Salam hormat dan rahayu.
Waktu usia masih mentah, masih anak-anak, sesiapa saja boleh menjadi rakan, tanpa prejudis, tanpa buruk sangka yang boleh menimbulkan konflik dalam kalangan mereka. Pada kalangan mereka apa saja risiko, ianya dipertanggungjawab kepada keluarganya.
Anak-anak hanya tahu bermain, mudah berkenalan dan berkomunikasi dalam kalangan mereka. Mereka hanya tahu berkongsi keseronokan berkawan, hidup harmoni, dan tidak mengerti ancaman dipersekitarannya.
Apabila anak-anak membesar dan fikiran mulai matang, banyak unsur atau elemen pendidikan, sosio-budaya, persekitaran, dan rakan sebaya mempengaruhi mereka. Justeru, bak kata orang tua, buluh kalau nak dilentur, biarlah dari rebungnya, dan anak dicorak warna bermula daripada kedua ibubapanya.
Anak perlu dibentuk dan perkembangan pemikirannya perlu dipantau. Sekiranya setiap konsep tidak dapat memberi gambaran yang jelas dan tepat sudah pasti anak-anak itu akan mengalami konflik pembelajaran. Anak-anak semasa kecil sifat semulajadinya suka mencari rakan dan sentiasa berbaik sangka.