Saturday, April 17, 2010

Kita berkongsi Alam.




Salam hormat dan rahayu .



Haiwan yang dipelihara dan dilatih sejak kecil mudah dikawal dan akur perintah daripada tuannya. Bagaimana pula sekiranya terjumpa haiwan yang masih liar atau masih di perhutanan. Bolehkah kita berkomunikasi atau berhubung dengan mereka tanpa memikirkan risikonya. Dalam penulisanku yang lalu, aku ada menyentuh bagaimana untuk menguasai diri atau melalui latihan berulang kali boleh berkomunikasi secara berfokus terhadap manusia, objek, dan haiwan.


Kalau selalu atau pernah mengunjungi sarkas, kita dapat melihat bagaimana mereka dapat menjinak haiwan, malah haiwan itu akur dengan sebarang arahannya. Namun begitu, risiko tetap ada, apa jua kita buat, fikirkan keselamatan terlebih dahulu. Langkah keselamatan perlu diambil secara serius. Haiwan ada naluri dan dipengaruhi suhu persekitarannya, ada ketika haiwan tidak dapat dikawal jika ia naik berang atau rasa terancam. Sebagai contoh, Raja Ular Malaysia mati akibat dipatuk oleh ular tedung peliharaannya semasa membuat persembahan dikhalayak ramai.






Pernah aku ke Pulau Tioman, aku berjalan kaki dari Tekek menghala ke Juara merentasi hutan bertembung dan berhadapan dengan seekor ular tedung berdiri tegak setinggi aras dadaku dalam jarak 1.5 meter, lalu aku mendiamkan diri dan merenung ular tersebut. Gementar juga aku, maklumlah jika tersilap langkah maut akibatnya. Ular itu beredar dari situ setelah aku merenung ke arahnya, dan berkata kepadanya, bahawa kita ini berkongsi alam, ular tidak boleh mendengar, tapi nalurinya seolah-olah memahami kata-kataku.


Aku ingin berkongsi maklumat dan pengalaman, semasa aku membuat latihan survivor di hutan Datai, Langkawi (ketika itu Datai masih hutan dara), pelbagai perkara mistik berlaku di situ, sesiapa yang pernah ke situ pasti ada pengalamannya masing-masing. Sekumpulan pelajar salah sebuah Universiti tempatan telah berkhemah di pantai Datai, tidak semena-mena seekor gajah telah bertindak liar memusnahkan khemah mereka pada malamnya, bertempiaran pelajar-pelajar tersebut dan berteriak minta tolong, secara kebetulan aku ada berdekatan dengan pantai tempat mereka berkhemah.


Aku dengan melalui pengalaman lalu dan mendapat kekuatan serta keyakinan daripada Allah dapatlah aku menguasai gajah tersebut dan bawa ia ke tempat lain. Risiko tetap ada, yang pasti pasrah kepada Ilahi setelah kita berusaha dan mencuba dalam apa jua perkara.


"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat." ( Ayat 24 : Ibrahim ).

Monday, March 29, 2010

Ayam Berkokok - apa maksudnya.


Salam hormat dan rahayu



Setiap sesuatu itu sama ada di langit dan di bumi memuji/bertasbih kepada Tuhan dengan caranya tersendiri. Apatah lagi haiwan seperti kuda, unta, ikan, nyamuk, gajah, dan ayam. Mereka sentiasa memuji kepada Maha Pencipta dengan gaya dan caranya yang unik sekali.


Apabila aku merantau jauh yang tidak keruan, aku sentiasa memikirkan bukan saja manusia berterima kasih kepada Pencipta, malah apa jua turut nyata kasuwun kepadaNya tanpa soal dan titik. Lihat saja kehidupan ayam, yang sentiasa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, tidak jemu-jemu tanpa letih berterusan mencari sesuatu untuk hidup.


Ayam berkokok dan sentiasa berkokok sama ada berkala mahupun berterusan pasti ada maksud dan interpretasinya tersendiri, terpulang kepada individu menterjemahnya. Yang penting disini, sebelum azan berkumandang di udara, si ayam telah berkokok terlebih dahulu mendahului waktu azan, seolah-olah ia mengerti dan menghormati kehadiran azan.


