Wednesday, November 18, 2009

Jalan Berhantu


Salam hormat dan rahayu.

Hari perayaan besar seperti Hari Kemerdekaan, Hari Raya Korban, Hari Natal, Hari Tahun Baru Cina, dan Deepavali, adalah hari yang diwartakan sebagai hari cuti umum. Rakyat akan bercuti di kampung masing-masing, untuk meraikan hari perayaan tersebut bersama keluarga dan sanak saudara.

Apa yang sering menjadi kekecohan ketika itu adalah berlakunya kesesakan lalulintas. Banyak kenderaan bergerak di jalan raya atau di lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing. Para pemandu yang tidak berhemah dan berhati-hati di jalan raya, pasti akan mengalami perkara yang tidak diingini berlaku.




Di negara kita, saban tahun peratus kemalangan jalan raya semakin meningkat. Usaha-usaha telah pun dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Realitinya, angka kematian semakin bertambah.

Apakah faktor utama yang menyebabkan kadar kematian semakin meningkat di jalan raya? mungkin lalai, atau keadaan jalan raya itu sendiri, pemandu mengantuk atau mabuk, atau keadaan kenderaan yang dipandu, ataupun sikap pengguna jalan raya yang tidak mengikut peraturan. Justeru hendaklah kita pasrah dan bertaqwa kepada Allah swt.

"Dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimah taqwa." (Al-Fath : 26)

Monday, November 16, 2009

Kasih Ibu Sepanjang Hayat.



Salam hormat dan rahayu.


Mana ibu tidak kasihkan anak. Kasih ibu terhadap anak adalah kasih sepanjang hayat. Anak adalah pewaris dan zuriat kepada keturunan keluarga. Anak adalah permata hati dikasih, dibesar dan diberi pendidikan oleh ibu bapa supaya menjadi orang yang berguna, dan dapat berbakti kepada keluarga dan negara.


anak perlukan penjagaan yang rapi


Tidak mungkin anak diabaikan oleh ibu bapa, jika keadaan ini berlaku, zalim namannya. Zalim itu bermaksud meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Ada ibu yang tidak ada peri kemanusiaan, anaknya dibuang begitu saja tanpa belas kasihan, sedangkan haiwan pun kasih dan memelihara anaknya. Anak memerlukan kasih sayang dan hak penjagaan ibu bapa.




Keselamatan anak-anak perlu diutamakan dalam apa jua keadaan. Ibu bapa atau penjaganya yang akan menanggung risiko. Peliharalah anak-anak dengan baik dan penuh kasih sayang.

"Orang yang tidak mempunyai rasa kasih sayang bererti hatinya tidak hidup". (sabda nabi).

Sunday, November 15, 2009

Hidup Melarat




Salam hormat dan rahayu.

Masih adakah manusia hidup melarat tanpa tempat perlindungan di dunia ini? pasti ada, cuma perkadaran penduduk adalah berbeda bagi sesetengah tempat. Di negara yang sering dilanda bencana alam seperti banjir, gempa bumi, kebuluran, dan tsunami masih terdapat ramai rakyat yang hidup melarat, dan memerlukan bantuan dari semua pihak termasuk kerajaan tempatan.




tiada tempat tinggal

Dunia kini mengalami konflik ekonomi, dan negara kita terasa bahananya. Justeru rakyat disarankan berbelanja secara berhemah. Sumbangan semua pihak sama ada buah fikiran, dan penglibatan secara langsung dalam pembangunan ekonomi amatlah perlu untuk mengekalkan keseimbangan kesejahteraan negara.


Tidak dapat dinafikan memang ada rakyat yang hidup miskin dan melarat. Apakah kita perlu mendiamkan diri seribu bahasa, sedangkan negara kita sudah bebas dan merdeka sekian lamanya. Kerajaan tidak akan berdiam diri, kerana ini tanggungjawab bersama terutama dalam kalangan pemimpin rakyat. Masing-masing menjalankan tugas dan jika ada konflik peranan dan kesamaran tugas dalam mana-mana pemimpin dan organisasi, pasti rakyat akan menderita.

"Sesungguhnya Allah tidak berbuat zalim kepada manusia sedikit pun, akan tetapi manusia itulah yang berbuat zalim kepada diri mereka sendiri." ( Yunus : 44).

Saturday, November 14, 2009

Aku Mahu Kebebasan.



Salam hormat dan rahayu.

Anak remaja mahu bebas dari cengkaman ibu bapa. Mereka mahu berdikari. Jika anak remaja diberi kebebasan tanpa kawalan, ini akan mengundang masalah kepada keluarga. Begitu juga rakyat, mereka tidak mahu minda mereka dijajah setelah negara sudah bebas dan merdeka sekian lamanya. Apakah kebebasan boleh diperoleh dengan sewenang-wenangnya tanpa perjuangan.


Walaupun negara bebas sepenuhnya, jika minda rakyat masih dibelenggu, tidak bebas bersuara dan mengeluarkan pendapat untuk kebaikan negara, sudah tentu negara akan kucar kacir dan tunggang langgang. Sejarah Indonesia, jelas menunjukan bahawa rakyatnya berjuang menentang Belanda hingga ke titisan darah yang terakhir hanya menggunakan buluh bambu runcing, manakala India bertungkus lumus membebaskan diri dari cengkaman British.


Negara kita pernah mengalami situasi pelbagai bentuk yang tidak menyenangkan rakyat antaranya, konflik dalam kalangan pemimpin sehingga menimbulkan rusuhan dan demonstrasi dijalanan.




