Wednesday, April 4, 2012

MERANA

Salam hormat dan rahayu.



Semua insan inginkan keselesaan dan ketenangan hati, bergantung kepada kaedah dan cara seseorang itu menanganinya. Apakah dengan wang, pangkat, kuasa, dan status dalam masyarakat dapat memberi ketenangan hidup? Apa pun jua ia berdasarkan usaha dan keyakinan diri untuk memperolehnya.

Insan yang beroleh bahagia ialah kalangan mereka yang tidak merasa kecewa terhadap dirinya, dan tidak pula ia merasa kecewa setelah dirinya tenggelam dalam kalangan masyarakat.

Orang terdahulu pernah berkata, silap langkah ketika berjalan boleh diperbetulkan, manakala tersilap langkah dalam mengharung hidup buruk padahnya. Oleh itu, berhati-hatilah menjalani kehidupan agar tidak tersasar. Manusia seringkali mencari jalan ketenangan hidup dengan cara yang tidak betul, terutama saat-saat mereka ditimpa kesedihan. Sebagai contoh, pengambilan alkohol dan penyalahgunaan dadah.


pengambilan dadah

ambil dadah cara suntik

Mereka lupa cara tersebut menyebabkan ketagihan dan hilang pertimbangan dalam membuat sesuatu keputusan. Pengambilan pil khayal antaranya, amaryl, acarbose, acetaminophen, aciphex, viagra, avandia, ganja, sabu, dan marijuana yang keterlaluan menyebabkan pengamal tersebut akan goyah dan jatuh sakit.


penyalahgunaan ubat

begini jadinya......
Apakah ada penawarnya? sudah pasti ada kecuali penyakit tua. Mencegah penyakit lebih baik daripada mengobatnya. Bagaimana dengan penyakit hati, nah ini yang kita perlu cari dan memperolehnya.

'Peliharalah keindahan hati dari sesuatu penyakit , kerana sukar sekali memperbaikinya kalau sekali telah rosak.' (pepatah orang Arab).

"Tidaklah menurunkan Allah akan penyakit, melainkan diturunkanNya pula ubatnya."

Sunday, March 11, 2012

SENI itu adalah realiti kehidupan.

Salam hormat dan rahayu.

Dewasa ini manusia sering ketandusan ketenangan dan pengisisan kerohanian. malahan tercari cari apa itu realiti hidup dan ke mana harus kesudahan hidup ini. Manusia mempunyai tanggapan hidupnya tersendiri yang perlu menangani apa jua risiko. Sekiranya setiap seni dipersoalkan orang sudah pasti berbeda pendapat dalam kalangan mereka kerana setiap seni mempunyai matlamat dan falsafahnya yang perlu ditasir dan diterjemah dalam bahasa yang unik dan universal.

Apa jua seni ianya berkesudahan kepada kemuncak ketuhanan sama ada ia bertema seni tampak, seni visual, seni teater, mahupun seni muzik. Muzik itu sendiri adalah bunyi sama ada tinggi atau rendah, panjang atau pendek tersusun indah dan mempunyai nilai estetik atau keindahan yang mewujudkan ketenangan dan disitu ada ketuhanan. Terhasilnya bunyi kerana adanya getaran, getaran yang boleh menguasai minda manusia.  

Muzik adalah kehidupan, desiran bayu, siulan burung, alunan ombak, titisan air, nafas, anfas, anafas, dan nufus juga merupakan antara yang dikategori sebagai muzik. Anak perlu dididik dan memahami muzik agar mereka tidak sisih terhadap muzik, mereka perlu diberi pembelajaran muzik bukan setakat menyanyi, memainkan alat muzik malah perlu diberi konsep dan falsafahnya sekali.

Seni Muzik, Seni Teater, Seni Visual, Seni Tari, Seni Tampak, antara seni yang boleh menyatukan manusia supaya hidup dalam harmoni dan penuh perpaduan. Ada juga seni yang boleh meningkatkan ritual seseorang. Antaranya Seni Dabus, Kuda Kepang, dan Seni Tari Sufi dari Turki.                   

