antaranya, rakyat tempatan atau rakyat asing yang berada di negeri ini perlulah diambil perhatian serius oleh kerajaan dan kerjasama semua pihak.


Setiap media cetak, dan apa saja saluran komunikasi telah mendedah betapa ganas dan kejam perbuatan segelintir mereka yang tidak ada sifat kemanusiaan. Jika tidak dibendung, dikawal dan ambil tindakan segera, pasti negara kita akan kucar-kacir, tunggang langgang, dan rakyat akan menderita menjadi pelarian di tempat sendiri.


Pihak pemerintah perlu bertindak tegas, ke atas mereka yang masuk ke negara ini tanpa permit. Ada terdapat juga mereka menyalahguna permit mereka dengan tujuan lain dan melanggar peraturan serta undang-undang negara. Kita tidak perlu bertolak ansur dalam menyelesaikan masalah ini.


Sesebuah negara itu akan hancur sekiranya pemerintah, pentadbir, pengurus, dan apa saja mereka yang berkuasa tidak mempunyai sama sekali sifat Rasulullah. Empat sifat itu adalah sifat yang wajib ada pada semua orang, iaitu amanah, benar, menyampaikan, dan bijaksana. Semuanya ini adalah budi luhur sejagat. Aman diri, aman keluarga, aman keluarga aman masyarakat, dan aman masyarakat amanlah negara. Perlulah kita bertindak secara bijaksana.


"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik, serta bantahlah mereka dengan cara yang baik." An Nahl : 125.

Tuesday, November 3, 2009

Bila Usia Mulai Kabur.



Salam hormat dan rahayu.

Usia terikat dengan ruang dan waktu. Pasti usia itu mempunyai rentetan peristiwa. Setiap insan mengalami usia di peringkat alam rahim, kanak-kanak, remaja, dewasa, seterusnya ke peringkat usia tua. Sekiranya tidak dimanfaatkan waktu dengan bijaksana pasti seseorang itu akan mengalami kerugian dan penuh kekecewaan.

Silap langkah kaki ketika berjalan, ianya dapat diperbetulkan, tetapi silap langkah dalam kehidupan merana padahnya. Hidup ini penuh dengan rintangan dan pancarobanya, jika ada cobaan hidup perlulah kita menanganinya dengan penuh bijaksana.

Tidak ada sesuatu pun yang kekal, semuanya binasa kecuali Allah Tuhan Pencipta Alam. Lihat saja alam semesta ini, sering kali mengalami perubahan fizikal seperti berlakunya gempa bumi, taufan, tsunami, dan letupan gunung berapi. Manusia begitu juga, apabila mengalami perubahan fizikal, ia turut juga mempengaruhi minda dan jiwa.





Apabila usia diperingkat remaja, semuanya kelihatan cantik, tampan dan sempurna. Namun, setelah dimamah usia, semuanya kelihatan kabur dan pudar, tidak lagi kelihatan cantik, tampan dan gagah. Apa yang tinggal, hanya kenangan dan peristiwa. Justeru carilah ketenangan jiwa, carilah keabadian luhur budi, dan carilah kesucian hati. Tumpukan hatimu kepada Allah kerana Dia Maha Berkuasa dan tidak musnah.

"Semua orang yang di bumi akan musnah. Dan zat Tuhanmu yang Besar lagi Mulia akan tetap tinggal kekal." (Al-Rahman : 26-27).