Showing posts with label HAKIKAT KETUHANAN. Show all posts
Showing posts with label HAKIKAT KETUHANAN. Show all posts

Tuesday, September 13, 2011

Adakah Tahyul Bunuh Minda








Salam hormat dan rahayu.




Apakah cerita atau filem seram yang dipaparkan di sebarang media boleh membina atau meruntuhkan minda seseorang? Apakah sering terdapat cerita seram atau tahyul membunuh minat anak atau anak remaja untuk terus berfikir secara rasional? kesemuanya ini membayangkan betapa besar pengaruhnya cerita seram itu dalam pemikiran mereka.





Adakalanya cerita seram sama ada dari dalam negeri maupun luar negara seperti Indonesia, Thailand, Korea, dan Jepun boleh menggugat akidah mereka. Apatah lagi cerita seram tersebut boleh menguasai jiwa mereka untuk terus taksub tanpa memikirkan realitinya.





Anak-anak termasuk orang dewasa disogok dengan cerita seram sehingga terpengaruh dengan kehidupan sehariannya, mereka sudah mula mengabaikan realiti dan tidak dapat membezakan yang mana satu mendatangkan kebaikan dan yang mana boleh menjejaskan pelajaran. Cerita-cerita berunsur ganas juga turut mempengaruhi minda mereka.

Saturday, April 17, 2010

Kita berkongsi Alam.




Salam hormat dan rahayu .



Haiwan yang dipelihara dan dilatih sejak kecil mudah dikawal dan akur perintah daripada tuannya. Bagaimana pula sekiranya terjumpa haiwan yang masih liar atau masih di perhutanan. Bolehkah kita berkomunikasi atau berhubung dengan mereka tanpa memikirkan risikonya. Dalam penulisanku yang lalu, aku ada menyentuh bagaimana untuk menguasai diri atau melalui latihan berulang kali boleh berkomunikasi secara berfokus terhadap manusia, objek, dan haiwan.


Kalau selalu atau pernah mengunjungi sarkas, kita dapat melihat bagaimana mereka dapat menjinak haiwan, malah haiwan itu akur dengan sebarang arahannya. Namun begitu, risiko tetap ada, apa jua kita buat, fikirkan keselamatan terlebih dahulu. Langkah keselamatan perlu diambil secara serius. Haiwan ada naluri dan dipengaruhi suhu persekitarannya, ada ketika haiwan tidak dapat dikawal jika ia naik berang atau rasa terancam. Sebagai contoh, Raja Ular Malaysia mati akibat dipatuk oleh ular tedung peliharaannya semasa membuat persembahan dikhalayak ramai.






Pernah aku ke Pulau Tioman, aku berjalan kaki dari Tekek menghala ke Juara merentasi hutan bertembung dan berhadapan dengan seekor ular tedung berdiri tegak setinggi aras dadaku dalam jarak 1.5 meter, lalu aku mendiamkan diri dan merenung ular tersebut. Gementar juga aku, maklumlah jika tersilap langkah maut akibatnya. Ular itu beredar dari situ setelah aku merenung ke arahnya, dan berkata kepadanya, bahawa kita ini berkongsi alam, ular tidak boleh mendengar, tapi nalurinya seolah-olah memahami kata-kataku.


Aku ingin berkongsi maklumat dan pengalaman, semasa aku membuat latihan survivor di hutan Datai, Langkawi (ketika itu Datai masih hutan dara), pelbagai perkara mistik berlaku di situ, sesiapa yang pernah ke situ pasti ada pengalamannya masing-masing. Sekumpulan pelajar salah sebuah Universiti tempatan telah berkhemah di pantai Datai, tidak semena-mena seekor gajah telah bertindak liar memusnahkan khemah mereka pada malamnya, bertempiaran pelajar-pelajar tersebut dan berteriak minta tolong, secara kebetulan aku ada berdekatan dengan pantai tempat mereka berkhemah.


Aku dengan melalui pengalaman lalu dan mendapat kekuatan serta keyakinan daripada Allah dapatlah aku menguasai gajah tersebut dan bawa ia ke tempat lain. Risiko tetap ada, yang pasti pasrah kepada Ilahi setelah kita berusaha dan mencuba dalam apa jua perkara.