Thursday, September 15, 2011

16 September 1963







Salam hormat dan rahayu.



Genap sudah 54 tahun negara kita merdeka dan diraikan bersempena Hari Kemerdekaan 16 September 1963. Apa jua ideologi, agama dan aliran kepercayaan, sebagai rakyat Malaysia perlu kita bersama berganding bahu mengekalkan keamanan dan menolak keganasan. Sejarah telah menunjukkan bahawa perpecahan kaum, dan sebarang konflik ideologi politik menghasilkan kesengsaraan kepada rakyat.


Sebagai contoh peristiwa 13 Mei 1969, peristiwa pemerintahan Bintang Tiga (penguasaan PKM selama 14 hari), dan peristiwa Bukit Kepong, menggambarkan situasi ketidakstabilan politik di negara ini. Saya ingin menulis serba sedikit berkenaan peristiwa sebelum merdekanya Tanah Melayu, antaranya:







" Selepas kekalahan Jepun 1945, Tanah Melayu dikuasai oleh Parti Komunis Malaya (PKM) selama 14 hari. Dalam tempoh itu PKM telah banyak melakukan keganasan dan terjadilah huru-hara. PKM telah mengambil kesempatan menguasai Tanah Melayu melalui cawangan tenteranya yang dikenali sebagai MPAJA. Tentera MPAJA dikenali sebagai tentera Bintang Tiga. Tindakan PKM telah menyebabkan ketegangan kaum kerana kebanyakan anggota PKM terdiri daripada kaum cina. Di Batu Pahat dan Muar, gerakan yang menentang PKM dipimpin oleh Kiyai Salleh bin Karim. Dato' Onn Jaafar, pegawai daerah Batu Pahat berjaya menghalang daripada berlakunya pertumpahan yang dahsyat. Ketegangan kaum dapat diatasi oleh pentadbiran tentera British.




Kiyai Salleh Bin Karim

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada bulan Oktober 1945 oleh PKM di Ipoh, Perak. Presiden pertama ialah Mokhtaruddin bin Laso, ketua rejimen 10 Melayu, Parti komunis Malaya. PKMM dan sekutunya Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Malaya (BATAS) telah menyokong Malaya Union."




PKM terdiri daripada dua kumpulan iaitu MPAJA (Bintang Tiga) yang kebanyakannya dianggotai oleh orang cina. PKMM (antaranya API, AWAS, dan BATAS) kebanyakannya dianggotai oleh orang melayu yang radikal dan beragama Islam. Ideologi MPAJA dan PKMM tidak sama, akan tetapi kedua-dua kumpulan ini berjuang menentang British untuk mendapatkan kemerdekaan Tanah Melayu.




Apakah PKMM dianggap atau dilabel sebagai pejuang atau sebaliknya. Justeru kita perlu lihat semula fakta sejarah sama ada ianya benar-benar tepat atau betul tetapi tidak benar.

Tuesday, September 13, 2011

Adakah Tahyul Bunuh Minda








Salam hormat dan rahayu.




Apakah cerita atau filem seram yang dipaparkan di sebarang media boleh membina atau meruntuhkan minda seseorang? Apakah sering terdapat cerita seram atau tahyul membunuh minat anak atau anak remaja untuk terus berfikir secara rasional? kesemuanya ini membayangkan betapa besar pengaruhnya cerita seram itu dalam pemikiran mereka.





Adakalanya cerita seram sama ada dari dalam negeri maupun luar negara seperti Indonesia, Thailand, Korea, dan Jepun boleh menggugat akidah mereka. Apatah lagi cerita seram tersebut boleh menguasai jiwa mereka untuk terus taksub tanpa memikirkan realitinya.





Anak-anak termasuk orang dewasa disogok dengan cerita seram sehingga terpengaruh dengan kehidupan sehariannya, mereka sudah mula mengabaikan realiti dan tidak dapat membezakan yang mana satu mendatangkan kebaikan dan yang mana boleh menjejaskan pelajaran. Cerita-cerita berunsur ganas juga turut mempengaruhi minda mereka.