Kini Thailand, situasi politik di negara itu masih kucar kacir akibat pemberontakan rakyat yang telah celik akal untuk menyingkirkan pemimpin yang korupsi. Harus ingat, rakyat mahukan keadilan dan kebenaran, anak-anak pula mahukan hak kebebasan dan hak pendidikan. Adakah kebebasan mutlak terbentuk dalam hidup ini?





Sebenarnya tidak ada kebebasan mutlak, selagi kita terikat dengan ruang dan waktu selagi itu kita tidak bebas mutlak. Kita masih tertakluk dengan peraturan dan undang-undang. Justeru kita hendaklah bijaksana mengatur hidup ini.

Thursday, November 12, 2009

Hempedu Ular.


Salam hormat dan rahayu.

Rezeki boleh dicari dan diperoleh dimana-mana saja. Ini tergantung kepada kebijaksanaan individu. Jika kita berusaha dan dapat restu Tuhan pasti kita peroleh kejayaan. Apa jua bentuk pekerjaan, sama ada sebagai peniaga, petani, peladang, penjual secara kecil-kecilan, mahupun pentadbir, hendaklah bersikap ikhlas dan jujur.




Ada juga terdapat peniaga-peniaga kecil mencari rezeki dijalanan untuk menyara hidup keluarga mereka. Mereka sanggup menjual apa saja untuk terus hidup asalkan ianya dilakukan secara halal. Di Kota Jakarta Pusat, sering kelihatan anak muda berniaga obat tradisional di jalanan. Mereka menjual sekelompok ular senduk (cobra) untuk dijadikan obat dan penawar segala penyakit.

Ular itu dibunuh, hempedunya ditelan mentah, manakala dagingnya dipotong dibakar dijadikan sate. Harga bagi seekor ular senduk ialah 50,000 hingga 100,000 rupiah. Mereka mempunyai pelanggan tetap dan pendapatannya agak lumayan. Di negara Hong kong, Jepun, dan Thailand juga terdapat gerai-gerai yang menjual ular untuk tujuan perubatan. Setiap penyakit ada penawarnya. Justeru carilah penawar yang bersesuaian dengan penyakit anda. Yang pasti jumpa doktor pakar untuk dapatkan rawatan bagi sebarang penyakit.

Wednesday, November 11, 2009

Berkomunikasi Dengan Si Mati


Salam hormat dan rahayu.

Apakah kita boleh berkomunikasi dengan benda yang ghaib? contohnya berbicara dengan si roh mati, memasuki alam jin, dan sesuatu yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar. Lain bangsa , lain pula kepercayaan dan pegangan mereka.

Ada dalam kalangan manusia yang mengaku boleh berhubung dengan roh simati, dan ada juga dalam kalangan mereka boleh berkomunikasi dengan jin atau makhluk halus. Apakah semuanya ini boleh berlaku? perkara begini amatlah subjektif, abstrak, paranormal, dan berbentuk metafizik.

Anak -anak kecil termasuk remaja perlu diberi penjelasan yang betul dan tepat mengenai akidah, kepercayaan, dan tahayul. Mereka mesti dapat membezakan perkara yang haq dan yang batil. Sebut pasal roh, ia adalah perkara yang ghaib. Sukar dibuktikan dengan ilmu kalam biasa.

Tuesday, November 10, 2009

Waktu Ajal Telah Tiba ( 2 )



Salam hormat dan rahayu.

Ingatlah bahawa setiap yang hidup dan bernafas akan menghadapi mati dan ianya tetap hadir apabila sampai masa yang telah dijanjikan dan ia tidak boleh ditangguh-tangguh walaupun sesaat jua.


"Setiap yang berjiwa (nyawa) itu akan merasa kematian. Kemudian hanyalah kepada Kami kamu dikembali." Al Ankabut : 57.

Maksud mati di sini adalah kembalinya diri rahasia kita kepada Allah swt. Kematian tidak pernah mengenal usia, miskin atau kaya, alim atau jahil, bodoh atau cerdik, raja atau rakyat bila sampai tempohnya maka manusia itu akan menghadapi maut.

Maut kerana sakit, kemalangan, mangsa pembunuhan dan peperangan, mahupun ditimpa apa saja seperti bencana alam, bagi mereka yang ada kepercayaan dan pegangan agama pasti kesemuanya itu adalah ketentuan dan ketetapan Tuhan Pencipta Alam Semesta.

Bagi insan hakiki dan mencapai makrifat dengan Tuhan, seperti insan arifinbillah dan para wali Allah, mereka diberitahu di alam ilmu ghaib melalui laduni, mengenai berita kematian mereka atau dikenali oleh para-para Tasauf sebagai perintah kembali.

Biasanya perintah kembali kepadaNya ini akan diperoleh oleh mereka setahun sebelum saat kematiannya. Pada kelazimannya mereka menerima notis kematian itu melalui laduni sebanyak lima kali di dalam masa hidupnya iaitu:

  • Setahun sebelum mati
  • 6 bulan sebelum mati
  • 100 hari sebelum mati
  • 40 hari sebelum mati
  • 7 hari sebelum mati dan seterusnya bergantung kepada martabat seseorang.

Bagi diri sendiri, apakah kita mempunyai indikator saat sampainya kematian? Kita perlu membuat persediaan untuk kembali kepadaNya. Sekiranya ada laporan rawatan doktor bagi mereka yang sakit, sudah pasti itu sebagai panduan awal untuk mereka memahaminya.


"Apabila telah datang ajal, maka mereka tidak dapat ditangguh walaupun sesaat dan tidak pula mendahuluikannya." Surah Yunus : 49.