"Allah meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat." ( Ayat 24 : Ibrahim ).

Saturday, January 30, 2010

Mahu kemana tu?




Salam Hormat dan rahayu,


Jeti ini menuju ke Pulau Besar, Melaka. Apakah tujuan manusia berkunjung ke tempat tersebut? ini bergantung kepada diri individu itu sendiri. Kalau niatnya melancong atau ada perkara peribadi yang perlu diselesaikan, maka setiap apa jua tindakan diambil perlulah positif.

Suatu ketika dulu, Pulau Besar terkenal dengan cerita makam tujuh beradik . Makam Tujuh Beradik ini merupakan makam lama yang dianggap sebagai keramat oleh penduduk tempatan. Ramai pengunjung luar datang menziarahi makam tersebut untuk tujuan tertentu, antaranya membayar nazar setelah hajat termakbul, mohon jadi kaya, mengubat penyakit, dan mendapatkan jodoh.



Masih ramai yang mengunjung kubur yang dianggap keramat di serata tempat untuk mendapat kekayaan, malah untuk kenaikan pangkat, dan menang dalam piliharaya. Apa pun, tindakan tersebut akan membawa kepada syirik kepada Tuhan dan merosakkan akidah.







Selalunya bagi mereka yang terdesak, kurang memperdalami hal-hal agama, akan bertindak apa saja termasuk memohon ke tempat yang dianggap keramat bagi menyelesaikan masalah mereka. Ini termasuk dari mereka yang terdiri dari pelbagai kepercayaan, bangsa, pangkat, dan kedudukan perjawatan awam.


INGAT, Sesuatu itu tidak dapat dimudarat (dimusnah), melainkan dengan izin Allah. Kukuhkan akidah kamu, dan bertauhidlah kepadaNya.

Tuesday, November 10, 2009

Waktu Ajal Telah Tiba ( 2 )



Salam hormat dan rahayu.

Ingatlah bahawa setiap yang hidup dan bernafas akan menghadapi mati dan ianya tetap hadir apabila sampai masa yang telah dijanjikan dan ia tidak boleh ditangguh-tangguh walaupun sesaat jua.


"Setiap yang berjiwa (nyawa) itu akan merasa kematian. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembali." Al Ankabut : 57.

Maksud mati di sini adalah kembalinya diri rahasia kita kepada Allah swt. Kematian tidak pernah mengenal usia, miskin atau kaya, alim atau jahil, bodoh atau cerdik, raja atau rakyat bila sampai tempohnya maka manusia itu akan menghadapi maut.

Maut kerana sakit, kemalangan, mangsa pembunuhan dan peperangan, mahupun ditimpa apa saja seperti bencana alam, bagi mereka yang ada kepercayaan dan pegangan agama pasti kesemuanya itu adalah ketentuan dan ketetapan Tuhan Pencipta Alam Semesta.

Bagi insan hakiki dan mencapai makrifat dengan Tuhan, seperti insan arifinbillah dan para wali Allah, mereka diberitahu di alam ilmu ghaib melalui laduni, mengenai berita kematian mereka atau dikenali oleh para-para Tasauf sebagai perintah kembali.

Biasanya perintah kembali kepadaNya ini akan diperoleh oleh mereka setahun sebelum saat kematiannya. Pada kelazimannya mereka menerima notis kematian itu melalui laduni sebanyak lima kali di dalam masa hidupnya iaitu:

  • Setahun sebelum mati
  • 6 bulan sebelum mati
  • 100 hari sebelum mati
  • 40 hari sebelum mati
  • 7 hari sebelum mati dan seterusnya bergantung kepada martabat seseorang.

Bagi diri sendiri, apakah kita mempunyai indikator saat sampainya kematian? Kita perlu membuat persediaan untuk kembali kepadaNya. Sekiranya ada laporan rawatan doktor bagi mereka yang sakit, sudah pasti itu sebagai panduan awal untuk mereka memahaminya.


