Sunday, July 4, 2010

Emosi - Urus atau Lupus.




Salam hormat dan rahayu

Bila emosi tidak dapat diurus, segala perkara yang tidak elok sukar dilupus. Banyak perkara di dunia ini dan banyak tempat berlakunya kemusnahan di sana-sini tanpa kawalan, kesemuanya ini kerana gagalnya manusia mengekal keharmonian dan mengukuhkan kestabilan hidup sesama sendiri.





Kebanyakan negara tidak semua mengalami konflik pentadbiran, ekonomi, sosio-budaya, dan politik yang sukar dikawal. Sebagai contoh pergolakan dan reformasi rakyat di Thailand, konflik etnik dibeberapa buah negara barat dan Asia Timur menggambarkan bahawa ketidakstabilan jiwa manusia yang tidak dapat mengekalkan keamanan alam sejagat ini.



Kekejaman dan penindasan Israel terhadap penduduk Gaza, Palestine tidak dapat dibendung lagi, malah bermaharajalela tanpa peri kemanusiaan, apatah lagi disokong dan dibantu oleh kuasa besar seperti negara Amerika. Justeru kekejaman ini tiada nokhtahnya, dan keadaan ini boleh berlaku dimana-mana, termasuk dinegara-negara yang sedang membangun.


Pemimpin yang rakus tidak akan henti-henti bertindak untuk menguasai dunia material ini dan pasti akan buat apa saja supaya hajatnya tercapai. Ada yang sanggup menggadai maruah diri dan negara, ada yang bersekongkol dengan musuh negara bagaikan musuh dalam selimut, menggunting kain dalam lipatan, malah hipokrit dan tidak jujur dalam dirinya, membiarkan rakyat kemelaratan sehingga menimbulkan konflik perkauman dalam kalangan mereka.


Apakah kesemuanya ini dibiar begitu sahaja, supaya mereka bertindak sewenang-wenangnya bagaikan membujur lalu melintang patah? Tuhan sangat marah kepada mereka yang melampaui batas, jika rakyat tidak berani bertindak atau bersatu menentang kezaliman siapa lagi, ingat, Tuhan tidak akan merobah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itu sendiri perlu berusaha merobahnya.

Friday, July 2, 2010

Pegawai berpolitik atau Mempolitikkan Pegawai.



Salam hormat dan rahayu.


Setiap institusi mempunyai hala tujunya masing-masing, punya visi dan misi yang perlu dicapai dalam masa tertentu. manusia itu sendiri merupakan institusi yang perlu mengorak langkah untuk mencapai dan menggapai apa yang tersirat dan tersurat dalam hidupnya.


Jika silap percaturan dalam membahterai layar hidup, maka tunggang langgang seluruh kehidupan seseorang itu. Baik atau buruk ketrampilan dan personalitinya itu tergantung kepada kebijaksanaannya bertindak dalam menyelesaikan sesuatu masalah.




Dalam jentera kerajaan, setiap penjawat awam tertakluk kepada peraturan dan etika kerja. Setiap penjawat awam berperanan sebagai agen perubahan dan pelaksana dasar-dasar kerajaan. Justeru semua penjawat awam perlu akur dan menyokong penuh dasar kerajaan untuk pembangunan negara dan pembangunan modal insan.




Sering terdapat penjawat awam berpollitik, malah lupa kepada teras kerjayanya. Bagi ketua-ketua jabatan pula usah mempolitikkan pegawai, kerana ini menimbulkan konflik atau kesamaran tugas dalam kalangan mereka. Adakah dengan cara mempolitikkan pegawai mahupun pegawai berpolitik dapat membangunkan kapasiti corak kepemimpinan?

Friday, June 18, 2010

Rakan Sepermainanku.




Salam hormat dan rahayu.

Waktu usia masih mentah, masih anak-anak, sesiapa saja boleh menjadi rakan, tanpa prejudis, tanpa buruk sangka yang boleh menimbulkan konflik dalam kalangan mereka. Pada kalangan mereka apa saja risiko, ianya dipertanggungjawab kepada keluarganya.


