Friday, April 30, 2010

Terkilankah Aku?




Salam hormat dan rahayu.


Kasih ibu terhadap anak adalah persis dan sanggup berkorban apa saja demi kebahagiaan dan keselamatan anaknya. Walau ibu sudah senja usianya, namun kasih sayang kepada anaknya tidak pudar, tetap subur dalam hatinya. Apakah benar bila ibu sedang sakit tenat, atau terlalu rindu terhadap anaknya, mereka boleh saling berhubung melalui telepati atau melalui minda?


Dalam konteks di atas, aku cuba memaparkan cerita benar untuk renungan pembaca blog ini. Minggu lalu aku melawat beberapa buah hospital kerajaan. Ramai pengunjung dan pesakit di situ dengan hala tuju masing-masing. Aku menuju ke wad kecemasan dan trauma, lalu mundar mandir melihat persekitaran dan mendapatkan beberapa maklumat daripada pengunjung dan pesakit.


Sejak jam 7.00 pagi, ramai pesakit menunggu untuk mendaftar dan seterusnya mendapatkan rawatan. Ada yang minta rawatan kecemasan kerana cedera akibat kemalangan, ada yang memerlukan rawatan segera kerana menghadapi masalah kardiovaskular, diabetes, demam H1N1, Thalassemia, dan athma. Apa pun penyakit yang dihidapi oleh pesakit, harapan mereka ialah satu iaitu mahu cepat sembuh.


Sedang aku asyik berbual dengan salah seorang warga emas, kedengaran suara agak tinggi dan keras daripada seorang belia berketurunan India. Belia itu bertengkar dengan seorang pengawal keselamatan untuk mendapatkan kebenaran melihat ibunya yang sedang sakit tenat. (berada di Zon Merah, iaitu Zon Kritikal). Pegawai yang bertugas di kaunter pendaftaran hanya diam seribu bahasa.


Secara kebetulan seorang doktor hendak masuk ke wad kecemasan, lalu pengawal keselamatan menceritakan apa yang telah berlaku. Belia berketurunan India tadi terus mendapatkan doktor bagi menerangkan hasrat untuk melihat ibunya yang sedang tenat. Hasilnya gagal, doktor tersebut mengarah anak berketurunan India tadi supaya bersabar dan tunggu di kawasan Zon Hijau. Aku cuba membantu anak muda itu dengan memohon budi bicara doktor tersebut supaya ia ubah fikiran tetapi gagal juga.


Anak berketurunan India ini tidak tidur semalaman memikirkan ibunya yang sakit tenat. Dia telah meluahkan ketidakpuasan hatinya terhadap pengurusan hospital kepada aku. Dia juga merasakan ibunya tidak akan lama hidup, sebab itu dia berkeras untuk mendapatkan kebenaran doktor untuk melhat ibunya, tetapi gagal. Sejam kemudian, pihak hospital membuat pengumuman meminta pewaris (anak berketurunan India tersebut) masuk ke bilik zon merah (zon kritikal) melihat ibunya yang baru saja menghembus nafas yang terakhir.


Anak muda itu tidak dapat berkata apa-apa, hanya air mata mengalir di pipinya, meratap ibunya yang tak akan kembali hidup lagi. Dia rasa begitu terkilan tidak dapat menatap dan berbual dengan ibunya. Aku hanya mampu mengucap takziah, menepuk bahunya supaya bersabar dan menerima hakikatnya.

Si Ibu tidak kesampaian untuk melihat wajah anak kesayangnya, begitu juga anaknya terkilan tidak dapat bertemu mata walau sejenak dengan ibu yang dikasihnya.

1 comment:

  1. abg wahyu..

    aduh kejam btul takdirnya.. moga anak itu terus berjuang untuk membuktikan kasihnya terhadap ibu walau ibunya sudah tiada... sekurang-kurangnya untuk dirinya, sebagai seorang 'lelaki'.

    sad..

    ReplyDelete