Monday, September 12, 2011

Bila Diri Menidakkan Diri








Salam hormat dan rahayu




Apakah akan terjadi bila naluri semulajadi manusia tidak dikawal dan tidak dirasionalkan? Apakah sesuatu tindakan yang diambil itu sama ada untuk kebaikan maupun sebaliknya memberi manfaat pada mereka? Manusia sering membuat apa jua untuk kepentingan diri sendiri, malah sanggup bertindak diluar perikemanusiaan tanpa belas kasihan. Antaranya, memukul, menipu, menindas, dan membunuh.







Prejudis dalam kalangan mereka atau sesuatu komuniti sering terjadi sehingga membawa kepincangan hidup kearah tidak lagi aman dan sejahtera. Di negara yang mengalami kekacauan ekonomi dan politik, sering berlakunya konflik yang membawa dan mewujudkan keganasan, kebuluran, kemiskinan, dan yang lebih buruk lagi apabila berlakunya rusuhan atau revolusi yang membolehkan sesebuah negara itu menjadi hancur dan lebur.






Jiwa manusia tidak akan tenang selagi hilang kepercayaan kepada Tuhan, keamanan, dan saling kasih sayang. Jiwa iblis dan syaitan akan muncul dimana saja untuk bermaharaja dimata dan bersultan dihati, tanpa memikirkan kesejahteraan manusia sejagat. Orang berpolitik akan buat apa saja untuk mendapatkan kekuasaan, kemewahan, mengekalkan kedudukannya, dan memijak kepala orang lain untuk terus berkuasa...apakah perjuangan mereka? untuk ini tanyalah diri sendiri. Adakah sifat semulajadi manusia yang sentiasa memerlukan kasih sayang, dan keamanan dibatasi oleh sifat keegoaan masing-masing? Tepuk dada tanya bicara akaliah diri sendiri.

Tuesday, September 6, 2011

zaman edan






Salam hormat dan rahayu



Untuk kalian yang saya hormati, saya ucapkan salam aidilfitri semoga berhasil keberkatan dan restu hidup daripada Allah s.w.t. Tahniah untuk kalian kerana berjaya tarbiyahkan ramadhan, semoga terus istiqomah.
                                                  
        
Berjuang untuk kebenaran



Saya ingin menterjemah beberapa bait hasil nukilan Raden Ngabehi Ronggowarsito dengan karya yang dianggap sebagai Ramalan Jayabaya (sekadar renungan dan santapan minda). Antara bait tersebut;

"amenangi zaman edan, ewuh aya ing pambudi, milu edan nora tahan, yen tan milu anglakoni, boya kaduman melik, kaliren wekasanipun, ndilalah karsa Allah, begja begjane kang lali, luwih begja kang eling lan waspada"

membawa maksud : "hidup di zaman gila, memang susah, mencoba ikut tidak sampai hati, kalau tak mengikuti, tak memperoleh apapun, akhirnya menderita kelaparan, namun sudah menjadi kehendak Yang Maha Kuasa, meskipun yang lupa hidup makmur, masih lebih bahagia yang senantiasa ingat dan waspada" (dipetik dari Serat Kalatida bait nombor 7, karya Ronggowarsito)

Tuesday, April 5, 2011

Kerana 7 Ringgit?



Salam hormat dan rahayu






Sering aku terdengar kata orang tua "didiklah anakku, rotan dan pukullah anakku sebagai pengajaran untuk memperoleh imu, tapi usah keterlaluan hingga menjadi buta, pekak, maupun patah, didiklah anak ini dengan penuh kasih sayang.







Teks yang terucap ini ada relevan dengan peristiwa yang amat menyayat hati, seorang murid berumur tujuh tahun dipukul dan didera selama hampir dua jam, lalu mengakibatkan kematian. Murid tersebut adalah Saiful Syazni bin Saiful Sopfida berumur tujuh tahun bersekolah di Sekolah Agama Rakyat di Jejawi. Saiful Syazani meninggal dunia jam 8.50 pagi di Hospital Sultanah Bahiyah.