Anak-anak hanya tahu bermain, mudah berkenalan dan berkomunikasi dalam kalangan mereka. Mereka hanya tahu berkongsi keseronokan berkawan, hidup harmoni, dan tidak mengerti ancaman dipersekitarannya.


Apabila anak-anak membesar dan fikiran mulai matang, banyak unsur atau elemen pendidikan, sosio-budaya, persekitaran, dan rakan sebaya mempengaruhi mereka. Justeru, bak kata orang tua, buluh kalau nak dilentur, biarlah dari rebungnya, dan anak dicorak warna bermula daripada kedua ibubapanya.


Anak perlu dibentuk dan perkembangan pemikirannya perlu dipantau. Sekiranya setiap konsep tidak dapat memberi gambaran yang jelas dan tepat sudah pasti anak-anak itu akan mengalami konflik pembelajaran. Anak-anak semasa kecil sifat semulajadinya suka mencari rakan dan sentiasa berbaik sangka.

Monday, June 7, 2010

Tenang Tapi Tidak Tenteram.




Salam hormat dan rahayu.


Wajah nampak tenang tapi jiwa bergolak, tidak tenteram, begitulah jika keadaan persekitaran atau negara mengalami ketegangan, konflik politik, ekonomi, dan ketidakstabilan sosio-budaya. Apabila sesebuah negara menerima musibah, sebagai contoh ekonomi meruncing dan rakyat tertindas, pasti bukan saja pemimpin negara berperanan memulihkan negara, malah setiap rakyat perlu membantu dan bersatu dalam menaikkan taraf ekonomi agar negara tidak terus jatuh muflis.



Banyak faktor yang menyebabkan sesebuah negara akan menghadapi kehancuran, antaranya pergolakan politik, serangan musuh sama ada luar negara mahupun musuh dalam selimut, rasuah yang tidak dapat dibendung, kemiskinan, hutang yang tidak dapat dilunas, dan tidak ada sifat Rasulullah dalam diri setiap pemimpin. Sifat itu ialah benar, amanah, menyampaikan, dan bijaksana.




Sesebuah kerajaan akan tunggang langgang sistem pemerintahannya, jika pemimpin tidak jujur, rakyat sentiasa bertelagah atau berkonflik kerana kepentingan diri, dan pemimpin rakyat tidak saling menghormati, serta menindas rakyat. Apatahlagi, jika keadaan ketika itu berlakunya bencana alam, peperangan, dan negara kuasa besar memijak negara kuasa kecil.





Hak Asasi Kemanusiaan tidak ada lagi bagi mereka yang saling melakukan kekejaman dan penindasan yang berleluasa. Penghujungnya, dunia akan mengalami kehancuran dan kemusnahan atas perbuatan manusia sendiri.

Sunday, June 6, 2010

Revolusi. Perlukah Ia?





Salam hormat dan rahayu.




Manusia itu bukan lagi manusia sekiranya ia persis tidak ada roh peri kemanusiaan. Habis dunia tunggang-langgang, hancur adap sopan, musnah keharmonian dan hilang segala maruahnya. Keganasan bermaharajalela, penipuan dan penindasan menguasai dunia, tidak ada lagi hidup dalam kesejahteraan.



Perlukah ada resolusi dalam pembangunan manusia? perlukah ada revolusi mental dalam kalangan manusia yang penuh dengan pelbagai pemikiran? jawapan itu ada dalam diri anda sendiri. Ramai manusia dipelbagai negara sudah celik minda dan berani membuat perubahan untuk menegakkan keadilan demi pembangunan modal insan dan sosio-budaya negara mereka.







Apakah perlu revolusi bagi setiap negara? Revolusi yang bagaimana perlu dilaksanakan oleh rakyat, apakah melalui minda, dan perjuangan sebegini ianya boleh berhasil? Revolusi di Iran suatu ketika dulu, tidak melibatkan pertumpahan darah, kerana semua peringkat rakyat sedar bahawa keganasan tidak boleh mengundang keamanan. Berbanding di Kota Bangkok, Thailand baru-baru ini, kumpulan Baju Merah memberontak dan mahukan kerjaan sedia ada dibubarkan sehingga berlakunya pertumpahan darah.




