Saturday, October 30, 2010

Usah Bertindak Rakus.




Salam hormat dan rahayu.

Musnahnya alam ini kerana banyak faktor, antaranya aktiviti manusia yang kurang arif atau sengaja buat tak tahu tentang perlunya pulihara dan pelihara alam sejagat ini. Pencemaran alam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab turut sama memberi kesan yang amat sangat terhadap keindahan dan kesemulajadian alam yang indah ini.



Negara kita ini penuh dengan keindahan semulajadi dan mejadi kebanggaan rakyat, tetapi kini keindahan itu telah ternoda. Kebanyakan tempat atau lokasi hutan semulajadi telah diteroka atas sebab-sebab tertentu ATAU diteroka secara haram untuk mengaut keuntungan peribadi. Kawasan hutan pedalaman diteroka tanpa sempadan, akibatnya gersang sana sini, hidupan haiwan tidak ada lagi tempat berlindung, hutan habis ditebang, hakisan berlaku tanpa kawalan.




Apakah pihak berkuasa akan membiar ianya berlaku secara berterusan begitu saja? Yang pasti ekosistem alam akan terjejas. Justeru akan menjejas kehidupan seluruh penghuni alam ini. Kawasan pedalaman terutama penduduk orang penan, orang asli sudah tentu akan kehilangan banyak sumber makanan dan mata pencarian ekoran kawasan mereka telah diteroka secara haram.

Punahnya alam ini kerana perbuatan manusia itu sendiri, bersikap rakus dan semberono tanpa memikirkan impak atas perbuatan mereka. Usah terlalu gelojoh, tamak dan tidak waras dalam menjalankan aktiviti penerokaan hutan semulajadi. Yang hancur, tak akan retak, dan yang retak akan kembali pada bentuk asalnya.

Thursday, October 7, 2010

Jasa mereka - ingatkah aku?



Salam hormat dan rahayu.


Ketika ini hujan turun lebat, petir bertalu-talu berdentam, ini mengingatkan aku kisah silam. Kisah orang lama, yang perlu dijadikan sempadan dan teladan. Orang tua-tua dulu, mendidik anak hingga anaknya menjadi orang yang berguna dan berkhidmat bukan saja pada ibubapanya malah untuk masyarakat. Anak-anak bukan saja diajar berakhlak, malah jiwa mereka dipupuk dengan keruhanian. Aku masih ingat sebuah keluarga yang sangat miskin berjaya mendidik anak-anaknya dan memberi pelajaran sehingga ke menara gading.




Keluarga tersebut memberi anak-anak mereka pelajaran dan kasih sayang, walaupun hidup melarat dan penuh kemiskinan. Mereka sanggup bekerja mencari rezeki yang halal untuk pelajaran anak-anak, dan tidak mahu anak-anak mereka hidup susah masa mendatang. Keluarga itu sanggup mengikat perut kelaparan kerana kekurangan wang, asalkan anak mereka dapat meneruskan pelajaran sehingga peringkat universiti. KINI, anak keluarga tersebut kesemuanya berjaya ke peringkat menara gading dan masing-masing telah bekeluarga dan hidup bahagia, namun begitu anak-anak mereka masih saling berkhidmat dan menjaga kebajikan ibu bapa mereka.


Kebanyakan anak-anak remaja sekarang ada yang asyik dan leka dengan material, hiburan dan jiwanya pula kosong, sehingga tidak lagi kasih dan menghormati ibu bapa mereka. Walhal sekiranya kita renung hati ibu bapa secara semulajadi, mana ibu tidak mahu anaknya berjaya, mana bapa tidak mahu lihat anaknya cemerlang, sudah pasti mereka mahukan yang terbaik untuk anaknya. Ibu dan bapa yang mahukan anaknya berjaya dalam hidup sudah tentu tidak akan jemu dan serik mendidik anak mereka walaupun nyawa taruhannya.


Wahai anak-anak, hargailah pengorbanan ibu bapa kamu. Usah pula kamu digelar anak derhaka, anak yang tidak mengenang budi, INGAT, ibu bapa kamulah yang membesar dan mendidik kamu dengan penuh kasih sayang. Jangan pula kamu jadi Si Tanggang yang malu mengaku ibunya yang miskin dan tidak berpelajaran, ibulah yang melahir dan membesarkan kamu.


Lihat, dewasa ini ramai kalangan anak remaja hilang pegangan hidup, berpeleseran tanpa hala tuju, terjebak dengan kancah penyalah gunaan dadah, menjadi samseng jalanan, dan ingin hidup bebas sehingga menimbulkan masalah gejala sosial yang amat serius. Salah siapakah ini? ini yang menjadi tanya, ada anak remaja yang kurang didikan agama dan kurang pemantauan ibu bapa telah menjadi liar terjebak dengan kumpulan samseng yang menjejaskan keharmonian masyarakat.