Friday, February 26, 2010

Aku Tidak Berdosa.



Salam hormat dan rahayu,


Masih terdapat anak-anak terbiar tiada penjagaan yang rapi, anak tidak diberi hak layanan yang baik, pendidikan mereka diabai, malah ada sesetengahnya didera hingga membawa maut. Jika keadaan ini berterusan, pasti kita mengalami kepincangan sosial, krisis moral dan akhlak.




Sering terdapat akhbar-akhbar tempatan telah memaparkan cerita betapa kejamnya ibu kandung, atau ibu tiri, atau bapa tiri, ataupun penjaga telah mendera anaknya sendiri hingga membawa kematian, apakah ibu atau mereka ini tidak ada langsung peri kemanusiaan, mana sifat keibuannya, mana sifat kasih sayangnya, apakah keadaan persekitaran menyebabkan ibu tersebut mengalami tekanan yang amat berat sekali sehingga menghadapi konflik jiwa yang amat tenat. Haiwan pun sayang akan anaknya, apatah lagi manusia.



Wahai insan yang bergelar ibu, mahu pun bapa atau penjaga anak-anak, setankah kamu, ibliskah kamu, haiwankah kamu, sehingga tidak dapat membezakan baik buruknya sebelum membuat sesuatu tindakan. Anak itu suci, tidak berdosa, ia dahagakan kasih sayang, memerlukan perlindungan dan pendidikan yang sempurna. Kamu telah mempersia-siakan anugerah Allah.

"Pada hal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi pekerjaanmu. Yang Mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat tindakan-tindakanmu itu, mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan". (Al Infitar : ayat 10 - 12).

Friday, February 5, 2010

Jangan abaikan aku.



Salam Hormat dan rahayu.


Setiap insan mahukan pendidikan yang sempurna. Begitu juga dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman terutama di kawasan atau petempatan orang asli dalam negara mahupun di luar negara. Golongan mereka merupakan penduduk asal dan peribumi yang ketinggalan serba serbi berbanding dengan kaum lain terutama dalam bidang pendidikan, sosio-ekonomi, kemudahan infrastruktur, komunikasi teknologi maklumat, dan pembangunan luar bandar.


Namun begitu, kerajaan telah banyak berusaha ke arah memberi seberapa banyak bantuan untuk membangunkan kemajuan masyarakat orang asli. Mereka tidak lagi dipinggirkan dan beberapa badan bukan kerajaan serta kerajaan sendiri banyak menjalankan program dan cuba menaik taraf serta memperbaiki kehidupan orang asli.




Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Jabatan Pendaftaran Negara, Kementerian Pelajaran Malaysia, dan Suruhanjaya Hak Asasi Kemanusiaan adalah antara organisasi yang bertindak memajukan kehidupan dan pendidikan masyarakat orang asli. Terdapat ramai masyarakat orang asli yang tidak boleh membaca, menggira dan menulis, malah ada dalam kalangan mereka tidak mempunyai Sijil Kelahiran apatah lagi mempunyai kad pengenalan diri.



Justeru beberapa langkah kerajaan yang antaranya adakan program turun padang untuk melihat sendiri dan kenal pasti masalah masyarakat di kawasan pedalaman bagi memperbaiki kehidupan mereka. Bangunan sekolah perlu dibina walaupun tidak semua tempat, kemudahan asas seperti petempatan baru, jalan perhubungan darat, bantuan pertanian perlu diberi yang kesemuanya ini dapat memaju dan meningkatkan kehidupan masyarakat orang asli.

Wednesday, February 3, 2010

Aku tak mahu ketinggalan.



Salam hormat dan rahayu,


Jika kita mahu ke kawasan pedalaman, beberapa perkara perlu diambilkira untuk memudahkan kita ke sana, antaranya menggunakan khidmat petunjuk jalan, mengenali serba sedikit keadaan topografi tempat tersebut, ada bekalan makanan, pakaian, dan ubatan yang secukupnya. Kesemuanya ini perlu ada sebagai satu persediaan yang lengkap.

rumah panjang di pedalaman


Di samping itu, kita memerlukan kemudahan pengangkutan, dan peralatan keselamatan serta diiringi oleh penguasa tempatan dan pergerakan ekspedisi ini perlulah dimaklumkan kepada pihak berkuasa. Apa yang ada di kawasan pedalaman? sudah tentu ada komuniti kecil yang hidup berkeluarga dan saling bertaut antara satu sama lain.




Kita juga dapat melihat keajaiban tuhan dimana terdapat pemandangan kawasan semulajadi yang indah, dan boleh melihat sendiri kehidupan masyarakat dan budaya orang pedalaman. Antaranya, kawasan pedalaman di Sabah, dan di kawasan rumah panjang Sarawak. Tidak ketinggalan pula kawasan pedalaman di Tanah Semenanjung seperti di Pahang. Budaya dan corak kehidupan mereka adalah unik, namun begitu kemudahan asas dan komunikasi diberi perhatian oleh kerajaan.

Tuesday, February 2, 2010

Loh, sesat begini.




Salam hormat dan rahayu,


Aku mahu jalan yang lurus, aku mahu jalan yang benar, aku tidak mahu jalan yang membawa kesesatan. Begitulah hati setiap insan berkata pada dirinya yang mahukan kebenaran, mahukan keadilan, tidak mahu terjerumus dilembah yang gelap dan berharap memperoleh cahaya kebenaran. Apakah semuanya ini dapat diperolehnya?


Mana mungkin anak kecil sukakan kegelapan, mana mungkin pelajar sukakan ajaran songsang yang boleh merosakkan akidah mereka, mana mungkin rakyat berdiam diri seribu bahasa bila mereka ditindas dan dizalimi oleh pemerintah, hanya pemimpin yang berjiwa rakyat dan bersifat Rasulullah saja yang dapat membimbing rakyatnya ke jalan yang lurus dan dapat hidup saling membantu serta bersatu padu.



Kalau ada yang sukakan hidup huru-hara, penuh dengan kesesatan minda, angkuh dengan dunianya tersendiri, sudah tentu keadaan mereka bercelaru, dan keselamatan negara menjadi tidak stabil. Hati kecil kita ini, sememangnya mahukan keharmonian dan kesejahteraan hidup buat selama-lamanya. Justeru hindarkan rasa benci yang membawa konflik sesama sendiri.