Salam hormat dan rahayu .
Haiwan yang dipelihara dan dilatih sejak kecil mudah dikawal dan akur perintah daripada tuannya. Bagaimana pula sekiranya terjumpa haiwan yang masih liar atau masih di perhutanan. Bolehkah kita berkomunikasi atau berhubung dengan mereka tanpa memikirkan risikonya. Dalam penulisanku yang lalu, aku ada menyentuh bagaimana untuk menguasai diri atau melalui latihan berulang kali boleh berkomunikasi secara berfokus terhadap manusia, objek, dan haiwan.
Kalau selalu atau pernah mengunjungi sarkas, kita dapat melihat bagaimana mereka dapat menjinak haiwan, malah haiwan itu akur dengan sebarang arahannya. Namun begitu, risiko tetap ada, apa jua kita buat, fikirkan keselamatan terlebih dahulu. Langkah keselamatan perlu diambil secara serius. Haiwan ada naluri dan dipengaruhi suhu persekitarannya, ada ketika haiwan tidak dapat dikawal jika ia naik berang atau rasa terancam. Sebagai contoh, Raja Ular Malaysia mati akibat dipatuk oleh ular tedung peliharaannya semasa membuat persembahan dikhalayak ramai.
Pernah aku ke Pulau Tioman, aku berjalan kaki dari Tekek menghala ke Juara merentasi hutan bertembung dan berhadapan dengan seekor ular tedung berdiri tegak setinggi aras dadaku dalam jarak 1.5 meter, lalu aku mendiamkan diri dan merenung ular tersebut. Gementar juga aku, maklumlah jika tersilap langkah maut akibatnya. Ular itu beredar dari situ setelah aku merenung ke arahnya, dan berkata kepadanya, bahawa kita ini berkongsi alam, ular tidak boleh mendengar, tapi nalurinya seolah-olah memahami kata-kataku.
Aku ingin berkongsi maklumat dan pengalaman, semasa aku membuat latihan survivor di hutan Datai, Langkawi (ketika itu Datai masih hutan dara), pelbagai perkara mistik berlaku di situ, sesiapa yang pernah ke situ pasti ada pengalamannya masing-masing. Sekumpulan pelajar salah sebuah Universiti tempatan telah berkhemah di pantai Datai, tidak semena-mena seekor gajah telah bertindak liar memusnahkan khemah mereka pada malamnya, bertempiaran pelajar-pelajar tersebut dan berteriak minta tolong, secara kebetulan aku ada berdekatan dengan pantai tempat mereka berkhemah.
Aku dengan melalui pengalaman lalu dan mendapat kekuatan serta keyakinan daripada Allah dapatlah aku menguasai gajah tersebut dan bawa ia ke tempat lain. Risiko tetap ada, yang pasti pasrah kepada Ilahi setelah kita berusaha dan mencuba dalam apa jua perkara.
"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat." ( Ayat 24 : Ibrahim ).
Risiko dihadapi dengan doa minta perlindungan dari Nya.
ReplyDelete