
Salam hormat dan rahayu,
Apabila ilmu dan kepercayaan kamu telah bertambah kuat dan kukuh, maka hati kamu telah lapang dan bercahaya. Justeru kamu bertambah hampir dengan Allah dan layak menjaga rahasiaNya. Yang dimaksudkan dengan hampir malah bersatu dengan Allah ialah kamu mengosongkan hati kamu dari makhluk, hawa nafsu dan segala apa jua yang selain daripada Allah, sehingga hati kamu dipenuhi oleh Allah dan lakuanNya sahaja.

Kamu tidak bergerak selain dengan kehendak Allah. Setiap sesuatu itu dalam pengetahuan dan ketentuan Allah. Kamu akan lihat bahawa tidak ada yang wujud selain Dia sahaja. Kamu akan lihat bahawa untung, rugi, harapan dan ketakutan bahkan semuanya adalah dari dan kerana Dia jua. Dialah yang patut ditakuti dan kepada Dia meminta perlindungan dan pertolongan. Tidak ada suatu pun yang seumpama denganNya, sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat.
"Dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadat kepada TuhanNya". (Al Kahfi : ayat 110).

























