Saturday, April 24, 2010

Meniti Usia - Sunyikah aku?.




Salam hormat dan rahayu.



Sesuatu itu terikat dengan ruang dan waktu. Justeru ujud peristiwa, kita tidak dapat lari dari ruang dan waktu. Hanya Tuhan tidak terikat dengan ruang dan waktu. Kehidupan kita ini bermula dari alam rahim ibu hinggalah kepada memasuki alam barzah. Apakah aktiviti atau tindakan kita dalam memenuhi dan menghabisi ruang hidup yang penuh dengan risiko ini?



Ada dalam kalangan manusia ingin mencapai apa yang diingini dengan apa cara jua tanpa memikirkan risiko. Sebagai contoh, mahukan keluarga yang bahagia, mahukan pangkat dan harta kekayaan, mahukan kekuasaan dalam politik, pengaruh dalam komuniti, dan menguasai dunia antarabangsa. Adakalanya dan sentiasa aku memikirkan bagaimana manusia sanggup melakukan apa cara saja termasuk menindas, menipu, khianat, sehingga membunuh semata-mata untuk kepuasan diri walaupun negara akan menjadi tunggang langgang.


Ingat, termasuk juga untuk diriku, hidup ini hanya sementara tidak kekal, kita akan pergi jua ke alam kekal. Tidak ada manusia kekal, walau dia itu raja, presiden, perdana menteri, ulama, paderi, orang kaya, godfather, orang miskin, mahupun wali sekalipun pasti akan merasai kematian. Justeru manfaatkanlah hidup ini supaya tidak sia-sia, harta akan hilang, orang yang dikasihi akan ditinggal, nama dan pangkat serta kekayaan yang selama ini menjadi sanjungan akan lenyap, akhirnya hidup kita ini akan kesunyian.



Dalam meniti usia ini, perlulah muhasabah diri, yang mana baik, yang mana berfaedah, yang mana buruk, yang mana membawa kerugian, yang mana membawa kebajikan kepada manusia, adakah kita sentiasa bersama famili atau dengan rakan seperjuangan, atau kita rasa kesunyian dalam hidup. Sunyikah Aku?

No comments:

Post a Comment