"Apabila telah datang ajal, maka mereka tidak dapat ditangguh walaupun sesaat dan tidak pula mendahuluikannya." Surah Yunus : 49.

Tuesday, November 3, 2009

Bila Usia Mulai Kabur.



Salam hormat dan rahayu.

Usia terikat dengan ruang dan waktu. Pasti usia itu mempunyai rentetan peristiwa. Setiap insan mengalami usia di peringkat alam rahim, kanak-kanak, remaja, dewasa, seterusnya ke peringkat usia tua. Sekiranya tidak dimanfaatkan waktu dengan bijaksana pasti seseorang itu akan mengalami kerugian dan penuh kekecewaan.

Silap langkah kaki ketika berjalan, ianya dapat diperbetulkan, tetapi silap langkah dalam kehidupan merana padahnya. Hidup ini penuh dengan rintangan dan pancarobanya, jika ada cobaan hidup perlulah kita menanganinya dengan penuh bijaksana.

Tidak ada sesuatu pun yang kekal, semuanya binasa kecuali Allah Tuhan Pencipta Alam. Lihat saja alam semesta ini, sering kali mengalami perubahan fizikal seperti berlakunya gempa bumi, taufan, tsunami, dan letupan gunung berapi. Manusia begitu juga, apabila mengalami perubahan fizikal, ia turut juga mempengaruhi minda dan jiwa.





Apabila usia diperingkat remaja, semuanya kelihatan cantik, tampan dan sempurna. Namun, setelah dimamah usia, semuanya kelihatan kabur dan pudar, tidak lagi kelihatan cantik, tampan dan gagah. Apa yang tinggal, hanya kenangan dan peristiwa. Justeru carilah ketenangan jiwa, carilah keabadian luhur budi, dan carilah kesucian hati. Tumpukan hatimu kepada Allah kerana Dia Maha Berkuasa dan tidak musnah.

"Semua orang yang di bumi akan musnah. Dan zat Tuhanmu yang Besar lagi Mulia akan tetap tinggal kekal." (Al-Rahman : 26-27).

Sunday, October 18, 2009

Mencari Keabadian Tuhan.



Salam hormat dan rahayu,

Apabila ilmu dan kepercayaan kamu telah bertambah kuat dan kukuh, maka hati kamu telah lapang dan bercahaya. Justeru kamu bertambah hampir dengan Allah dan layak menjaga rahasiaNya. Yang dimaksudkan dengan hampir malah bersatu dengan Allah ialah kamu mengosongkan hati kamu dari makhluk, hawa nafsu dan segala apa jua yang selain daripada Allah, sehingga hati kamu dipenuhi oleh Allah dan lakuanNya sahaja.



Kamu tidak bergerak selain dengan kehendak Allah. Setiap sesuatu itu dalam pengetahuan dan ketentuan Allah. Kamu akan lihat bahawa tidak ada yang wujud selain Dia sahaja. Kamu akan lihat bahawa untung, rugi, harapan dan ketakutan bahkan semuanya adalah dari dan kerana Dia jua. Dialah yang patut ditakuti dan kepada Dia meminta perlindungan dan pertolongan. Tidak ada suatu pun yang seumpama denganNya, sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.

"Dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada TuhanNya". (Al Kahfi : ayat 110).

Friday, August 14, 2009

Dewi Suci.



Salam hormat dan rahayu,

Cuba renungkan pepatah luhur ini :

Hendaklah kita bersikap budiman, tertib dan damai, andaikan tidak demikian, pasti "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna" kerana yang menyebabkan penderitaan diri peribadi itu adalah akibat dari perbuatan diri sendiri.

Tuhan memberi akal kepada manusia sebagai piranti yang penting untuk menjadi khalifah fil ard. Manusia memiliki akal (fikiran dan budi) sedangkan makhluk lain tidak. Dalam diri manusia ada roh Tuhan tetapi tidak sempurna, yang sempurna hanyalah Ilahi.

Bagi orang yang tahu akan kebenaran, dalam hati terasa ewuh ( bingung ), apabila tidak turut berbuat sesat, hidupnya akan menjadi merana, kalau ikut, menjadi rendah pula budi pekertinya.

