Monday, March 29, 2010

Ayam Berkokok - apa maksudnya.


Salam hormat dan rahayu



Setiap sesuatu itu sama ada di langit dan di bumi memuji/bertasbih kepada Tuhan dengan caranya tersendiri. Apatah lagi haiwan seperti kuda, unta, ikan, nyamuk, gajah, dan ayam. Mereka sentiasa memuji kepada Maha Pencipta dengan gaya dan caranya yang unik sekali.


Apabila aku merantau jauh yang tidak keruan, aku sentiasa memikirkan bukan saja manusia berterima kasih kepada Pencipta, malah apa jua turut nyata kasuwun kepadaNya tanpa soal dan titik. Lihat saja kehidupan ayam, yang sentiasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tidak jemu-jemu tanpa letih berterusan mencari sesuatu untuk hidup.


Ayam berkokok dan sentiasa berkokok sama ada berkala mahupun berterusan pasti ada maksud dan interpretasinya tersendiri, terpulang kepada individu menterjemahnya. Yang penting disini, sebelum azan berkumandang di udara, si ayam telah berkokok terlebih dahulu mendahului waktu azan, seolah-olah ia mengerti dan menghormati kehadiran azan.


Ibu ayam bertelur sebiji, riuh sekampung kedengaran nada kokoknya, bertenggek ayam jantan di pohon tinggi, riuh seluruh alam, mengepak dada lalu berkokok seolah-olah, akulah pejuang, akulah raja, akulah suara rakyat, akulah pendita yang tiada tandingnya. Namun begitu, INGAT jangan hanya berkokok, sedangkan ekor bergelumang najis.


Aku ingat kata-kata orang tua, kata-katanya penuh metafora, antaranya, 'kalau nak tahu rahsia ketuhanan, lihat resmi ayam' , apakah itu benar, hanya diri sendiri ada jawapannya.

1 comment:

  1. Anda mungkin terkejut kalau berada di hutan kerana burung puyuh semuanya akan bersahutan tepat pada waktu maghrib.

    ReplyDelete