Tuesday, August 31, 2010

Masihkah Aku DiJajah?






Salam hormat dan rahayu.


Lima puluh tiga tahun sudah, negara kita merdeka, tidak lagi dijajah oleh negara lain. Walaupun telah lama sudah negara kita ini merdeka, ini tidak bererti kita bebas sepenuhnya. Kita masih dibelenggu oleh beberapa isu, antaranya rasuah dan masalah kepemimpinan negara, penyelewengan kuasa, ketidakstabilan ekonomi, pendatang asing, dan perpaduan kaum berkonsepkan satu Malaysia.


Anak remaja sekarang perlu diberi wadah kerohanian atau spiritual agar mereka tidak mengalami kedangkalan akidah, kesetiaan, dan semangat patriotik. Anak-anak remaja inilah bakal pemimpin masa depan negara. Jika tidak dipupuk semangat cinta akan negara, sudah pasti gelandangan anak-anak remaja hanyut dengan dunianya sendiri.






Apakah maksud merdeka sebenarnya? ini tergantung pada persepsi masing-masing. Sebagai contoh, Si hamba dibebaskan oleh tuannya, gembiranya si hamba itu bukan main kepalang lagi. Dia bebas dari suruhan dan tekanan, malah boleh membuat keputusan sendiri. Bagaimana pula dengan psikologi dan kesan mindanya? apakah ia bebas dari kesan tekanan mindanya yang sekian lama diperah, dijajah oleh tuan yang bersultan di mata dan beraja dihati?

Begitu juga dengan keadaan negara kita, negara akan bebas sepenuhnya jika tiada gangguan dari negara kuasa besar, minda rakyat tidak dijajah, perpaduan kaum kukuh dan mantap, dan politik, ekonomi, dan keselamatan negara sentiasa stabil.

Monday, August 30, 2010

Tersilapkah Aku?





Salam hormat dan rahayu.



Ibu mana tidak luluh hatinya, dan ayah mana tidak sedih serta marah bila lihat anak kesayangan mereka berusia 15 tahun terlantar di hospital akibat cedera parah di kepala dipercayai dipukul oleh polis. Mangsa itu membonceng motosikal kawannya dalam perjalanan pulang ke rumah sebaik saja makan di sebuah kedai akan di Ketereh di jalan Machang-Kota Bharu, kira-kira jam 2.47 pagi pada 20 Ogos 2010 lalu.



Dipercayai penunggang motosikal bersama pembonceng itu tidak memberhentikan kenderaannya setelah polis yang sedang bertugas mengarahkan mereka berbuat demikian. Polis tersebut terus bertindak terburu-buru mengakibatkan mangsa (pembonceng) terkena pukulan lalu tersembam di muka jalan raya. Anak itu cedera parah dan koma di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.





Peristiwa ini mengingatkan kita kepada peristiwa dimana seorang remaja ditembak mati oleh polis di Shah Alam ketika memandu kereta menuju ke rumahnya. Kes tersebut masih lagi dalam prosiding mahkamah. Pernah kata orang tua, berfikirlah sebaik-baiknya sebelum membuat sesuatu tindakan, kerana impilkasinya amat tinggi risikonya.






Sesuatu tindakan atau apa jua bentuk lakuan jika tidak setimpal dengan perbuatan dan tidak pula letak sesuatu itu pada tempatnya, maka zalim namanya. Zalim itu perbuatan yang tidak diterima oleh manusia atau masyarakat. Justeru, bertindaklah ke atas sesuatu itu dengan penuh bijaksana.

Saturday, August 28, 2010

Sangsikah Kita?





Salam hormat dan rahayu.


Maruah agama, diri, keluarga, bangsa dan negara perlu malah wajib dipelihara. Tidak mungkin negara kita menjadi taruhan dan dipersenda oleh negara asing dengan sewenang-wenangnya. Negara kita negara berdaulat dan berperlembagaan yang diiktiraf oleh Pertubuhan Negara Bangsa-Bangsa Bersatu. Setiap negara perlu saling menghormati kedaulatan antara satu sama lain dan saling mengekalkan hubungan politik yang baik.


Negara kita sentiasa mengadakan hubungan politik dan sosio-ekonomi dengan negara-negara jiran dan negara kuasa besar, para pemimpin bagi setiap negara sering mengadakan rundingan dan hubungan dua hala untuk kesejahteraan dan kestabilan ekonomi. Pertelingkahan atau konflik dalam kalangan negara yang melampau akan menjejas hubungan baik dan pasti akan menyebabkan gelandangan yang sukar dikawal.



Baru-baru ini melalui beberapa media telah melaporkan ada segelintir rakyat cuba menjejaskan hubungan baik dan menimbulkan konflik antara negara Indonesia dengan negara kita. Situasi ini timbul bermula di kota Jakarta, dan jika tidak dikawal pasti ia merebak dan keadaan menjadi buruk. Ingat, pernah suatu ketika negara kita telah berkonfrantasi dengan Indonesia, Bung Karno ketika itu adalah Presiden Indonesia telah mengisytihar perang dan ganyang ke atas negara ini. Apakah kita mahu peristiwa ini berulang kembali?


Di peringkat pemimpin negara, mereka saling mengekalkan hubungan baik untuk kebaikan dan kesejahteraan rantau di ASEAN ini. Apakah ada orang ketiga yang cuba melaga-lagakan keharmonian kita? jika silap langkah kita membuat keputusan, akibatnya merana.

Tuesday, August 17, 2010

Parahnya Alam.



Salam hormat dan rahayu.


Hadirnya bencana tiada boleh dihalang kerana sudah tentu ada hikmahnya, semuanya itu sudah ada ketetapan daripada Ilahi. Letupan gunung berapi, tsunami, banjir besar, dan gempa bumi adalah antara bencana yang menyebabkan banyak harta benda musnah dan nyawa terkorban.




Sesuatu kemusnahan alam itu sudah pasti ada sebab dan akibat mengapa ianya terjadi. Apakah ianya terjadi disebabkan faktor alam atau kerakusan manusia untuk menguasai alam sejagat ini? Negara-negara berkuasa besar bersaing mencipta tenaga nuklear dengan tujuan tertentu dan membuat ujian berulangkali sehingga alam ini tidak lagi sempurna.




Manusia jika terlalu bersikap angkuh dan terlalu zalim dalam kalangan mereka sehingga saling benci membenci, bermusuhan dan melakukan pembunuhan sewenang-wenangnya sudah pasti kemanusiaan terabai dan menerima pembalasan Allah tanpa dugaan. Hidup masyarakat pincang sana sini, emosi tidak terkawal, ekonomi negara semakin merosot, berlakunya rasuah dan penindasan, kesopanan dan kesusilaan sudah tidak ada lagi.


Hancurnya dunia ini disebabkan oleh perbuatan dan minda manusia yang sering mencipta sesuatu yang baru sehingga lupakan akan keselamatan makhluk yang ada di bumi ini. Apatah lagi ciptaan itu bertujuan untuk menguasai dunia dan menghapuskan etnik sesuka hati.