Justeru, hidup bersama Tuhan adalah kebebasan. Hanya Allah kita wajib yakin, bukan setakat yakin dengan jalan ilmu, malahan ke tahap sijaratul yakin, haqqul yakin, seterusnya ke peringkat kamalul yakin, iaitu yakin yang sempurna, sehingga rindu kepada Allah.




Sesiapa yang merindukan Allah hatinya mempunyai mata. Mata hatinya melihat segala sesuatu yang tidak dilihat oleh penglihatan biasa. Mata hati yang dapat memperlihatkan kebenaran.

" Ya Allah, tunjuklah kepada kami, bahawa yang benar adalah benar dan beri kemampuan mengikutinya. Dan tunjuklah kepada kami bahawa yang salah itu adalah salah dan beri kemampuan menjauhinya ".

Wednesday, August 12, 2009

Ikhtiar dan Pasrah


Salam hormat dan rahayu,

Cobaan Allah adalah pelbagai, kita hendaklah redha, kerana sudah tentu ada rahmatnya. Dewasa ini, dunia dilanda dan diancam kemusnahan, purak puranda, dan berbagai penyakit atau virus. Antaranya isu H1N1, yang kini di Malaysia telah merentap 51 jiwa, dengan ini perlulah kita bertanggungjawab bersama sebagai warga Malaysia untuk mengatasi masalah ini. Patuhilah arahan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Ikhtiar dulu, baru pasrah kepada Tuhan. Vaksin Swine Flu atau H1N1 telah ditemui, tetapi 'vaksin jenis A' telah mutasi dan mengakibatkan pandemic di seluruh dunia....setiap racun ada penawarnya, setiap penyakit ada obatnya, berusahalah, seluruh warga Malaysia hendaklah bersatu berdoa kepada Ilahi (Tuhan yang Maha Menguasai Sesuatu), semoga kita sejahtera.

" Dan jika kamu ditimpa musibah, godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Tuhan. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. " ( Al A'raf : ayat 200 ) .


Apabila wabak penyakit tersebar, di mana-mana tempat, ia tidak kenal siapa kamu walaupun kamu raja, pemerintah, pegawai, samseng, anak kecil, pendita, ulama bahkan apa saja, yang pasti jika tidak dibenteng atau dicegah kamu semua akan berantakan jatuh sakit lalu ke alam maut, melainkan dapat pertolongan Ilahi, Maha Pelindung dan Maha Penyembuh.
INGAT! Tuhan Maha Pengasih, Maha Penyayang, sesuatu itu dalam ketentuanNya. Kun Fayakun, kalimahNya. Mohon dan mintalah kepadaNya, jangan pinta kepada makhluk kerana makhluk itu barang kena jadi dan baru, barang kena jadi dan baru itu tidak boleh memberi bekas. Hanya Allah yang boleh memberi bekas kepada sesuatu.

Tuesday, July 21, 2009

Yang Esa itu sungguh Satu.


Salam hormat dan rahayu,
Allah itu Esa, Yang Esa itu sungguh satu, benar-benar hanya satu, iaitu kita sesungguhnya, demikian kenyataannya. Allah itu tiada bermata dan tidak berwarna, tidak berarah dan tak bertempat. Jauh tiada berhingga, dekat tiada tersentuh, ada lantaran Dzatnya sendiri. Dzat yang bersabda tanpa mulut, hanya niat saja. Menghidu tanpa hidung, hanya menyengaja saja. Mendengar tanpa telinga, bila melihat, tiada dengan mata, itulah yang disebut waskhita. Tuhan tiada arah, ertinya tanpa tempat. Tiada rupa dan tiada warna. Demikian pendapatku, kerana ghaib tiada dapat diperkirakan, dan tak dapat diserupakan dengan apapun.