Ibu ayam bertelur sebiji, riuh sekampung kedengaran nada kokoknya, bertenggek ayam jantan di pohon tinggi, riuh seluruh alam, mengepak dada lalu berkokok seolah-olah, akulah pejuang, akulah raja, akulah suara rakyat, akulah pendita yang tiada tandingnya. Namun begitu, INGAT jangan hanya berkokok, sedangkan ekor bergelumang najis.


Aku ingat kata-kata orang tua, kata-katanya penuh metafora, antaranya, 'kalau nak tahu rahsia ketuhanan, lihat resmi ayam' , apakah itu benar, hanya diri sendiri ada jawapannya.

Sunday, March 7, 2010

Lagi-lagi Maut.




Salam hormat dan rahayu



Angka kematian akibat kemalangan jalan raya semakin meningkat, apatah lagi menjelang cuti umum dan hari perayaan besar bagi setiap kaum. Baru-baru ini operasi ops sikap, Tahun Baru Cina ramai terkorban akibat kemalangan jalan raya, dimana silapnya, tepuk dada tanya akal.


Mungkin sikap individu yang tidak berubah atau tidak kisah merupakan faktor utama menyebabkan kemalangan berlaku. Kemalangan boleh berlaku dimana-mana saja, jika cuai buruk padah akibatnya. Semua pihak perlu peka dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dipersekitaran kita. Sama ada pihak berkuasa, penjawat awam, masyarakat umum, badan swasta, dan individu perlu saling membantu mengurang dan mencegah kemalangan jalan raya berlaku.




Ada yang mengatakan itu sudah memang ajalnya, itu betul kenyataannya, tapi sudah tentu ada sebab musababnya, tak akan bergoyang pohon jika tidak ada angin yang bertiup kencang. Memandu dalam keadaan mabuk, atau terlalu mengantuk, ataupun pandu laju tanpa had akan mengundang kecelakaan dan kemalangan. INGAT, pada orang tersayang. Berhati-hati ketika memandu, periksa kondisi kereta sebelum memulakan perjalanan. Yang penting jika membawa bersama keluarga, ingat keselamatan mereka. Mereka perlu terus hidup untuk meneruskan perjuangan dan mendapatkan hidup lebih bahagia.

Friday, February 26, 2010

Aku Tidak Berdosa.



Salam hormat dan rahayu,


Masih terdapat anak-anak terbiar tiada penjagaan yang rapi, anak tidak diberi hak layanan yang baik, pendidikan mereka diabai, malah ada sesetengahnya didera hingga membawa maut. Jika keadaan ini berterusan, pasti kita mengalami kepincangan sosial, krisis moral dan akhlak.




Sering terdapat akhbar-akhbar tempatan telah memaparkan cerita betapa kejamnya ibu kandung, atau ibu tiri, atau bapa tiri, ataupun penjaga telah mendera anaknya sendiri hingga membawa kematian, apakah ibu atau mereka ini tidak ada langsung peri kemanusiaan, mana sifat keibuannya, mana sifat kasih sayangnya, apakah keadaan persekitaran menyebabkan ibu tersebut mengalami tekanan yang amat berat sekali sehingga menghadapi konflik jiwa yang amat tenat. Haiwan pun sayang akan anaknya, apatah lagi manusia.



Wahai insan yang bergelar ibu, mahu pun bapa atau penjaga anak-anak, setankah kamu, ibliskah kamu, haiwankah kamu, sehingga tidak dapat membezakan baik buruknya sebelum membuat sesuatu tindakan. Anak itu suci, tidak berdosa, ia dahagakan kasih sayang, memerlukan perlindungan dan pendidikan yang sempurna. Kamu telah mempersia-siakan anugerah Allah.

"Pada hal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi pekerjaanmu. Yang Mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat tindakan-tindakanmu itu, mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Al Infitar : ayat 10 - 12).

Friday, February 5, 2010

Jangan abaikan aku.



Salam Hormat dan rahayu.


Setiap insan mahukan pendidikan yang sempurna. Begitu juga dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman terutama di kawasan atau petempatan orang asli dalam negara mahupun di luar negara. Golongan mereka merupakan penduduk asal dan peribumi yang ketinggalan serba serbi berbanding dengan kaum lain terutama dalam bidang pendidikan, sosio-ekonomi, kemudahan infrastruktur, komunikasi teknologi maklumat, dan pembangunan luar bandar.


