Wednesday, June 17, 2009

Keluhuran Budi


Salam hormat dan rahayu,

Apabila seorang hamba Allah itu diuji oleh Allah, maka tindakan awalnya dia akan cuba melepaskan dirinya dari ujian atau cubaan yang menyusahkannya itu. Jika dia tidak berjaya, dia akan meminta pertolongan daripada orang lain seperti raja, orang yang berkuasa, orang keduniaan , hartawan, dan apabila dia sakit dia akan pergi memohon pertolongan doktor atau bomoh, jika ini pun tidak berjaya, maka kembalilah dia menghadapkan wajahnya kepada Allah memohon sambil merayu kepadaNya. Selagi dia boleh menolong dirinya, dia tidak akan meminta pertolongan orang lain. Selagi pertolongan orang lain diperolehnya, selagi itu dia tidak akan berdoa kepada Allah. Sekiranya seseorang itu tidak dapat pertolongan Allah, justeru dia berterusan merayu, solat, berdoa dengan menyerahkan dirinya dengan penuh harapan dan cemas terhadap Allah yang Maha Esa. Allah tidak akan menerima rayuannya sehingga dia memutuskan dirinya dengan keduniaan. Sekiranya hal ini berlaku, maka ketentuan dan kerja Allah akan terzahir melalui individu itu, dan terlepas dia dari hal-hal keduniaan. Tinggallah pada dirinya roh sahaja. Pada peringkat ini, tidaklah nampak olehnya melainkan kerja atau perbuatan Allah dan tertanamlah dalam hatinya kepercayaan yang sebenar-benarnya mengenai tauhid (keesaan Allah).

Pada hakikatnya tidak ada pelaku, penggerak atau mendiamkan kecuali Allah SWT. tidak ada baik dan tidak ada jahat, tidak ada rugi dan tidak ada untung, dan tidak ada faedah dan tidak ada anugerah, dan tidak ada sekatan, tidak ada terbuka dan tidak ada tertutup, mati dan hidup, mulia dan hina, kaya dan papa, bahkan segalanya adalah dalam ketentuan Ilahi.
Dengan ini, hamba Allah itu pun jadilah seperti bayi dipangkuan ibunya atau seperti orang mati yang sedang dimandikan, dan tidak ada upaya dan daya. Jesteru, lenyaplah dia keluar dari dirinya dan masuk ke dalam lakuan Allah secara total. Si hamba Allah yang sebegini tidak nampak yang lain kecuali Allah dan perbuatan atau afaalNya. Tidak ada didengar dan diketahuinya kecuali Allah. Jika dia melihat sesuatu, maka dilihatnya perbuatan atau kerja Allah. Jika dia mendengar atau mengetahui sesuatu, maka didengarnya kalimah Allah dan mengetahui sesuatu melalui pengetahuanNya. Dia dianugerahi dengan anugerah Allah. Beruntunglah dia, kerana hampirnya dengan Allah. Beliau akan diperhias dan dipermuliakan. Redhalah dia dengan Allah, bertambahlah cintanya kepada Allah. Bertambah seronoknya dalam mengenang Allah. Terdirilah dia "di dalam Allah". Allah akan memimpin dan menghiaskannya dengan pakaian cahaya ilmu Allah dan terbukalah kepadanya hijab yang melindunginya dari rahsia Allah yang Maha Agung. Sentiasalah dia bersyukur dan bersolat di hadrat Allah swt.

2 comments:

  1. Salam Silaturahim.
    Gembira saya membaca tulisan tuan. Tinggi dan sukarnya untuk saya hamba yang marhein ini mencapai maksud yang tuan huraikan. Jika tercapai secara total apa yang tuan ceriterakan tidak pada orang tetapi kepada diri saya tentu nikmatnya tak dapat diceritakan dengan kata-kata oleh saya hanya Allah SWT saja yang Maha mengetahui.Salam Hormat, jumpa lagi.

    ReplyDelete
  2. Terdirilah dia "di dalam Allah". Allah akan memimpin dan menghiaskannya dengan pakaian "cahaya Allah" dan terbukalah kepadanya hijab yang melindunginya dari rahsia Allah yang Maha Agung. eg.bicarawahyu.

    ReplyDelete