Monday, September 13, 2010

Berhati Syaitan.






Salam hormat dan rahayu.


Manusia akan buat apa saja untuk capai matlamat, walaupun bertindak kejam seperti menipu, menindas, memukul, dan membunuh. Membunuh demi wang, kuasa, mahupun meningkatkan kekayaan dalam kalangan manusia sudah menjadi lumrah saban tahun. Yang penting wang atau duit diperoleh melalui pelbagai cara termasuk melalui peras ugut, dan pengkhianatan rakan seperniagaan.


Manusia sering saling tidak jujur, hilang pertimbangan akal bila berurusan sesama sendiri terutama urusniaga yang melibatkan wang berjuta ringgit. Ini belum soal menentukan kedudukan atau status seseorang dalam masyarakat mahupun dalam arena politik. Manusia sanggup melakukan apa saja termasuk mengorbankan ramai jiwa yang tidak bersalah untuk kepentingan sendiri.


Baru-baru ini, negara kita dikejutkan dengan paparan berita melalui pelbagai media mengenai kematian seorang jutawan Datuk Sosilawati Lawiya, bersama peguam peribadinya Ahmad Kamil Abdul Karim, pemandu Kamaruddin Shamsudin, dan pegawai bank CIMB Noorhisham Mohamad. Mereka ini dibunuh secara kejam dan tidak berperikemanusiaan malah mayat mereka dibakar. Untuk menghilangkan bukti, abu mayat kesemua mangsa dibuang ke sungai.




Seorang yang bergelar Datuk yang juga merupakan peguam iaitu Datuk K. Patmanaban ditahan polis untuk membantu siasatan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga mangsa yang lain. Turut sama ditahan polis ialah adik kepada Datuk K. Patmanaban bersama beberapa pekerjanya. Kesemua mereka yang ditahan oleh polis itu adalah berketurunan hindu.





mencari bukti pembunuhan di Sungai Kanchong, Banting


Datuk Sosilawati Lawiya, 47, bersama tiga yang lain dipukul, ditikam, dibunuh, malah disembelih dengan kejam. Mayat mereka dibakar lalu abunnya dibuang ke dalam sungai untuk menghilangkan bukti. Kesemua mangsa yang beragama Islam dibunuh dan dibakar secara hindu. Apakah ada isu lain disebalik peristiwa yang sangat tragis ini?


Mangsa dipercayai ada hubungan perniagaan dengan suspek yang melibatkan wang berjuta. Pembunuh mangsa sudah hilang pertimbangan, begitu kejam, hilang keluhuran budinya dan wajib dijatuhkan hukuman yang setimpal dengan perbuatan mereka.

Sunday, September 5, 2010

Prejudis - akibatnya.





Salam hormat dan rahayu.


Apabila manusia saling prejudis, keluhuran budi mulai semakin terhakis, malah seluruh sistem dan kepemimpinan negara turut goyah dan memerlukan perhatian yang serius untuk sesebuah organisasi atau negara itu kembali normal dan kekal stabil.


Kestabilan sesebuah institusi keluarga tidak akan kekal lama sekiranya ahli keluarga saling bertelagah dan akhirnya membawa ke arah keretakan rumah tangga. Begitu juga dengan keadaan sesebuah negara, berlakunya konflik dan saling prejudis dalam kalangan pemimpin akan menghancurkan keutuhan negara.


Negara kita sering mengalami pelbagai isu semasa antaranya, penyelewengan kuasa, masalah kepemimpinan, gejala sosial, ekonomi yang tidak stabil, keselamatan, pendatang warga asing dan iklim politik yang kurang menyenangkan hati rakyat. Kesemuanya ini perlulah pihak kerajaan bersama rakyat membanteras isu yang boleh menyebabkan negara mengalami kehancuran.





Palestine dan Israel saling berkonflik, prejudis, saling berperang untuk menentukan hak dan konfliknya dalam kalangan mereka seolah-olah tiada nokhtah. Hasilnya sehingga hari ini tiada kepastiaan, mereka sering saling berperang dan berbunuhan.

Thursday, September 2, 2010

Endah Tak Endah.







Salam hormat dan rahayu.



Setiap tahun apabila muncul hari perayaan besar seperti Aidil Fitri, Tahun Besar China, dan Deepavali bunyi mercun berkemundang di sana sini tanpa menghiraukan keselamatan diri sendiri dan orang ramai. Larangan menyeludup dan membakar mercun sudah pun diumumkan oleh pelbagai media namun masih yang berdegil.


