Tuesday, May 25, 2010

Akukah Ratu Muzik?




Salam hormat dan rahayu.


Bila mendengar saja degung gong dan pukulan gendang serta tepukan rebana, ramai orang terpegun dan begitu asyik dengan alunannya sehingga dapat mempengaruhi emosi seseorang. Bunyi alatan muzik jika diatur, disusun, diolah, dan digubah sangat menarik dan dapat bersatu dengan alam.




Hakikatnya, muzik itu adalah bunyi yang mempunyai nada tinggi atau rendah, pendek atau panjang, tersusun indah, dan mempunyai nilai estetik serta ada rahasia ketuhanan disitu. Muzik boleh menyebabkan manusia menangis, nada muzik juga boleh membuat orang ketawa, sedih, berani, bersemangat dan boleh mengubat jiwa.




Bunyi terhasil akibat getaran. Gesekan biola amat nyaring dan lunak, ia adalah Ratu Muzik yang unik dan tersendiri. Sering kali persembahannya dapat dilihat dan didengar berkumandang di udara, dalam persembahan mana-mana konsert. Bagaimana pula dengan alunan muzik mistik. Apakah semua bunyi alatan muzik boleh mempengaruhi jiwa manusia?

Friday, May 21, 2010

Adakah Berbaloi!





Salam hormat dan rahayu


Aku cuma beri pandangan mengikut persepsiku yang kosong ini berkaitan peristiwa berdarah di Bangkok, Thailand. Apakah sebarang keadilan dapat diperoleh melalui rundingan atau melalui demonstrasi jalanan? ini tergantung kepada sejauh mana desakan keperluan rakyat atau untuk memenuhi kepentingan sesuatu institusi.




Pernah aku mendengar cerita orang lama bahawa seseorang atau sebarang organisasi akan buat apa saja untuk mencapai matlamatnya, walaupun mengorbankan ramai jiwa yang tidak berdosa. Adakah ini berbaloi sehinggakan manusia sanggup melanggar peraturan atau undang-undang dan berani pula mengorbankan diri untuk mencapai matlamatnya.




Peristiwa berdarah di kota Bangkok, dimana kumpulan baju merah sanggup berkorban apa saja dan berhati kering untuk menumbangkan kerajaan, mereka yang terdiri daripada rakyat berpendapatan rendah dan miskin berjuang habis-habisan walaupun ramai rakan, sanak keluarga mati ditembak oleh tentera.





Pergolakan berlaku sekian lama, sehinggakan diadakan meja rundingan bagi kedua pihak untuk berdamai, namun mereka dari golongan baju merah terus merusuh tanpa memikirkan keselamatan orang lain. Dianggarkan kerajaan Thai mengalami kerugian hampir 1.5 bilion dolar Amerika. Kemusnahan harta benda, bangunan-bangunan kerajaan, pusat membelibelah dibakar sewenang-wenangnya dan seluruh infrastrukur di kota Bangkok hampir lumpuh.




Apakah rusuhan begini akan menular dinegara jiran yang lain? berkemungkinankah bahang peristiwa tersebut boleh mempengaruhi rakyat dinegara ini? Jawapannya ada pada diri anda sendiri.

Thursday, May 20, 2010

Siapa Yang Benar?





Salam hormat dan rahayu


Bila berjuang terus berjuang, tidak kenal api, tidak kenal jemu, tidak kenal tekanan, tidak lagi patah hati, membujur lalu melintang patah, apatah lagi jika apa yang diperjuangkan itu adalah perjuangan yang suci, ada keikhlasan, dalam menegak keadilan dan kebenaran.







Hati akan goyah, gementar, memberontak lalu lebur dalam keghairahan meniup semangat perjuangan dalam menghapus kebatilan dan membanteras kejahilan. Api perasaan anak muda memuncak mahukan perubahan, jiwa rakyat pula bergolak mahukan pembelaan, sanggup bermandikan darah supaya hasrat tercapai, apakah kemungkinan teori domino akan berlaku berdasarkan peristiwa berdarah yang berlaku di Thailand




Apakah perjuangan mereka ada kesamaan atau mirip buat negara kita? tepuk dada tanya fikiran masing-masing. Yang penting disini ialah mengekalkan keamanan, hidup berharmoni dan mantapkan perpaduan, usah timbul isu yang membolehkan konflik dalam kalangan rakyat, usah pula usik mengusik sehingga rakyat saling prejudis atau prasangka yang tidak baik.

Monday, May 17, 2010

Silap Langkah atau Langkah Silap



Salam hormat dan rahayu.

Ada orang mahu kaya, ada yang mahu kuasa, ada juga yang mahu duit, walau dengan apa carapun. Yang penting disini, apa jua hajat pasti diperoleh untuk kepentingan diri atau untuk orang lain. Semuanya ini, tergantung pada niat masing-masing.


Lihat saja, setiap kali pilihanraya kecil diadakan pelbagai kerenah pengundi dapat kita lihat sama ada dipihak lawan mahupun pihak kerajaan. Taburan janji dan habuan daripada kedua belah pihak pemimpin sudah menjadi perkara biasa untuk memancing undi. Untung sabut tenggelam, untung batu timbul... pilihlah yang mana satu menjadi idaman kalbu.


Rakyat sudah cerdik, rakyat sudah dapat membeda yang mana baik dan yang mana tidak jujur. Lambat laun, jika pemimpin tidak dapat mempengaruhi dan menguasai rakyat pasti negara akan tunggang langgang, sebagai contoh, pergolakan yang sedang berlaku di Thailand.






Piliharaya kecil di Sibu, Sarawak baru -baru ini, jelas rakyat tidak lagi boleh diperbodoh-bodohkan sesuka hati, pemimpin perlu muhasabah diri dan lakukan post-mortem segera untuk mengatur strategi bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang. BN kalah ditangan Pakatan Rakyat dengan lebihan undi 398. Walaupun kecil lebihan undi itu, namun ia menunjukkan bahawa rakyat memilih DAP Pakatan Rakyat sebagai pembela rakyat.