Suspek yang memukul murid itu adalah seorang guru sekolah dan bertugas sebagai penyelia asrama ditahan polis untuk membantu siasatan berhubung kes ini. Guru ini bersikap kejam dan tidak bertimbang rasa hingga menyebabkan kematian muridnya sendiri. Guru yang bertanggungjawab dan berkewibawaan serta ikhlas tidak akan melakukan perbuatan ini.






Mana mungkin seorang yang berjiwa pendidik sanggup melakukan perbuatan yang melampau batas, apatah lagi terhadap anak didiknya sendiri. Guru itu memukul murid hingga menyebabkan kematian atas alasan murid tersebut telah mengambil wang orang lain berjumlah hanya tujuh ringgit sahaja. Apakah ini setimpal dengan perbuatan guru yang zalim itu?

Saturday, March 12, 2011

Siapakah Penipu?





Salam hormat dan rahayu




Orang lama atau orang-orang tua ada berkata bahawa si bodoh makanan si cerdik, si lemah makanan si gagah, dan si lurus makanan si bengkok. Justeru berwaspada dalam mengharungi lautan hidup yang penuh dengan berbagai dan pelbagai tipu daya. Dunia ini pentas sandiwara yang perlu kita berhati-hati dalam membuat apa jua tindakan.

Situasi begini berkemungkinan berlaku dalam hidup seseorang, tidak kira ia berpangkat, sebagai pemimpin negara, ahli perniagaan mahupun ahli agama. Yang penting disini, seseorang itu perlu bijaksana dan berjiwa luhur dalam menentukan hidup masing-masing. Lihat saja apa yang telah berlaku pada individu yang tercebur dengan kancah penyelewengan kuasa, cantas mencatas dalam politik mahupun mendapat kedudukan dalam sesuatu organisasi.






Manusia hanyut dengan dunia sendiri kerana terlalu tamak, ego, suka menipu, mahu berkuasa, selalu menang sendiri dalam mengaut keuntungan dan sanggup berbunuhan tanpa belas kasihan, akhirnya akan kecundang sendirian dalam kehidupannya.

Friday, February 11, 2011

Apakah Kesudahannya?




Salam hormat dan rahayu.



Apa kesudahannya pabila manusia sering saling tidak mengalah, sentiasa saling mahu menang sendiri. Apakah keberuntungan yang diperolehi, material atau kedudukan, ataupun kekuasaan politik? ini semuanya ada jawapannya dalam diri seseorang, sama ada secara positif mahupun negatif. Apakah sebarang perjuangan belum selesai memerlukan manusia bertindak menagih kebenaran, keadilan mahupun keharmonian?





Lihat saja peristiwa terkini dan masih berlaku di seluruh dunia melalui media, perjuangan menuntut keadilan, perjuangan menuntut hak asasi manusia, hak politik dan hak rakyat sering bergolak tanpa henti. Sebagai contoh, di Mesir kini, perjuangan menuntut peletakan jawatan Hosni Mubarak masih berterusan, rakyat masih protes dan berdemontrasi setiap hari. Rakyat Mesir mahukan pembaharuan dan pembelaan nasib mereka. PASTI Hosni Mubarak Letak Jawatan dalam masa terdekat.








Pemerintah yang angkuh tidak mahu mendengar desakan rakyat pasti akan mengalami kehancuran. Mana mungkin dia boleh memerintah dan bermaharajalela tanpa mendengar rintihan rakyatnya, sejarah telah menggambarkan ramai pemerintah yang zalim dan lupa diri akhirnya kecundang dibinasa oleh rakyatnya sendiri.

Tuesday, November 2, 2010

Saat-Saat Kelahiran Seorang Anak.






Salam hormat dan rahayu.


Setiap detik dan setiap saat sudah pasti berlakunya kelahiran dan kematian. Justeru ia tidak dapat dielakkan dalam alam maya ini. Seorang ibu yang cukup waktu hamilnya akan melahirkan anak tidak kira dalam apa cara dan keadaan sekalipun. Betapa susah dan payah ibu melahirkan anak, penderitaannya hanya ibu itu sendiri yang mengetahuinya.