Sesungguhnya tiada apa-apa, kerana ketika masih kosong belum ada sesuatupun, yang ada lebih dahulu adalah Aku, tidak ada Tuhan kecuali Aku, Dzat yang Maha Suci, yang meliputi sifatKu, menyertai namaKu, menandai perbuatanKu.
Hendaklah kamu sedar, bahawa Tuhan itu disebut Allah, tiada zaman, tiada tempat, Dia itu yang menjadikan bumi dan langit berserta semua isi, yang memberi hidup, memberi kesenangan, memberi kepandaian dan kesaktian kepada semua makhlukNya.
Miliklah sifat-sifat Allah dan berakhlak dengan akhlak Allah. Hendaklah kamu bersama Allah. Apabila kamu tidak dapat bersama Allah, maka hendaklah bersama orang-orang yang mendekati Allah, kerana mereka dapat menghubungkan kamu kepada Allah.
" Semua orang yang ada di bumi akan musnah. Dan zat Tuhanmu yang Besar lagi Mulia akan tetap tinggal kekal. " (Al- Rahman : 26 - 27).
Allah itu satu, bukan dua, bukan tiga, hanya satu iaitu Tunggal, segala sesuatu memohon kepadaNya, tiada beranak, dan tidak diperanakkan, tiada sesuatu pun dapat dibandingkan denganNya.

Sunday, July 5, 2009

menuju kesabaran hidup...


Salam hormat dan rahayu.
Allah swt memberkati kalian,

Ketahuilah bahawa manusia terdiri daripada dua golongan iaitu, pertama golongan yang dikurniakan oleh Allah dengan perkara-perkara yang baik di dunia ini, manakala golongan yang satu lagi ialah mereka yang diuji dengan apa yang telah ditakdirkan oleh Allah. Golongan yang mendapat perkara-perkara yang baik itu tidaklah bebas dari dosa dan kegelapan dalam proses menikmati kurniaan tersebut. Mereka ini merasa seronok dengan kurniaan itu, tiba-tiba datang takdir Allah yang menimpa mereka dengan kesulitan dan mala petaka pada diri, atau keluarga, ataupun harta benda. Oleh itu, mereka berasa sedih dan putus asa.


Mereka pun lupa kepada keseronokan dan kebahagiaan yang mereka nikmati dahulu. Bila mereka diberi kekayaan, keselamatan dan kesentosaan, mereka lupa, seolah-olah mereka sangka keadaan mereka berkekalan. Apabila mereka lupa ditimpa mala petaka, lupalah mereka kepada kebaikan yang mereka telan terima, dan seolah-olah kebaikan tidak ada pada mereka. Justeru, semuanya ini adalah tanda mereka jahil dengan tuanNya yang sebenar, iaitu Allah swt.


Jikalau mereka tahu bahawa tuhan Allah itu berkuasa membuat apa saja yang dikehendakiNya, sama ada berkuasa menjatuh atau menaikkan, memberi kekayaan atau memiskinkan, menyenang dan menyusahkan, mengelokkan dan memburukkan, menghina dan memuliakan, menghidup dan mematikan, bahkan apa saja, jika mereka semua tahu ini, tentulah mereka tidak menyangka yang kebahagiaan dan kekayaan yang mereka nikmati itu akan berkekalan, dan sudah tentu mereka tidak bangga dan sombong, ataupun putus asa dan kecewa jika kekayaan dan kebahgiaan itu dihilangkan dari mereka.

Tanggapan mereka yang salah mengenai aturan hidup ialah disebabkan mereka jahil tentang dunia ini. Mereka tidak tahu bahawa dunia ini adalah tempat ujian, tempat berusaha, tempat bersakit dan tempat bersusah payah. Dunia ini ibarat dua lapisan rasa, diluarnya rasa pahit, dan di dalamnya rasa manis. Makan yang pahit itu terlebih dahulu, barulah dapat rasa yang manis. Bersabarlah memakan yang pahit itu dahulu supaya dapat manisnya. Oleh itu, barangsiapa bersabar dengan ujian-ujian dunia ini, akan berhak menerima ganjaran yang baik daripada Allah swt.

Wednesday, July 1, 2009

Rintihan Hati.