Namun begitu, kerajaan telah banyak berusaha ke arah memberi seberapa banyak bantuan untuk membangunkan kemajuan masyarakat orang asli. Mereka tidak lagi dipinggirkan dan beberapa badan bukan kerajaan serta kerajaan sendiri banyak menjalankan program dan cuba menaik taraf serta memperbaiki kehidupan orang asli.




Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Pelajaran Malaysia, dan Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan adalah antara organisasi yang bertindak memajukan kehidupan dan pendidikan masyarakat orang asli. Terdapat ramai masyarakat orang asli yang tidak boleh membaca, menggira dan menulis, malah ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai Sijil Kelahiran apatah lagi mempunyai kad pengenalan diri.



Justeru beberapa langkah kerajaan yang antaranya adakan program turun padang untuk melihat sendiri dan kenal pasti masalah masyarakat di kawasan pedalaman bagi memperbaiki kehidupan mereka. Bangunan sekolah perlu dibina walaupun tidak semua tempat, kemudahan asas seperti petempatan baru, jalan perhubungan darat, bantuan pertanian perlu diberi yang kesemuanya ini dapat memaju dan meningkatkan kehidupan masyarakat orang asli.

Wednesday, February 3, 2010

Aku tak mahu ketinggalan.



Salam hormat dan rahayu,


Jika kita mahu ke kawasan pedalaman, beberapa perkara perlu diambilkira untuk memudahkan kita ke sana, antaranya menggunakan khidmat petunjuk jalan, mengenali serba sedikit keadaan topografi tempat tersebut, ada bekalan makanan, pakaian, dan ubatan yang secukupnya. Kesemuanya ini perlu ada sebagai satu persediaan yang lengkap.

rumah panjang di pedalaman


Di samping itu, kita memerlukan kemudahan pengangkutan, dan peralatan keselamatan serta diiringi oleh penguasa tempatan dan pergerakan ekspedisi ini perlulah dimaklumkan kepada pihak berkuasa. Apa yang ada di kawasan pedalaman? sudah tentu ada komuniti kecil yang hidup berkeluarga dan saling bertaut antara satu sama lain.




Kita juga dapat melihat keajaiban tuhan dimana terdapat pemandangan kawasan semulajadi yang indah, dan boleh melihat sendiri kehidupan masyarakat dan budaya orang pedalaman. Antaranya, kawasan pedalaman di Sabah, dan di kawasan rumah panjang Sarawak. Tidak ketinggalan pula kawasan pedalaman di Tanah Semenanjung seperti di Pahang. Budaya dan corak kehidupan mereka adalah unik, namun begitu kemudahan asas dan komunikasi diberi perhatian oleh kerajaan.

Tuesday, February 2, 2010

Loh, sesat begini.




Salam hormat dan rahayu,


Aku mahu jalan yang lurus, aku mahu jalan yang benar, aku tidak mahu jalan yang membawa kesesatan. Begitulah hati setiap insan berkata pada dirinya yang mahukan kebenaran, mahukan keadilan, tidak mahu terjerumus dilembah yang gelap dan berharap memperoleh cahaya kebenaran. Apakah semuanya ini dapat diperolehnya?


Mana mungkin anak kecil sukakan kegelapan, mana mungkin pelajar sukakan ajaran songsang yang boleh merosakkan akidah mereka, mana mungkin rakyat berdiam diri seribu bahasa bila mereka ditindas dan dizalimi oleh pemerintah, hanya pemimpin yang berjiwa rakyat dan bersifat Rasulullah saja yang dapat membimbing rakyatnya ke jalan yang lurus dan dapat hidup saling membantu serta bersatu padu.



Kalau ada yang sukakan hidup huru-hara, penuh dengan kesesatan minda, angkuh dengan dunianya tersendiri, sudah tentu keadaan mereka bercelaru, dan keselamatan negara menjadi tidak stabil. Hati kecil kita ini, sememangnya mahukan keharmonian dan kesejahteraan hidup buat selama-lamanya. Justeru hindarkan rasa benci yang membawa konflik sesama sendiri.