Setiap ibu berharap anaknya akan menjadi orang yang berguna dan dapat berkhidmat pada kedua orang tuannya dan juga terhadap masyarakat. Manusia merencana hanya Tuhan yang menentukan, kita hanya berusaha, berharap dan pasrah kepadaNya.



Anak jika tidak dididik dengan pendidikan yang sempurna pincanglah kehidupannya, mereka akan kabur tentang kehidupan dalam erti kata yang sebenarnya. Ibu Bapalah yang mencorak arah tuju anaknya dan membimbing ke arah kebaikan. Anak perlu diberi pelajaran supaya ia bersedia menempuh cabaran hidup yang sukar diramal.



Persediaan untuk hidup itu penting, dimana langit dijunjung, disitu bumi dipijak, tidak boleh lari dari cobaan dan ujian hidup. Hanya orang berpelajaran dan berpendidikan agama dapat menangani masalah hidup dan meneruskan perjuangan tanpa henti.

Saturday, October 30, 2010

Usah Bertindak Rakus.




Salam hormat dan rahayu.

Musnahnya alam ini kerana banyak faktor, antaranya aktiviti manusia yang kurang arif atau sengaja buat tak tahu tentang perlunya pulihara dan pelihara alam sejagat ini. Pencemaran alam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab turut sama memberi kesan yang amat sangat terhadap keindahan dan kesemulajadian alam yang indah ini.



Negara kita ini penuh dengan keindahan semulajadi dan mejadi kebanggaan rakyat, tetapi kini keindahan itu telah ternoda. Kebanyakan tempat atau lokasi hutan semulajadi telah diteroka atas sebab-sebab tertentu ATAU diteroka secara haram untuk mengaut keuntungan peribadi. Kawasan hutan pedalaman diteroka tanpa sempadan, akibatnya gersang sana sini, hidupan haiwan tidak ada lagi tempat berlindung, hutan habis ditebang, hakisan berlaku tanpa kawalan.




Apakah pihak berkuasa akan membiar ianya berlaku secara berterusan begitu saja? Yang pasti ekosistem alam akan terjejas. Justeru akan menjejas kehidupan seluruh penghuni alam ini. Kawasan pedalaman terutama penduduk orang penan, orang asli sudah tentu akan kehilangan banyak sumber makanan dan mata pencarian ekoran kawasan mereka telah diteroka secara haram.

Punahnya alam ini kerana perbuatan manusia itu sendiri, bersikap rakus dan semberono tanpa memikirkan impak atas perbuatan mereka. Usah terlalu gelojoh, tamak dan tidak waras dalam menjalankan aktiviti penerokaan hutan semulajadi. Yang hancur, tak akan retak, dan yang retak akan kembali pada bentuk asalnya.

Thursday, October 7, 2010

Jasa mereka - ingatkah aku?



Salam hormat dan rahayu.


Ketika ini hujan turun lebat, petir bertalu-talu berdentam, ini mengingatkan aku kisah silam. Kisah orang lama, yang perlu dijadikan sempadan dan teladan. Orang tua-tua dulu, mendidik anak hingga anaknya menjadi orang yang berguna dan berkhidmat bukan saja pada ibubapanya malah untuk masyarakat. Anak-anak bukan saja diajar berakhlak, malah jiwa mereka dipupuk dengan keruhanian. Aku masih ingat sebuah keluarga yang sangat miskin berjaya mendidik anak-anaknya dan memberi pelajaran sehingga ke menara gading.




Keluarga tersebut memberi anak-anak mereka pelajaran dan kasih sayang, walaupun hidup melarat dan penuh kemiskinan. Mereka sanggup bekerja mencari rezeki yang halal untuk pelajaran anak-anak, dan tidak mahu anak-anak mereka hidup susah masa mendatang. Keluarga itu sanggup mengikat perut kelaparan kerana kekurangan wang, asalkan anak mereka dapat meneruskan pelajaran sehingga peringkat universiti. KINI, anak keluarga tersebut kesemuanya berjaya ke peringkat menara gading dan masing-masing telah bekeluarga dan hidup bahagia, namun begitu anak-anak mereka masih saling berkhidmat dan menjaga kebajikan ibu bapa mereka.