Salam hormat dan rahayu,

Alangkah herannya jika kamu marahkan tuhan dan menyalahkanNya atau mengatakan tidak adil dan melambat-lambatkan pemberian sesuatu atau membuangkan mara bahaya. Tidakkah kamu tahu bahawa setiap sesuatu kejadian atau peristiwa itu ada masanya yang ditentukan dan setiap mara bahaya itu telah ditetapkan tempohnya, tidak boleh ditangguhkah atau dipercepatkan. Masa bahaya tidak boleh ditukar kepada masa aman, dan masa aman pula tidak boleh bertukar kepada masa huru-hara oleh itu hendaklah kamu bersopan santun, diam dan jangan banyak cakap, bersabar, berserah dengan sukarela kepada Dia, bersesuaian kehendakmu dengan kehendak Dia dan tobatlah kepada Allah kerana kesalahan kamu itu.


Manusia dan makhluk itulah yang tertakluk kepada Allah, dan Allah tidak tertakluk kepada manusia dan makhluk. Terpulanglah kepada manusia meminta kepada Dia dan Dia yang Maha memberi, tetapi tidak termesti yang Dia mesti memberi kepada permintaan hamba-hambanya. Dia sahaja yang Maha Agung, Maha Kaya, dan berdiri sendirinya, tanpa sekutu apa-apa jua. Dia menjadikan sesuatu dan menentukan kebaikan atau kejahatan. Dia mengetahui awal dan akhirnya mahkluk, dan tujuan mereka. Allah yang Maha Tinggi dan Maha Agung itu Maha Bijak dalam tindak tanduknya, dan Maha Tegas dalam aturanNya serta tidak ada berlawanan dalam lakuanNya.


Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia dan tidak juga tanpa tujuan.
Tidak wajar perbuataNnya itu ada cacat cela kerana Dia Maha Bijak dan Maha Tahu.

Hendaklah kamu bersabar dan tunggu jika kamu rasa jemu dalam penyesuaian kamu dengan Dia, dan dalam menunjukkan penyerahan kamu kepadaNya, dan dalam memfana'kan diri kamu kepadaNya, sehinggalah sampai takdir Ilahi dimana tempoh masa itu telah cukup dan masa bertukar telah hadir.

Thursday, June 25, 2009

Menembusi Hijab Ketuhanan


Salam hormat dan rahayu,

Sesiapa yang menjalankan tugas-tugasnya dengan Allah secara ikhlas dan benar, maka ia tidak terpengaruh oleh apa sahaja selain Allah. Wahai insan, janganlah menuntut apa yang kamu tidak ada. Bertauhidlah kepada Allah dan jangan sekutukan Dia dengan apa jua. Jadikan diri kamu matlamat bagi anak panah takdir yang akan mengena diri kamu bukan untuk membunuh tetapi untuk mencederakan. Barang siapa yang meleburkan diri kerana tuhan akan menerima ganjaran dariNya.

Janganlah kamu sangka yang diri kamu telah termasuk dalam golongan orang keruhanian kecuali kamu telah menjadi musuh diri kamu dan kamu telah terpisah dari anggota badan kamu, dan telah memutuskan perhubungan dengan wujud kamu, dengan gerak dan diam kamu, dengan pendengaran dan penglihatan kamu, dengan lisan dan pegangan kamu, dengan usaha dan tindak kamu, dan apa saja yang kamu anggap datangnya dari diri kamu sendiri, dan semua yang ada pada kamu setelah wujud keruhanian itu, dihembuskan ke dalam kamu, kerana semua itu, adalah tabir antara kamu dengan tuhan kamu.

Apabila roh kamu telah jadi bersih dan suci, maka rahsia dari segala rahsia, yang ghaib dari segala yang ghaib, terbuka kepada kamu, dan kamu akan sedar, mana musuh dan mana sahabat, mana haq dan mana batil, mana tauhid dan yang mana syirik. Hanya dengan itu sahaja, kamu dikurnia rahsia dan alam ketuhanan, dan perkara yang jarang diketemui orang, dan kamu akan diberi kekuasaan kun fayakun dan keramat.

Kuasa ini adalah jenis kuasa yang diberi kepada insan yang percaya terhadap Allah swt secara tuntas.

Sesuatu itu tidak dapat mendatangkan kemudharatan dan kemusnahan ke atas kamu, melainkan dengan izin Allah swt.