SELAMAT TAHUN BARU 2010
Salam hormat dan rahayu,
Tahun baru, azam baru, cita-cita baru, semuanya baru, begitulah agaknya tekad seseorang yang bercita tinggi dalam hidupnya. Ada yang menyusun strategi untuk maju dalam perniagaan, ada yang membuat pelan tindakan untuk berjaya dalam pendidikan, dan ada pula yang menentu hala tuju diri bagi mempertingkat kecemerlangan kerjayanya.
Apa pun tindakan ke arah untuk maju diri, perlulah kita fikirkan semasak-masaknya dengan penuh teliti sebelum ia dilaksana dengan teratur. Duit merupakan antara faktor yang sangat penting dalam menentukan aktiviti supaya aktif dengan jayanya. Tanpa duit, pelaksanaan sesuatu program akan tergendala. Justeru manusia cari duit untuk menampung keluarga, projek, dan keperluan harian.
Kerajaan pun perlu duit untuk meneruskan projek mega bagi kesejahteraan rakyat. Jika gagal, ini bermakna rakyat akan kecewa. Isu miskin tegar juga perlu diberi perhatian yang serius. Justeru berhati-hati dalam menggunakan wang rakyat. Rakyat yang susah memang perlukan duit untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anaknya dan barang keperluan harian.
Pasal duit, semua memerlukannya, oleh itu orang akan cari duit dengan apa saja cara bagi mengurangkan bebanan hutang dan buat perbelanjaan harian. Justeru ada yang curi duit, ada yang rompak bank, ada yang berjudi, dan ada yang mabuk duit. Ada melabur melibatkan diri melalui saham tertentu untuk cepat kaya, dan pelbagai lagi, kesemuanya ini adalah akibat mabuk duit.
Manusia mabuk duit untuk cepat berkuasa, mabuk duit untuk pertingkat kedudukan dalam masyarakat, malah gila kuasa kerana mabuk duit. Terdapat juga peniaga yang muflis kerana mabuk duit, dan ada penjawat awam juga hancur lebur rumahtangganya akibat mabuk duit. Jika tidak dikawal secara bijaksana seseorang itu hilang pegangan kerana mabuk duit. Ingat, ada dalam kalangan pemimpin, penjawat awam, dan rakyat di hadap mahkamah kerana mabuk duit.
No comments:
Post a Comment