Kebanyakan anak-anak remaja sekarang ada yang asyik dan leka dengan material, hiburan dan jiwanya pula kosong, sehingga tidak lagi kasih dan menghormati ibu bapa mereka. Walhal sekiranya kita renung hati ibu bapa secara semulajadi, mana ibu tidak mahu anaknya berjaya, mana bapa tidak mahu lihat anaknya cemerlang, sudah pasti mereka mahukan yang terbaik untuk anaknya. Ibu dan bapa yang mahukan anaknya berjaya dalam hidup sudah tentu tidak akan jemu dan serik mendidik anak mereka walaupun nyawa taruhannya.


Wahai anak-anak, hargailah pengorbanan ibu bapa kamu. Usah pula kamu digelar anak derhaka, anak yang tidak mengenang budi, INGAT, ibu bapa kamulah yang membesar dan mendidik kamu dengan penuh kasih sayang. Jangan pula kamu jadi Si Tanggang yang malu mengaku ibunya yang miskin dan tidak berpelajaran, ibulah yang melahir dan membesarkan kamu.


Lihat, dewasa ini ramai kalangan anak remaja hilang pegangan hidup, berpeleseran tanpa hala tuju, terjebak dengan kancah penyalah gunaan dadah, menjadi samseng jalanan, dan ingin hidup bebas sehingga menimbulkan masalah gejala sosial yang amat serius. Salah siapakah ini? ini yang menjadi tanya, ada anak remaja yang kurang didikan agama dan kurang pemantauan ibu bapa telah menjadi liar terjebak dengan kumpulan samseng yang menjejaskan keharmonian masyarakat.

Saturday, September 18, 2010

Aku Hanya Pasrah




Salam hormat dan rahayu.



Hidup seseorang itu ada ketentuan dan ketetapan yang telah tertulis sejak azali lagi. Justeru, kita perlu pasrah dengan kehendak Ilahi. Usaha dan ikhtiar ada pada manusia, dan manusia itu sendiri yang menentu dan mengubah nasibnya, Allah hanya merestu dan memberi rahmat serta barakahNya.


Setiap pemimpin negara mahukan negaranya aman makmur, rakyat sentiasa bekerjasama dan hidup penuh harmoni. Oleh itu, setiap rakyat bersama pemimpin berperanan dan bertanggungjawab sepenuhnya menggembling tenaga memajukan pembangunan dan ekonomi negara.







anak-anak keciciran mengemis di jalan raya

Unsur rasuah, penyelewengan kuasa, dan apa jua masalah yang menggugatkan keselamatan negara perlu ditangani bersama. Masalah kemiskinan, keciciran murid, kebanjiran pendatang asing yang tidak terkawal, pendidikan, kesihatan, pengangkutan, dan jenayah perlu diselesaikan serta diberi keutamaan.


jangan biarkan anak anda keseorangan, fikirkan keselamatannya.


Saban hari melalui media, kes jenayah seperti pembunuhan, merompak, buang bayi, dan penipuan berleluasan. Yang menjadi perhatian negara sekarang ini ialah kes pembunuhan kejam ke atas Datuk Sosilawati bersama tiga rakan yang lain. Mangsa bukan saja ditikam, disembelih malah dibunuh sampai mati lalu mayat mereka dibakar, dan abu mayat pula dibuang dimerata sungai berhampiran dengan lokasi pembunuhan. Anak-anak pula dibiarkan begitu saja keseorangan menjalankan aktiviti harian sedangkan mereka perlukan perlindungan daripada orang dewasa. Ibu bapa perlu bertanggung sepenuhnya terhadap keselamatan dan pendidikan anak-anaknya. Jangan abaikan mereka.

Thursday, September 16, 2010

Zalim Tu!!! Jangan Dibiarkan.



Salam hormat dan rahayu.


Sepandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Begitulah liciknya suspek yang juga seorang peguam bergelar Datuk, ditahan polis berhubung dengan pembunuhan kejam ke atas jutawan Datuk Sosilawati Lawiya bersama dengan tiga rakannya yang lain. Pembunuhan yang sangat kejam dan menyayat hati ini sangat zalim dan tidak ada langsung perikemanusiaan.


Zalim disini bermaksud tidak meletakkan sesuatu itu pada tempatnya. Melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya, itu zalim namanya. Apatah lagi pembunuhan dilakukan ke atas orang yang tidak berdosa. Metro Edisi Tengah, bertarikh 16 September 2010, paparan utama masih berkisar mengenai isu pembunuhan Datuk Sosilawati bersama rakannya. Suspek memiliki pendapatan jutaan dan harta melampau.


suspek pembunuh Datuk Sosilawati dan tiga rakannya.


Ladang kepunyaan suspek dikawal dan dibantu dengan 16 anjing rottweiler. Berkemungkinan anjing itu digunakan untuk membunuh atau menakutkan mangsa, terpulang pada arahan tuannya. Peristiwa ngeri yang juga menjadi isu negara suatu ketika masa dulu, dimana Datuk Mazlan ditetak, dibunuh, jasadnya dipotong oleh Mona Fandey dipercayai atau hanya andaian cebisan tubuh mangsa diberi makan pada sekawan itek peliharaannya, apakah mungkin kaedah ini juga diaplikasi oleh suspek iaitu K. Patmanaban diladangnya?


Yang lebih zalim, mangsa disembelih, dibunuh seterusnya dibakar, lalu abu dibuang ke merata sungai. Untuk menghapus bukti mayat dibakar hingga menjadi abu, dan sekurang-kurangnya memakan masa dua hingga empat jam, ini bergantung pada alatan dan kepakaran. Jenayah berlaku dimana saja dan semakin berleluasa, ianya perlu dikawal. Apakah negara kita dapat mengurangkan jenayah dan menjamin keselamatan rakyat dalam erti kata yang sebenarnya?

Monday, September 13, 2010

Berhati Syaitan.






Salam hormat dan rahayu.


Manusia akan buat apa saja untuk capai matlamat, walaupun bertindak kejam seperti menipu, menindas, memukul, dan membunuh. Membunuh demi wang, kuasa, mahupun meningkatkan kekayaan dalam kalangan manusia sudah menjadi lumrah saban tahun. Yang penting wang atau duit diperoleh melalui pelbagai cara termasuk melalui peras ugut, dan pengkhianatan rakan seperniagaan.


Manusia sering saling tidak jujur, hilang pertimbangan akal bila berurusan sesama sendiri terutama urusniaga yang melibatkan wang berjuta ringgit. Ini belum soal menentukan kedudukan atau status seseorang dalam masyarakat mahupun dalam arena politik. Manusia sanggup melakukan apa saja termasuk mengorbankan ramai jiwa yang tidak bersalah untuk kepentingan sendiri.


Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan paparan berita melalui pelbagai media mengenai kematian seorang jutawan Datuk Sosilawati Lawiya, bersama peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, pemandu Kamaruddin Shamsudin, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohamad. Mereka ini dibunuh secara kejam dan tidak berperikemanusiaan malah mayat mereka dibakar. Untuk menghilangkan bukti, abu mayat kesemua mangsa dibuang ke sungai.




Seorang yang bergelar Datuk yang juga merupakan peguam iaitu Datuk K. Patmanaban ditahan polis untuk membantu siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga mangsa yang lain. Turut sama ditahan polis ialah adik kepada Datuk K. Patmanaban bersama beberapa pekerjanya. Kesemua mereka yang ditahan oleh polis itu adalah berketurunan hindu.





mencari bukti pembunuhan di Sungai Kanchong, Banting


Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga yang lain dipukul, ditikam, dibunuh, malah disembelih dengan kejam. Mayat mereka dibakar lalu abunnya dibuang ke dalam sungai untuk menghilangkan bukti. Kesemua mangsa yang beragama Islam dibunuh dan dibakar secara hindu. Apakah ada isu lain disebalik peristiwa yang sangat tragis ini?


