Salam hormat dan rahayu.
Setiap tahun apabila muncul hari perayaan besar seperti Aidil Fitri, Tahun Besar China, dan Deepavali bunyi mercun berkemundang di sana sini tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan orang ramai. Larangan menyeludup dan membakar mercun sudah pun diumumkan oleh pelbagai media namun masih yang berdegil.
Saban tahun ada saja kemalangan berlaku di sana sini akibat bermain dengan mercun, anak-anak kehilangan jari, cedera anggota badan malah ada yang cedera parah sehingga koma dan dimasukkan ke hospital, yang lebih dahsyat lagi ada nyawa terkorban.
Paling sedih anak-anak kecil atau orang dewasa menjadi mangsa letupan bahan mercun yang disimpan sama ada di rumah mahupun digudang. Sebagai contoh, di Terengganu, berlakunya letupan bahan api (mercun) dari sebuah rumah sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak berumur lima tahun yang tercampak dan melambung serta tersangkut ke atas pokok setinggi lima belas meter.
Apakah peristiwa ini tidak membawa sebarang pengajaran kepada umum? malah seolah-olah tidak menjadi masalah besar kepada negara, sehingga kurang pengawalan yang ketat dan tidak begitu serius oleh pihak keselamatan. Penyeludupan bahan tersebut dipercayai daripada negara jiran atau negara luar yang lain sering bolos dan dapat pula diedar ke seluruh negara.
Kebanyakan bahan api (mercun) diseludup bukan saja menggunakan kenderaan kecil malah mereka guna kenderaan besar seperti van, dan lori. Dua minggu lalu, sebuah lori dengan muatan bahan mercun, terbakar dan meletup di lebuh raya. Bahan yang dibawa itu adalah pelbagai jenis mercun dipercayai untuk diedar dan dijual kepada umum menjelang hari raya ini. Mereka ini endah tak endah dengan peraturan dan undang-undang negara. Mereka sanggup buat apa saja asalkan duit dapat dikaut menggunung. Malah ada bangunan atau gudang tempat simpanan bahan letupan itu meletup musnah dan mengorbankan nyawa manusia.
Langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat dan serius perlu diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini, terutama di pintu masuk dan keluar negara ini. Tindakan hukuman yang setimpal perlu dikuatkuasa ke atas mereka yang terlibat, tidak kira pengguna mahupun pembekal, pengedar, dan penyeludup.
No comments:
Post a Comment