Saban tahun ada saja kemalangan berlaku di sana sini akibat bermain dengan mercun, anak-anak kehilangan jari, cedera anggota badan malah ada yang cedera parah sehingga koma dan dimasukkan ke hospital, yang lebih dahsyat lagi ada nyawa terkorban.


Paling sedih anak-anak kecil atau orang dewasa menjadi mangsa letupan bahan mercun yang disimpan sama ada di rumah mahupun digudang. Sebagai contoh, di Terengganu, berlakunya letupan bahan api (mercun) dari sebuah rumah sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak berumur lima tahun yang tercampak dan melambung serta tersangkut ke atas pokok setinggi lima belas meter.



Apakah peristiwa ini tidak membawa sebarang pengajaran kepada umum? malah seolah-olah tidak menjadi masalah besar kepada negara, sehingga kurang pengawalan yang ketat dan tidak begitu serius oleh pihak keselamatan. Penyeludupan bahan tersebut dipercayai daripada negara jiran atau negara luar yang lain sering bolos dan dapat pula diedar ke seluruh negara.



Kebanyakan bahan api (mercun) diseludup bukan saja menggunakan kenderaan kecil malah mereka guna kenderaan besar seperti van, dan lori. Dua minggu lalu, sebuah lori dengan muatan bahan mercun, terbakar dan meletup di lebuh raya. Bahan yang dibawa itu adalah pelbagai jenis mercun dipercayai untuk diedar dan dijual kepada umum menjelang hari raya ini. Mereka ini endah tak endah dengan peraturan dan undang-undang negara. Mereka sanggup buat apa saja asalkan duit dapat dikaut menggunung. Malah ada bangunan atau gudang tempat simpanan bahan letupan itu meletup musnah dan mengorbankan nyawa manusia.






Langkah-langkah keselamatan yang lebih ketat dan serius perlu diambil oleh kerajaan untuk mengatasi masalah ini, terutama di pintu masuk dan keluar negara ini. Tindakan hukuman yang setimpal perlu dikuatkuasa ke atas mereka yang terlibat, tidak kira pengguna mahupun pembekal, pengedar, dan penyeludup.

Tuesday, August 31, 2010

Masihkah Aku DiJajah?






Salam hormat dan rahayu.


Lima puluh tiga tahun sudah, negara kita merdeka, tidak lagi dijajah oleh negara lain. Walaupun telah lama sudah negara kita ini merdeka, ini tidak bererti kita bebas sepenuhnya. Kita masih dibelenggu oleh beberapa isu, antaranya rasuah dan masalah kepemimpinan negara, penyelewengan kuasa, ketidakstabilan ekonomi, pendatang asing, dan perpaduan kaum berkonsepkan satu Malaysia.


Anak remaja sekarang perlu diberi wadah kerohanian atau spiritual agar mereka tidak mengalami kedangkalan akidah, kesetiaan, dan semangat patriotik. Anak-anak remaja inilah bakal pemimpin masa depan negara. Jika tidak dipupuk semangat cinta akan negara, sudah pasti gelandangan anak-anak remaja hanyut dengan dunianya sendiri.






Apakah maksud merdeka sebenarnya? ini tergantung pada persepsi masing-masing. Sebagai contoh, Si hamba dibebaskan oleh tuannya, gembiranya si hamba itu bukan main kepalang lagi. Dia bebas dari suruhan dan tekanan, malah boleh membuat keputusan sendiri. Bagaimana pula dengan psikologi dan kesan mindanya? apakah ia bebas dari kesan tekanan mindanya yang sekian lama diperah, dijajah oleh tuan yang bersultan di mata dan beraja dihati?

Begitu juga dengan keadaan negara kita, negara akan bebas sepenuhnya jika tiada gangguan dari negara kuasa besar, minda rakyat tidak dijajah, perpaduan kaum kukuh dan mantap, dan politik, ekonomi, dan keselamatan negara sentiasa stabil.

Monday, August 30, 2010

Tersilapkah Aku?





Salam hormat dan rahayu.



Ibu mana tidak luluh hatinya, dan ayah mana tidak sedih serta marah bila lihat anak kesayangan mereka berusia 15 tahun terlantar di hospital akibat cedera parah di kepala dipercayai dipukul oleh polis. Mangsa itu membonceng motosikal kawannya dalam perjalanan pulang ke rumah sebaik saja makan di sebuah kedai akan di Ketereh di jalan Machang-Kota Bharu, kira-kira jam 2.47 pagi pada 20 Ogos 2010 lalu.