Mangsa dipercayai ada hubungan perniagaan dengan suspek yang melibatkan wang berjuta. Pembunuh mangsa sudah hilang pertimbangan, begitu kejam, hilang keluhuran budinya dan wajib dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Sunday, September 5, 2010

Prejudis - akibatnya.





Salam hormat dan rahayu.


Apabila manusia saling prejudis, keluhuran budi mulai semakin terhakis, malah seluruh sistem dan kepemimpinan negara turut goyah dan memerlukan perhatian yang serius untuk sesebuah organisasi atau negara itu kembali normal dan kekal stabil.


Kestabilan sesebuah institusi keluarga tidak akan kekal lama sekiranya ahli keluarga saling bertelagah dan akhirnya membawa ke arah keretakan rumah tangga. Begitu juga dengan keadaan sesebuah negara, berlakunya konflik dan saling prejudis dalam kalangan pemimpin akan menghancurkan keutuhan negara.


Negara kita sering mengalami pelbagai isu semasa antaranya, penyelewengan kuasa, masalah kepemimpinan, gejala sosial, ekonomi yang tidak stabil, keselamatan, pendatang warga asing dan iklim politik yang kurang menyenangkan hati rakyat. Kesemuanya ini perlulah pihak kerajaan bersama rakyat membanteras isu yang boleh menyebabkan negara mengalami kehancuran.





Palestine dan Israel saling berkonflik, prejudis, saling berperang untuk menentukan hak dan konfliknya dalam kalangan mereka seolah-olah tiada nokhtah. Hasilnya sehingga hari ini tiada kepastiaan, mereka sering saling berperang dan berbunuhan.

Thursday, September 2, 2010

Endah Tak Endah.







Salam hormat dan rahayu.



Setiap tahun apabila muncul hari perayaan besar seperti Aidil Fitri, Tahun Besar China, dan Deepavali bunyi mercun berkemundang di sana sini tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan orang ramai. Larangan menyeludup dan membakar mercun sudah pun diumumkan oleh pelbagai media namun masih yang berdegil.


Saban tahun ada saja kemalangan berlaku di sana sini akibat bermain dengan mercun, anak-anak kehilangan jari, cedera anggota badan malah ada yang cedera parah sehingga koma dan dimasukkan ke hospital, yang lebih dahsyat lagi ada nyawa terkorban.


Paling sedih anak-anak kecil atau orang dewasa menjadi mangsa letupan bahan mercun yang disimpan sama ada di rumah mahupun digudang. Sebagai contoh, di Terengganu, berlakunya letupan bahan api (mercun) dari sebuah rumah sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak berumur lima tahun yang tercampak dan melambung serta tersangkut ke atas pokok setinggi lima belas meter.



Apakah peristiwa ini tidak membawa sebarang pengajaran kepada umum? malah seolah-olah tidak menjadi masalah besar kepada negara, sehingga kurang pengawalan yang ketat dan tidak begitu serius oleh pihak keselamatan. Penyeludupan bahan tersebut dipercayai daripada negara jiran atau negara luar yang lain sering bolos dan dapat pula diedar ke seluruh negara.



Kebanyakan bahan api (mercun) diseludup bukan saja menggunakan kenderaan kecil malah mereka guna kenderaan besar seperti van, dan lori. Dua minggu lalu, sebuah lori dengan muatan bahan mercun, terbakar dan meletup di lebuh raya. Bahan yang dibawa itu adalah pelbagai jenis mercun dipercayai untuk diedar dan dijual kepada umum menjelang hari raya ini. Mereka ini endah tak endah dengan peraturan dan undang-undang negara. Mereka sanggup buat apa saja asalkan duit dapat dikaut menggunung. Malah ada bangunan atau gudang tempat simpanan bahan letupan itu meletup musnah dan mengorbankan nyawa manusia.






Langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat dan serius perlu diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini, terutama di pintu masuk dan keluar negara ini. Tindakan hukuman yang setimpal perlu dikuatkuasa ke atas mereka yang terlibat, tidak kira pengguna mahupun pembekal, pengedar, dan penyeludup.