Bila berlakunya konflik dalam kalangan rakyat, pasti ada brantakan jiwa yang mengakibatkan negara sudah tidak stabil lagi, apatah lagi negara itu diisytiharkan darurat. Macam-macam boleh terjadi, rompakan, pembunuhan, rogol, dan rasuah, sewenang-wenangnya boleh berlaku tanpa kawalan. Apakah revolusi mental perlu diadakan atau mental direvolusikan.

Thursday, June 3, 2010

Berjuangkah Aku?



Salam hormat dan rahayu.


Apabila jiwa seseorang itu begitu kental dengan semangat kerohanian, sudah tentu sukar ia diperdaya oleh orang lain atau mana-mana institusi, apatah lagi jika perjuangan itu melibatkan akidah dan maruah. Perjuangan dalam pertempuran peperangan, tidaklah sehebat perjuangan menentang hawa nafsu serakah kerana nafsu itu sentiasa berbolak balik, sukar ke tahap mutmainnah.




Memang benar, setiap perjuangan perlukan pengorbanan, dan menghadapi sebarang risiko walaupun harta dan nyawa terkorban. Pasti ada imbalannya, iaitu rahmat daripada Allah. Perjuangan yang ikhlas tidak gentar kepada ancaman dan tekanan, tidak kira apa bentuk ancaman, yang penting berjuang tetap berjuang. Apa yang hendak diperjuangkan, itu terpulang kepada intensiti individu.





Menentang jahiliah merupakan suatu perjuangan, membasmi kezaliman, kemiskinan, keruntuhan moral dan sebarang ketidakadilan juga adalah satu perjuangan. Berjuanglah dalam menegakkan kesucian agama dan kemanusiaan sama ada melalui perundingan, penulisan, berhujah dan berpidato, dan apa jua kaedah yang sesuai selaras dengan hukum agama dan peraturan undang-undang. Usah melampau batas dalam sebarang tindakan, jelas agama melarang kezaliman.

Tuesday, June 1, 2010

Tiada Kesampaian.




Salam hormat dan rahayu.


Serangan komando Israel ke atas kapal yang penuh dengan anak-anak kapal dan muatan untuk bantuan bagi penduduk Gaza amatlah dikesali dan terkutuk sepanjang sejarah kemanusiaan. Apakah mereka ini dengan mudah boleh lakukan apa saja tanpa menghiraukan peraturan antarabangsa? membunuh, memukul, memperkosa Hak Asasi Manusia, malah mahu menghapus etnik di Gaza, supaya mereka beraja di hati bersultan di mata.




Israel disokong dan dibantu oleh kuasa besar Amerika amat angkuh menindas negara Arab termasuk Palestine, sanggup bertindak kejam tanpa peri kemanusiaan semata-mata untuk menjajah seterusnya memiliki tanah negara tersebut. Bolehkan seluruh negara-negara Arab bersatu membantu Palestine yang tidak berdaya menentang negara tersebut?




Negara-negara Islam di seluruh dunia perlu bangkit menentang kekejaman Israel dan tidak boleh membisu seribu bahasa. Sudah puluhan tahun rakyat Palestine terutama penduduk di Gaza merana atas perbuatan Yahudi Israel itu, rundingan dibuat sudah berpuluh kali tapi hasilnya hingga kini mereka dizalimi dan ditindas tanpa belas kasihan.




Banyak juga bantuan diberi kepada rakyat Palestine oleh negara-negara Islam. Tapi baru-baru ini angkatan kapal untuk ke Gaza dengan muatan bahan bantuan hak asasi manusia diserang, ditawan, dan dirampas oleh tentera Israel dengan alasan atau hujah yang licik. Angkatan kapal bantuan hak asasi kemanusiaan ditawan, sehingga kini status mereka masih kabur.