Dipercayai penunggang motosikal bersama pembonceng itu tidak memberhentikan kenderaannya setelah polis yang sedang bertugas mengarahkan mereka berbuat demikian. Polis tersebut terus bertindak terburu-buru mengakibatkan mangsa (pembonceng) terkena pukulan lalu tersembam di muka jalan raya. Anak itu cedera parah dan koma di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.





Peristiwa ini mengingatkan kita kepada peristiwa dimana seorang remaja ditembak mati oleh polis di Shah Alam ketika memandu kereta menuju ke rumahnya. Kes tersebut masih lagi dalam prosiding mahkamah. Pernah kata orang tua, berfikirlah sebaik-baiknya sebelum membuat sesuatu tindakan, kerana impilkasinya amat tinggi risikonya.






Sesuatu tindakan atau apa jua bentuk lakuan jika tidak setimpal dengan perbuatan dan tidak pula letak sesuatu itu pada tempatnya, maka zalim namanya. Zalim itu perbuatan yang tidak diterima oleh manusia atau masyarakat. Justeru, bertindaklah ke atas sesuatu itu dengan penuh bijaksana.

Saturday, August 28, 2010

Sangsikah Kita?





Salam hormat dan rahayu.


Maruah agama, diri, keluarga, bangsa dan negara perlu malah wajib dipelihara. Tidak mungkin negara kita menjadi taruhan dan dipersenda oleh negara asing dengan sewenang-wenangnya. Negara kita negara berdaulat dan berperlembagaan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu. Setiap negara perlu saling menghormati kedaulatan antara satu sama lain dan saling mengekalkan hubungan politik yang baik.


Negara kita sentiasa mengadakan hubungan politik dan sosio-ekonomi dengan negara-negara jiran dan negara kuasa besar, para pemimpin bagi setiap negara sering mengadakan rundingan dan hubungan dua hala untuk kesejahteraan dan kestabilan ekonomi. Pertelingkahan atau konflik dalam kalangan negara yang melampau akan menjejas hubungan baik dan pasti akan menyebabkan gelandangan yang sukar dikawal.



Baru-baru ini melalui beberapa media telah melaporkan ada segelintir rakyat cuba menjejaskan hubungan baik dan menimbulkan konflik antara negara Indonesia dengan negara kita. Situasi ini timbul bermula di kota Jakarta, dan jika tidak dikawal pasti ia merebak dan keadaan menjadi buruk. Ingat, pernah suatu ketika negara kita telah berkonfrantasi dengan Indonesia, Bung Karno ketika itu adalah Presiden Indonesia telah mengisytihar perang dan ganyang ke atas negara ini. Apakah kita mahu peristiwa ini berulang kembali?


Di peringkat pemimpin negara, mereka saling mengekalkan hubungan baik untuk kebaikan dan kesejahteraan rantau di ASEAN ini. Apakah ada orang ketiga yang cuba melaga-lagakan keharmonian kita? jika silap langkah kita membuat keputusan, akibatnya merana.

Tuesday, August 17, 2010

Parahnya Alam.



Salam hormat dan rahayu.


Hadirnya bencana tiada boleh dihalang kerana sudah tentu ada hikmahnya, semuanya itu sudah ada ketetapan daripada Ilahi. Letupan gunung berapi, tsunami, banjir besar, dan gempa bumi adalah antara bencana yang menyebabkan banyak harta benda musnah dan nyawa terkorban.




Sesuatu kemusnahan alam itu sudah pasti ada sebab dan akibat mengapa ianya terjadi. Apakah ianya terjadi disebabkan faktor alam atau kerakusan manusia untuk menguasai alam sejagat ini? Negara-negara berkuasa besar bersaing mencipta tenaga nuklear dengan tujuan tertentu dan membuat ujian berulangkali sehingga alam ini tidak lagi sempurna.




Manusia jika terlalu bersikap angkuh dan terlalu zalim dalam kalangan mereka sehingga saling benci membenci, bermusuhan dan melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya sudah pasti kemanusiaan terabai dan menerima pembalasan Allah tanpa dugaan. Hidup masyarakat pincang sana sini, emosi tidak terkawal, ekonomi negara semakin merosot, berlakunya rasuah dan penindasan, kesopanan dan kesusilaan sudah tidak ada lagi.


Hancurnya dunia ini disebabkan oleh perbuatan dan minda manusia yang sering mencipta sesuatu yang baru sehingga lupakan akan keselamatan makhluk yang ada di bumi ini. Apatah lagi ciptaan itu bertujuan untuk menguasai dunia dan menghapuskan etnik sesuka hati.